Rekaan kabinet dapur kayu moden berona tradisional yang hangat dan evergreen
April 9, 2010 by admin
Fail di bawah Portfolio Projek
Portfolio ini memaparkan rekaan dapur kayu moden dengan warna tradisional untuk pelanggan kami yang mendiami sebuah rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras. Tuan rumah berpendapat kabinet dari kayu lebih evergreen berbanding yang berkonsepkan kontemporari moden. Kayu juga tahan lebih lama dan semakin cantik di telan masa.
Selain itu dapur ini juga agak unik layoutnya apabila ia boleh dikatakan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu dapur basah, dapur kering dan kekotak perkakasan elektrik yang berada di bahagian tengah. Saya mencadangkan layout ini selepas mengambilkira kedudukan sebuah tiang konkrit besar yang tidak boleh dialih selepas pengubahsuaian ruang dapur dilaksanakan.
Saya berpendapat kabinet dapur dari kayu nyatoh ini memberi rona hangat kepada ruang dapur di samping kelihatan elegan dan teguh.

Pandangan dari dapur basah ke bahagian depan. Perhatikan kedudukan peti sejuk yang hanya bersebelahan.

Kekotak perkakasan elektrik yang menempatkan peti sejuk, oven, mikrovave dan mesin basuh. Selain itu ia masih mempunyai ruang untuk menyimpan pelbagai barangan lain.

Dapur kering dengan rekaan ringkas. Pintu topang hidraulik menggunakan kaca reflektif bagi disesuaikan dengan keanggunan rona kayu.

Kami juga membina dua buah wardrobe yang menampilkan rekaan kayu moden dengan penggunaan pintu sliding dari cermin dan bingkai aluminium. Gambar kedua merupakan wardrobe di bilik tidur utama dengan 2 pintu sliding besar dengan kelebaran keseluruhan melebihi 10 kaki.

Selain itu kami juga membina rak kasut dengan pintu louvres sepenuhnya. Pandangan dari luar dan dalam.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman
Email: senihias@gmail.com
Tunggu, jangan beli dulu…
July 27, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Memang normal jika anda merasa teruja apabila membeli rumah baru. Apatah lagi jika ia rumah pertama anda. Anda mahu melengkapkan rumah baru anda dengan pelbagai perkakasan, perabot dan hiasan. Anda mahu rumah anda sempurna dan cantik. Anda mungkin merasa tidak sabar-sabar mahu membeli sesuatu walaupun rumah belum siap. Ia mungkin satu cara untuk memastikan bajet tidak lari tetapi besar kemungkinan ia adalah akibat keterujaan yang sudah tidak mampu dibendung lagi.

