Ukuran-ukuran asas kabinet dapur dan perkakasan

May 18, 2010 by admin  
Fail di bawah Artikel Admin, Tentang Kabinet

Apabila anda merancang untuk membina sesebuah kabinet dapur perkara utama yang perlu anda ketahui adalah ukuran-ukuran asasnya. Sebenarnya pembinaan dapur moden sudah pun mempunyai set ukuran-ukuran asas yang dianggap sebagai standard. Dengan menuruti ukuran-ukuran standard ini, dapur kita bukan saja dapat diselaraskan untuk tujuan ergonomik tetapi ia juga mudah disesuaikan dengan perkakasan atau aksesori lain.

Berikut adalah antara ukuran-ukuran asas yang perlu anda ketahui. Sila rujuk Gambar 1 untuk memahami ukuran yang dimaksudkan.

Ketinggian-ketinggian

  • A - Ketinggian table top kabinet dapur dari lantai ke permukaan kerja: 34 inci
  • B - Ketinggian bar counter dari lantai ke permukaan bar: 42 inci
  • C - Ketinggian wall unit (kabinet atas) dari lantai bermula pada paras: 60 inci
  • D - Ketinggian wall unit (kabinet atas) yang standard: 24 inci

Kedalaman-kedalaman

  • E - Kedalaman table top kabinet dapur dari depan ke belakang: 24 inci
  • F - Kedalaman wall unit (kabinet atas) dari depan ke belakang: 12 inci
  • G - Kedalaman bar counter: 16 - 24 inci
Gambar 1: Rujukan untuk ukuran-ukuran asas yang dimaksudkan

Gambar 1: Rujukan untuk ukuran-ukuran asas yang dimaksudkan

Anggaran ukuran-ukuran lebar perkakas dapur

Lebar perkakasan juga penting untuk anda ketahui untuk merancang layout dapur. Dengan mengetahui anggaran ukuran yang betul, anda boleh melakukan perancangan awal dengan lebih baik. Ukuran-ukuran lebar perkakas dapur boleh dikatakan agak standard. Bagaimanapun standard yang dimaksudkan bukan sekadar satu ukuran - peti sejuk misalnya mempunyai beberapa ukuran lebar yang standard. Lebar sinki pula lebih bebas.

Berikut adalah antara ukuran “standard” perkakasan yang biasa dipasang di dapur:-

  • Sinki stainless steel dua bowl: 36 inci
  • Sinki stainless steel satu bowl besar: 25 inci
  • Peti sejuk kecil: 24 inci
  • Peti sejuk sederhana: 27 inci
  • Peti sejuk besar: 35 inci
  • Ketuhar Elektrik bina-dalam: 23.5 inci
  • Ketuhar gelombang mikro bina-dalam: 23.5 inci
  • Hob dapur: 29 inci
  • Hood dapur (slim): 29 inci
  • Hood dapur normal: 35 inci
  • Rak pengering pinggan: 24/30 inci
  • Mesin basuh: 24 inci

Untuk ukuran perkakasan yang tepat, anda bolehlah menentukan terlebih dulu model dan jenama perkakasan yang ingin anda gunakan.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Faktor penentu kos sebuah kabinet dapur

August 13, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Kabinet

Kos membina kabinet dapur dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti berikut:-

  • Saiz binaan
  • Bahan dan kemasan
  • Rekabentuk
  • Aksesori
  • Kos kontraktor

Saiz Binaan

Lebih besar saiz binaan dapur anda tentulah lebih besar juga kos membinanya. Misalnya dapur berbentuk L bersaiz 10 kaki x 10 kaki tentulah secara lateralnya akan lebih mahal dari dapur L bersaiz 7 kaki x 7 kaki. Ini kerana penggunaan bahan, buruh dan jangkamasa berkadar terus dengan peningkatan saiz binaan. Begitu juga dengan kos-kos lain. Misalnya kos pengangkutan, penggunaan mesin jentera dan sebagainya.

Dapur yang kecil dan ringkas tentulah berharga lebih rendah dari dapur yang besar dan beraksesori penuh.

Dapur yang kecil dan ringkas tentulah berharga lebih rendah dari dapur yang besar dan beraksesori penuh.

