Tunggu, jangan beli dulu…
July 27, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Memang normal jika anda merasa teruja apabila membeli rumah baru. Apatah lagi jika ia rumah pertama anda. Anda mahu melengkapkan rumah baru anda dengan pelbagai perkakasan, perabot dan hiasan. Anda mahu rumah anda sempurna dan cantik. Anda mungkin merasa tidak sabar-sabar mahu membeli sesuatu walaupun rumah belum siap. Ia mungkin satu cara untuk memastikan bajet tidak lari tetapi besar kemungkinan ia adalah akibat keterujaan yang sudah tidak mampu dibendung lagi.

Untuk menghasilkan tatarias yang harmoni anda mestilah jelas mengenai konsep tatarias yang anda inginkan dan pastikan semua perkakasan, perabot dan kemasan yang dipilih sesuai dan selaras.
Membeli perkakasan, perabot atau hiasan terlalu awal boleh menyebabkan konsep hiasan rumah anda tidak harmoni. Ini kerana keputusan untuk membeli biasanya dibuat secara ad-hoc. Anda pergi ke kedai, melihat sesuatu yang menarik dan terus membelinya kerana ia “kelihatan menarik di situ”.
Katakan anda pergi ke kedai langsir dan terus menempah langsir yang paling cantik dan paling mahal yang ada di situ. Kemudian anda pegi ke kedai perabot dan membeli perabot tercantik dan termahal yang ada di kedai berkenaan. Kemudian anda pergi ke kedai cat dan membeli cat yang paling cantik dan paling mahal. Kemudian anda pergi mencari kontraktor dan memilih kemasan yang paling cantik dan paling mahal untuk kediaman anda.
Adakah anda pasti akan memperoleh hasil tatarias yang harmoni?
Peluangnya, besar kemungkinan tidak. Kemungkinannya adalah anda akan dapat langsir yang tidak sedondon dengan warna dinding, sofa berunsur tradisional, kabinet dapur berkonsep moden dan cornice zaman pertengahan dan sebagainya. Ya, rumah anda mungkin dipenuhi dengan pelbagai perabot, perkakasan dan kemasan mahal, tetapi ia tidak memberi kepuasan tatarias yang anda harapkan. Sebaliknya jika anda memastikan semuanya sedondon, walaupun tatarias anda ringkas, ia akan tetap kelihatan menarik dan memuaskan. Keserasian adalah kunci kepada kejayaan tatarias rumah anda.
Oleh itu tidak kira apapun yang anda beli, samada mahal atau murah, besar atau kecil, anda harus pastikan ia sememangnya berhak berada di dalam rumah anda. Dengan kata lain, beli sesuatu hanya selepas anda pasti bahawa apa yang dibeli itu secocok dengan keperluan serta tatarias rumah anda. Lainlah jika anda seorang yang memang berbakat dalam bidang hiasan rumah dan mampu melihat apa yang ingin anda hasilkan melalui imaginasi yang jelas. Jika tidak, buat sesuatu satu-satu atau dapatkan nasihat dari mereka yang mahir. Tidak perlu tergesa-gesa. Kawal keterujaan anda. Lihat rumah anda betul-betul setiap kali mahu membeli.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com







bestnyer…thanks 4 da info
hmmm…food for thought…
baru jek ingat nak shopping sofa weekend ni sedangkan kunci dapat maybe Jan ini hehhehe
assalamualaikum…saya nak minta pendapat saudara tentang cara menghias ruang tamu,dapur dan ruang makan.apa warna yang sesuai untuk ruang yang saya sebutkan tadi.saya suka yang nampak simple tapi moden.saya akan terangkan serba sedikit gambaran yang saya nak.kalau saya mengunakan sofa leather warna hitam,perabot kebanyakan warna2hitam,grey,putih.so warna apa sepatutnya saya guna untuk langsir dan cat dinding.
salam.. saya pun nak dapatkan pandangan ttg konsep yg bersesuaian. saya suka perabot yg moden dan simple agar kediaman tidak nmpk serabut.. saya juga sukakan warna coklat (iaitu warna seakan nescafe susu yg cair) kerana pd pendapat saya ia akan menampakkan ruang tamu itu kelihatan agak luas. begitu juga dgn perletakkan cermin yg besar di dinding (sebesar dinding dari atas ke lantai), adakah bersesuian? Saya juga bercadang utk membeli set sofa bercampur design.. ok atau tidak? harap dpt penjelasan…tq