Untuk menghasilkan tatarias yang harmoni anda mestilah jelas mengenai konsep tatarias yang anda inginkan dan pastikan semua perkakasan, perabot dan kemasan yang dipilih sesuai dan selaras.
Membeli perkakasan, perabot atau hiasan terlalu awal boleh menyebabkan konsep hiasan rumah anda tidak harmoni. Ini kerana keputusan untuk membeli biasanya dibuat secara ad-hoc. Anda pergi ke kedai, melihat sesuatu yang menarik dan terus membelinya kerana ia “kelihatan menarik di situ”.
Katakan anda pergi ke kedai langsir dan terus menempah langsir yang paling cantik dan paling mahal yang ada di situ. Kemudian anda pegi ke kedai perabot dan membeli perabot tercantik dan termahal yang ada di kedai berkenaan. Kemudian anda pergi ke kedai cat dan membeli cat yang paling cantik dan paling mahal. Kemudian anda pergi mencari kontraktor dan memilih kemasan yang paling cantik dan paling mahal untuk kediaman anda.
Adakah anda pasti akan memperoleh hasil tatarias yang harmoni?
Peluangnya, besar kemungkinan tidak. Kemungkinannya adalah anda akan dapat langsir yang tidak sedondon dengan warna dinding, sofa berunsur tradisional, kabinet dapur berkonsep moden dan cornice zaman pertengahan dan sebagainya. Ya, rumah anda mungkin dipenuhi dengan pelbagai perabot, perkakasan dan kemasan mahal, tetapi ia tidak memberi kepuasan tatarias yang anda harapkan. Sebaliknya jika anda memastikan semuanya sedondon, walaupun tatarias anda ringkas, ia akan tetap kelihatan menarik dan memuaskan. Keserasian adalah kunci kepada kejayaan tatarias rumah anda.
Oleh itu tidak kira apapun yang anda beli, samada mahal atau murah, besar atau kecil, anda harus pastikan ia sememangnya berhak berada di dalam rumah anda. Dengan kata lain, beli sesuatu hanya selepas anda pasti bahawa apa yang dibeli itu secocok dengan keperluan serta tatarias rumah anda. Lainlah jika anda seorang yang memang berbakat dalam bidang hiasan rumah dan mampu melihat apa yang ingin anda hasilkan melalui imaginasi yang jelas. Jika tidak, buat sesuatu satu-satu atau dapatkan nasihat dari mereka yang mahir. Tidak perlu tergesa-gesa. Kawal keterujaan anda. Lihat rumah anda betul-betul setiap kali mahu membeli.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Kediaman & Kehidupan
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Rumah merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Ia menyediakan anda ruang keluarga dan peribadi yang terlindung dari persekitaran terbuka.
Rumah adalah pusat kehidupan. Sebahagian besar aktiviti anda, anda lakukan di rumah. Dan sebahagian besar keperluan, juga anda simpan di rumah.
Pendek kata rumah bukan saja berfungsi menampung diri anda, keluarga anda, kegiatan anda malah ia juga menampung 1001 macam benda dan kemudahan yang anda perlukan seperti pakaian, makanan, perabot, dapur dan berbagai-bagai lagi.
Untuk menikmati sebuah rumah yang benar-benar selesa dan menyeronokkan banyak perkara perlu dirancang dan diambilkira.
Keperluan terhadap ruang sentiasa berubah dan malah meningkat dari masa ke semasa. Manusia yang mendiaminya berubah. Kanak-kanak menjadi remaja, dewasa menjadi tua. Keperluan mereka juga akan berubah. Begitu juga trend hidup secara keseluruhannya.
RUANG TAMU
Ruang tamu sebagaimana namanya, merupakan ruang untuk anda menerima tetamu. Ia adalah ruang rasmi. Bagaimanapun dalam masyarakat kita, biasanya ruang tamu menjadi ruang di mana keluarga berkumpul, bermain dan menghabiskan masa.
Banyak rumah menjadikan ruang tamu sebagai tempat menonton TV (seperti di tunjukkan di gambar).
Kalau boleh, elakkan.
Rumah yang kecil misalnya, bukanlah alasan untuk anda menyalahgunakan ruang tamu.
Sebenarnya sentiasa ada jalan untuk anda mencipta ruang lain yang khusus untuk menonton TV dan aktiviti-aktiviti seumpamanya.
Jangan menurut sahaja apa yang dilakukan orang lain jika anda benar-benar mahu rumah yang unik, menarik serta praktikal.
Tetamu anda tidak mungkin akan dapat menghargai rumah anda jika objek utama yang ada di situ hanyalah sebuah set TV.
Jadikanlah ruang tamu anda satu ruang yang tenteram tetapi berkesan dalam menonjolkan keistimewaan dan keunikan anda sekeluarga.
DAPUR
Sebelum membina dapur anda harus pastikan betul-betul keperluan sekarang dan masa depan. Infrastruktur dapur moden bukanlah murah.
Oleh itu pastikan anda membuat perkara yang betul demi ketenangan hati anda untuk jangkamasa yang panjang.
Rancang ruang kerja utama di antara peti sejuk, sinki dan dapur memasak. Idealnya adalah untuk meletakkan setiap satu kemudahan tersebut dalam satu ruang berbentuk segitiga yang memadai untuk anda melakukan kerja memasak dengan selesa.
Anda juga harus tentukan di mana dan bagaimana perkakasan serta bahan-bahan memasak serta makan minum seharian diuruskan. Kemudian tentang perkakasan yang jarang digunakan pula.
Pastikan betul-betul di mana lokasi ideal masing-masing dan tentukan berapa banyak ruang yang anda perlu.