Bahan & Kemasan

Bahan binaan dan kemasan kabinet dapur yang dipilih juga memainkan peranan dalam menentukan kos. Badan kabinet yang dibina menggunakan kepingan chipboard tidak sama dengan badan kabinet yang dibina dengan ply bertetulang. Worktop konkrit, solid surface, chipboard, kayu atau granite pun berlainan harga. Pintu-pintu kabinet juga boleh menggunakan pelbagai bahan serta kemasan. Chipboard atau melamine board dengan ABS merupakan antara pilihan yang paling murah. Bagaimanapun harga akan meningkat apabila menggunakan bahan dan kemasan yang lebih kukuh dan berkualiti seperti ply laminasi, kayu solid, kaca, aluminium, stainless steel dan sebagainya.

Rekabentuk

Rekabentuk kabinet dapur berbeza-beza mengikut keperluan dan citarasa seseorang. Ada yang memilih untuk memiliki dapur yang berekabentuk ringkas seperti kotak-kotak modular. Ada yang inginkan kabinet dapur mereka direka dengan ciri-ciri tertentu, misalnya dinding yang lebih lebar, bentuk yang unik, unit atas sampai ke siling, kabinet gantung dan sebagainya. Jika rumit rekabentuk yang dicipta maka tentu lebih mahal kos membinanya.

Aksesori

Selain dari binaan kabinet dapur asas, anda juga perlu memikirkan tentang aksesori-aksesori yang diperlukan bagi melengkapkan dapur supaya ia menjadi lebih praktikal dan benar-benar berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Anda mungkin mahu kabinet dapur anda dilengkapi rak pengering pinggan, rak botol, bakul tarik untuk memudahkan pengurusan stok dan barangan. Selain itu anda mungkin juga inginkan kabinet anda dilengkapi lampu-lampu bina dalam, menggunakan ensel-ensel soft-close, berhandle cantik dan sebagainya. Semakin banyak aksesori yang anda aplikasikan ke dalam dapur anda, maka semakin besarlah belanja yang perlu dikeluarkan.

Kos kontraktor

Selain dari kos komponen kabinet dapur itu sendiri, anda juga perlu melihat kos-kos yang ditanggung pihak kontraktor. Misalnya kos overhead, kos buruh, kos pengangkutan, servis lepas jualan dan sebagainya. Kontraktor yang mempunyai overhead perniagaan yang besar dan berjenama mungkin akan memberi sebutharga yang sesuai dengan kedudukannya. Tukang atau buruh yang berkemahiran tinggi perlu dibayar lebih mahal dari mereka yang kurang berkemahiran. Jarak yang jauh juga akan menyebabkan kos pengangkutan meningkat. Bagi kontraktor yang memberi jaminan atau servis lepas jualan sejumlah peruntukan perlu disediakan untuk tujuan berkenaan.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, kos membina kabinet dapur anda bukan saja tidak akan sama dari rumah ke rumah tetapi dari kontraktor ke kontraktor kerana faktor-faktor yang disebutkan di atas. Ada sebab kenapa sesuatu itu mahal atau murah. Pada dasarnya tidak ada siapa yang akan menjual murah barang mahal dan tidak ada siapa akan membeli mahal barang murah. Secara universalnya kualiti dan harga sentiasa seiringan. Kata orang putih, “when you pay peanuts, you get monkeys”.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Tunggu, jangan beli dulu…

July 27, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias

Memang normal jika anda merasa teruja apabila membeli rumah baru. Apatah lagi jika ia rumah pertama anda. Anda mahu melengkapkan rumah baru anda dengan pelbagai perkakasan, perabot dan hiasan. Anda mahu rumah anda sempurna dan cantik. Anda mungkin merasa tidak sabar-sabar mahu membeli sesuatu walaupun rumah belum siap. Ia mungkin satu cara untuk memastikan bajet tidak lari tetapi besar kemungkinan ia adalah akibat keterujaan yang sudah tidak mampu dibendung lagi.

Untuk menghasilkan tatarias yang harmoni anda mestilah jelas mengenai konsep tatarias yang anda inginkan dan pastikan semua perkakasan, perabot dan kemasan yang dipilih sesuai dan selaras.

Untuk menghasilkan tatarias yang harmoni anda mestilah jelas mengenai konsep tatarias yang anda inginkan dan pastikan semua perkakasan, perabot dan kemasan yang dipilih sesuai dan selaras.

Membeli perkakasan, perabot atau hiasan terlalu awal boleh menyebabkan konsep hiasan rumah anda tidak harmoni. Ini kerana keputusan untuk membeli biasanya dibuat secara ad-hoc. Anda pergi ke kedai, melihat sesuatu yang menarik dan terus membelinya kerana ia “kelihatan menarik di situ”.

Katakan anda pergi ke kedai langsir dan terus menempah langsir yang paling cantik dan paling mahal yang ada di situ. Kemudian anda pegi ke kedai perabot dan membeli perabot tercantik dan termahal yang ada di kedai berkenaan. Kemudian anda pergi ke kedai cat dan membeli cat yang paling cantik dan paling mahal. Kemudian anda pergi mencari kontraktor dan memilih kemasan yang paling cantik dan paling mahal untuk kediaman anda.

Adakah anda pasti akan memperoleh hasil tatarias yang harmoni?

Peluangnya, besar kemungkinan tidak. Kemungkinannya adalah anda akan dapat langsir yang tidak sedondon dengan warna dinding, sofa berunsur tradisional, kabinet dapur berkonsep moden dan cornice zaman pertengahan dan sebagainya. Ya, rumah anda mungkin dipenuhi dengan pelbagai perabot, perkakasan dan kemasan mahal, tetapi ia tidak memberi kepuasan tatarias yang anda harapkan. Sebaliknya jika anda memastikan semuanya sedondon, walaupun tatarias anda ringkas, ia akan tetap kelihatan menarik dan memuaskan. Keserasian adalah kunci kepada kejayaan tatarias rumah anda.

Oleh itu tidak kira apapun yang anda beli, samada mahal atau murah, besar atau kecil, anda harus pastikan ia sememangnya berhak berada di dalam rumah anda. Dengan kata lain, beli sesuatu hanya selepas anda pasti bahawa apa yang dibeli itu secocok dengan keperluan serta tatarias rumah anda. Lainlah jika anda seorang yang memang berbakat dalam bidang hiasan rumah dan mampu melihat apa yang ingin anda hasilkan melalui imaginasi yang jelas. Jika tidak, buat sesuatu satu-satu atau dapatkan nasihat dari mereka yang mahir. Tidak perlu tergesa-gesa. Kawal keterujaan anda. Lihat rumah anda betul-betul setiap kali mahu membeli.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Fast Respond Team di kawasan Bangi - Kajang

July 9, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Bina & Ubahsuai

Kami ingin maklumkan bahawa mulai sekarang Senihias.com menyediakan perkhidmatan Fast Respond Team (FRT) bagi kerja-kerja ubahsuai dan penyelenggaraan khususnya bagi kawasan Bangi - Kajang yang meliputi Bandar Baru Bangi sehingga ke Kajang - Semenyih, Bandar Bukit Mahkota - Bandar Seri Putra - Impian Putra. Berikut adalah bidang-bidang kerja khusus bagi perkhidmatan FRT:-

1. Mengubahsuai ruang
2. Kerja-kerja bata-simen-plaster
3. Kerja pemasangan jubin
3. Kerja-kerja kayu
4. Kerja-kerja taman dan kolam hiasan
5. Kerja-kerja mengecat
6. Pelbagai kerja maintenance

Kategori Kerja

1. Kerja-kerja yang mengambil masa kurang seminggu untuk disiapkan.
2. Kerja-kerja yang tidak memerlukan kelulusan pelan dan sebagainya.

Untuk mendapatkan perkhidmatan ini sila SMS “Bangi FRT” dan hantar ke 013-236 1198. Kami akan hubungi anda.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Pastikan anda mendapat harga serta produk yang betul

April 26, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Kabinet

infoKami menerima respond yang amat menggalakkan dari para pengunjung laman ini. Ramai yang mengisi borang pertanyaan. Bertanya tentang harga kabinet dapur.

Sebenarnya kami tidak berapa berkenan memberi anggaran harga berdasarkan informasi umum. Misalnya hanya dengan mengetahui panjang kabinet bawah dan panjang kabinet atas sahaja. Kami juga tidak boleh memberi anda anggaran harga hanya kerana anda beritahu, “saya nak kabinet macam yang itu, berapa harga kalau saya nak buat 10 kaki”.