RUANG KELUARGA
Jika anda mampu mendapatkan rumah besar, membina ruang keluarga tidak menjadi masalah.
Bagaimanapun bagi penghuni rumah teres dan pangsapuri ia mungkin boleh diibaratkan sebagai satu kemewahan. Sebab itulah ruang keluarga bagi kebanyakan rumah adalah ruang tamu.
Sebenarnya anda sentiasa berpeluang mencipta ruang ini. Ia hanya memerlukan sedikit kreativiti dalam merekabentuk ruang dalam rumah anda.
Yang pasti keluarga anda tidak perlu ruang sebesar gelanggang tenis untuk menonton tv, membaca surat khabar dan bersembang kosong.
RUANG MAKAN
Pastikan ruang makan berada dekat dengan dapur. Dengan pemilihan perabot dan penataan warna, lampu dan perhiasan yang baik, ruang makan anda boleh menjadi satu tempat yang istimewa.
BILIK TIDUR
Bilik tidur sempurna jika ia dapat menempatkan katil tidur yang selesa di samping dilengkapi dengan ruang-ruang penyimpanan yang mencukupi untuk semua barangan peribadi milik anda khususnya pakaian.
Pastikan semua pakaian anda, baik yang bersih mahupun yang kotor atau yang sedang digunakan, akan mempunyai tempat masing-masing.
Selain itu bilik tidur juga perlu mempunyai ruang untuk bersiap diri. Misalnya bilik mandi yang lengkap dan ruang untuk berpakaian dan bersolek.
Selain itu anda mungkin inginkan bilik tidur yang mempunyai ruang bekerja, menonton tv dan sebagainya.
BILIK TIDUR ANAK
Sebagaimana bilik tidur anda, bilik tidur anak-anak anda juga perlu mampu menampung penyimpanan barangan keperluan mereka seperti pakaian dan permainan. Ia juga harus mempunyai ruang untuk mereka bersiap diri.
Lebih dari itu, bilik tidur anak-anak juga biasanya menjadi tempat di mana mereka belajar. Oleh itu kemudahan dan kelengkapan berkaitan perlu disediakan supaya mereka boleh belajar dengan selesa. Antara yang penting adalah meja dan kerusi serta rak untuk meletakkan buku dan segala macam peralatan belajar yang lain.
Satu cabaran yang biasa dihadapi dalam membina bilik tidur anak-anak adalah saiznya yang kecil. Kreativiti dan kesediaan untuk membina sesuatu di luar kebiasaan mungkin penyelesaian bagi mendapatkan bilik tidur yang lengkap, selesa dan menarik untuk anak-anak anda.
RUANG MEMBASUH
Pakaian adalah beban seharian yang tidak dapat anda elakkan. Sediakan satu ruang khas untuk membasuh pakaian lengkap dengan ruang penyimpanan, perkakasan dan mesin-mesinnya.
Jika boleh selain mesin basuh, dapatkanlah mesin pengering sekali. Ia pasti membantu menyelesaikan banyak masalah dalam menguruskan pembersihan pakaian anda.
STOR & RUANG PENYIMPANAN KHUSUS
Akhir sekali, pastikan anda mempunyai ruang untuk dikhususkan bagi menyimpan beberapa perkakasan bertukang yang asas, tangga atau barangan lain seperti pasu yang tidak digunakan, tong cat dan sebagainya.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Mencipta Dalaman Idaman
March 19, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Apakah yang anda nampak apabila kita bercakap tentang hiasan dalaman? Sofa yang cantik dan selesa? Kabinet dapur? Langsir beropol tiga lapisan? Siling plaster? Lantai kayu berlamina? Warna dinding ruang tamu?
Semuanya sekali!
Apabila anda berpindah ke rumah baru, ia hanya memberikan anda ruang-ruang berdinding, bersiling dan berlantai untuk anda isikan dengan benda-benda yang menjadi keperluan kehidupan anda, dan keluarga anda tentunya.
Oleh itu apabila anda berpeluang melengkapkan dan menyempurnakan rumah anda, fikirkan semuanya sekaligus terlebih dulu.
Fikir tentang konsep atau tema asas, tentang pengisian ruang-ruang, tentang warna-warna yang sesuai dan sebagainya.
Tidak apa kalau anda tidak mampu mengadakan segalanya dalam satu masa, yang penting anda boleh mengelak dari menjadikan rumah anda itu bahan uji bakat mendekorasi. Akhirnya buat itu tak kena, buat ini tak jadi.
Miliki idea yang jelas tentang pembinaan dan hiasan dalaman rumah anda.
Pembinaan dalaman bermaksud apa-apa saja struktur atau kemudahan yang anda bina di dalam rumah anda selain dari dinding, lantai dan siling yang sedia ada. Ia boleh jadi kabinet, almari pakaian, sekatan dan sebagainya.
Hiasan dalaman pula adalah perkara-perkara yang memberi warna, tekstur dan estetika kepada ruang-ruang dalam rumah anda.
Ia boleh jadi cat atau kertas dinding, lukisan atau foto yang dipamerkan, langsir, sofa dan lain-lain benda mudah-alih.
Kombinasi yang kreatif serta bijak antara pembinaan dalaman dan hiasan dalaman akan menyempurnakan segalanya. Penyesuaian dan susunatur amat penting.
Kalau pakaian perlu sedondon. Bunga perlu digubah. Rumah anda pun sama.
Jika anda melihat sesuatu dan berkenan di mata, lihatlah ia dengan latarbelakang rumah anda. Ia mungkin cantik di bilik pameran itu, tetapi belum tentu ia sesuatu yang anda perlukan.
Elakkan membeli, memilih atau membina secara rambang jika mahu menjadikan dalaman rumah anda benar-benar menarik dan mendalam.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com