Kami di Zolmar Enterprise tidak membuat kabinet modular. Kami membuat kabinet kustom sepenuhnya. Modular bermaksud setiap pintu atau kotak kabinet mempunyai lebar - tinggi - dalam yang tertentu dan apa yang diperlukan adalah mengisi ruang dapur anda dengan jumlah modul kabinet yang sesuai. Dengan yang demikian, pengiraan harga boleh dilakukan dengan mudah. Hanya kalikan harga yang ditetapkan untuk setiap modul dengan jumlah modul yang akan dipasang.

Jika anda perhatikan sampel-sampel kabinet yang kami siarkan di laman ini, anda akan dapat melihat perbezaan di antara kabinet binaan kami dengan kabinet dari pembuat yang mangamalkan sistem modular.

Kerana kami mahu membuat kabinet anda secara kustom, kami lebih suka datang ke tapak dapur anda, membuat ukuran dan menentukan rekabentuk berdasarkan keperluan serta kesesuaian ruang. Anda mungkin mahukan kabinet sebelah atas terus sampai ke siling, misalnya. Atau anda mahukan aksesori-aksesori tertentu selepas kami memberitahu anda mengenainya. Apabila semua aspek telah dipastikan barulah kami boleh memberi satu harga yang valid.

Tidak boleh ikut harga orang

Kebanyakan pemilik rumah akan membuat tinjauan dan mendapatkan beberapa sebutharga dari beberapa pembina sebelum memilih salah satu dari mereka. Ini merupakan langkah yang baik. Ia bukan saja akan membantu anda mendapatkan harga yang ideal malah ia juga memberi peluang kepada anda menilai kemampuan serta kualiti kerja setiap satu dari pembina yang anda temui itu.

Perbezaan harga di antara pembina adalah biasa. Jika harga kami lebih mahal dari pembida lain, kadang-kala prospek bertanya samada kami boleh mengikut harga yang ditawarkan orang lain. Sebenarnya kami tidak boleh. Jika kami memberi diskaun pun, ia akan disandarkan kepada pengiraan kami sendiri. Kami tidak boleh ikut harga orang lain kerana kami tidak tahu apa yang sebenarnya ditawarkan oleh orang lain kepada anda. Kami hanya tahu apa yang kami tawarkan dan kos-kos yang terlibat.

Kos pembinaan kabinet boleh menjadi sangat subjektif. Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini adalah perbezaan bahan yang digunakan, rekabentuk, aksesori, kos pekerja, kos pengangkutan dan sebagainya. Oleh itu anda perlulah membuat pertimbangan yang betul-betul munasabah apabila membuat pemilihan.

Harga yang rendah tidak semestinya akan membuat anda gembira di kemudian hari. Jika pembina merasakan mereka tidak mendapat apa-apa dari projek anda, masalah mereka mungkin akan dipindahkan ke kabinet anda. Begitu juga pembina yang terkenal pun belum tentu akan memberikan hasil yang memuaskan. Sub-kontraktor mereka belum tentu terdiri dari kelompok pekerja yang benar-benar mahir ataupun teliti.

Pastikan anda tahu apa yang ditawarkan

Tahu apa yang sebenarnya anda akan dapat merupakan satu aspek penting dalam memastikan penilaian anda betul. Misalnya, jika anda mahu pintu kabinet anda dibuat dengan solid wood pastikan pembina anda itu benar-benar memberi solid wood dan bukan sesuatu yang bersifat solid saja. Chipboard solid. MDF board pun solid. Tetapi kedua-duanya bukan solid wood. Kekuatan serta ketahanannya jauh berbeza.

Selain dari pintu kabinet, badan kabinet juga sering mengelirukan orang. Anda harus tahu bahan apakah yang anda inginkan untuk membina badan kabinet anda. Badan kabinet anda akan menampung keseluruhan berat kabinet dan barang-barang yang tersimpan di dalamnya. Chipboard adalah bahan yang paling biasa diberi jika murah adalah perkataan yang anda mahu dengar. Namun jika anda mahu melabur untuk sesuatu yang memuaskan dalam jangkapanjang, elakkan badan chipboard. Ply bertetulang adalah pilihan yang terbaik untuk menjadi badan kabinet.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Solid Surface

April 18, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Kabinet

“Solid surface” merupakan antara ‘worktop’ kabinet dapur yang diminati ramai. Ini kerana rupanya yang kemas, bersih dan tahan. Jika anda inginkan permukaan yang berdayatahan dan mudah diselenggara atau dibersihkan, pilihlah ’solid surface’.

Solid surface adalah sejenis komposit yang diperbuat dari campuran resin dan batu. Kandungan batu di dalamnya menjadikan ia kukuh dan resin pula menjadikannya kedap cecair. Terdapat banyak pilihan warna dan ada juga solid surface yang mengandungi kuartza atau kaca yang kelihatan lebih berkilau. Solid surface yang mengandungi hanya resin lebih mudah dibentuk seperti melengkung, menegak, menjadi sinki dan sebagainya tetapi bagi yang mengandungi banyak kuartza tidak begitu fleksibel.

Secara umumnya solid surface boleh dipasang di semua jenis dapur. Sifatnya sebagai komposit menjadikannya ringan, sekurang-kurangnya lebih ringan dari worktop yang diperbuat dari batu seperti granit dan sebagainya. Bagaimanapun tentukan terdapat ruang yang cukup untuk membawa solid surface anda ke dalam kawasan pemasangan kerana ia perlu dibuat siap dari kilang dengan saiznya yang sebenar.

Kabinet rumah En. Nan di Seri Gombak ini mengunakan solid surface sebagai worktopnya.

Kabinet rumah En. Nan di Seri Gombak ini mengunakan solid surface sebagai worktopnya.

Jika worktop anda ringkas, rata dengan kepanjangan yang boleh dipastikan, pembuat kabinet dapur anda boleh menempah terus saiz berkenaan dan memasangnya. Bagaimanapun jika ia perlu dipotong, disambung atau berbentuk luarbiasa, pembuat solid surface sendiri perlu dipanggil untuk melakukan kerja-kerja berkenaan. Biasanya mereka akan membuat acuan selaras dengan rekaan dapur yang dibina dan dari acuan berkenaan mereka akan membentuk solid surface yang tepat untuk pemasangan.

Sifat solid surface sebagai komposit menjadikan ia tidak telap air. Dan oleh kerana ia juga tidak bersambung-sambung, maka tidak ada celahan untuk bakteria bersembunyi atau membiak. Untuk membersihkannya anda hanya perlukan gunakan sabun dan air. Bagi permukaan yang calar anda boleh membaikinya dengan hanya menggosok kertas pasir halus.

Oleh kerana sifat-sifat solid surface yang diterangkan di atas, tidak hairanlah kosnya agak mahal. Ada juga worktop solid surface yang agak murah tetapi biasanya jika ia digunakan sebagai lapisan permukaan saja. Misalnya kepingan chipboard yang dilapisi sebelah atasnya dengan solid surface yang nipis. Apapun apa yang anda bayar itulah yang anda akan dapat. Mahal dan murah sesuatu produk tentulah ada sebab disebaliknya.

Kelebihan solid surface:-

  • Senang dipelihara. Permukaan calar boleh dibaiki dengan menggosok kertas pasir halus.
  • Tiada sambungan. Jika ada pun ia tidak akan kelihatan. Oleh itu ia senang dibersihkan dan tidak menyimpan bakteria.
  • Tahan haba yang tinggi sehingga 240 darjah C. (Walaupun begitu anda tetap dinasihatkan supaya menggunakan pelapik jika mahu meletakkan periuk panas di atas permukaan solid surface).
  • Boleh menghasilkan rekaan yang unik kerana ia boleh dibentuk secara khusus mengikut rekaan berkenaan.

Yang kontra mengenai solid surface:-

  • Kosnya mahal. Ia merupakan produk buatan kustom dan perlukan specialist untuk membuat serta memasangnya.
  • Oleh kerana ia memerlukan acuan dibuat mengikut rekaan sebenar di tapak dapur, maka ia masa yang diambil untuk menyiapkannya lebih panjang.
  • Kekurangan karakter. Solid surface adalah komposit. Oleh itu ia tidak secantik worktop yang dibuat dari batuan asli.
  • Variasi warna. Oleh kerana ia dibuat secara kustom kadangkala boleh berlaku variasi warna yang tidak sekata.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Asas binaan kabinet dapur

April 10, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Kabinet

infoPada asasnya binaan kabinet dapur boleh dibahagikan kepada 3 komponen utama iaitu;

1.  Badan kabinet

2.  Pintu kabinet

3.  Aksesori

Badan Kabinet

Badan kabinet merupakan bahagian yang menampung barangan yang bakal kita simpan dalam kabinet kita. Dengan kata lain badan kabinet menampung beban berat semua barangan berkenaan termasuk juga beban beratnya sendiri, pintu-pintu kabinet serta semua aksesori yang dipasang. Ini bermakna, badan kabinet perlu dibina dari bahan yang kukuh jika ketahanan menjadi keutamaan.

Kami di Zolmar Enterprise selalu mengesyorkan supaya pelanggan memilih badan kabinet yang dibina menggunakan ply bertetulang. Bagi kami ia adalah pilihan binaan yang paling baik untuk badan kabinet yang kuat dan tahan lasak dengan harga yang berpatutan.

Walaupun ply secara sendirinya tidak setebal dan sekuat kayu solid, ia menjadi kuat apabila diperkukuhkan dengan tetulang beluti yang diapit, dipaku dan digam di antara 2 kepingan ply. Biasanya ply dari kayu berkualiti seperti nyatoh, semangkok, oak dan sebagainya dipasang di sebelah luar dan ply berformika putih diletakkan di sebelah dalam.

Ringan dan kuat adalah ciri penting bagi badan kabinet yang ideal dan ini dapat dicapai dengan menggunakan ply diperkukuh. Jika badan kabinet itu sendiri sudah berat dan daya kekuatannya pula kurang sudah tentu kabinet dapur anda tidak akan mampu bertahan lama.

Chipboard adalah contoh bahan binaan yang solid, berat tetapi kurang mempunyai kekuatan. Bagaimanapun ia seringkali menjadi pilihan kerana harganya yang lebih murah. Kenapa murah? Sebab kerja membina kabinet mengunakan chipboard senang dan cepat. Hanya perlu potong mengikut saiz dan pasang.

Badan dari kepingan ply diperkukuh pula terpaksa melalui proses kerja yang lebih rumit, memerlukan kemahiran dan mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan. Oleh itu harganya lebih mahal sedikit. Tetapi jika ketahanan menjadi keutamaan anda, binalah badan kabinet anda melalui kaedah ini. Ia berbaloi dengan nilai wang yang anda belanjakan.

Pintu Kabinet

Pintu-pintu kabinet adalah komponen yang memberi karakter kepada dapur anda. Samada dapur anda akan kelihatan moden, tradisional, English dan sebagainya adalah bergantung kepada pintu kabinet anda. Corak, kemasan, warna dan aksesori pintu kabinet dapur anda memainkan peranan dalam menjelmakan gaya atau konsep dapur yang anda ingini.

Ada banyak bahan yang boleh digunakan dalam pembinaan pintu-pintu kabinet. Antara yang popular adalah kayu solid, chipboard, MDF board, kaca, akrilik, aluminium, keluli tahan karat dan beberapa lagi. Sesuatu pintu tidak semestinya menggunakan satu bahan saja malah biasanya pereka akan menggabungkan bahan-bahan berkenaan sesuai dengan konsep atau gaya yang ingin ditonjolkan.

Aksesori

Aksesori kabinet juga merupakan komponen penting dalam pembinaan kabinet moden. Ia melengkapkan kabinet anda agar menjadi lebih praktikal. Pernahkah anda melihat kabinet dapur yang dibina tanpa sebarang aksesori? Misalnya, kabinet dapur cantik dan gagah tapi tidak dilengkapi rak pengering pinggan mangkuk. Terpaksa beli set dari luar dan bila diletakkan di dapur ia mengganggu ruang atau dapur kelihatan ’semak’.

Sebenarnya ada banyak aksesori kabinet dapur yang boleh anda pasang terus di dalam sistem kabinet anda. Jika anda membuat perancangan yang betul dan memasang aksesori yang betul, kabinet dapur anda bukan saja akan menawarkan ruang untuk anda menyimpan segala barangan keperluan bahkan ia memudahkan anda melakukan kerja-kerja penyimpanan, penyusunan dan seterusnya memudahkan pula kerja-kerja mencari dan mengeluarkannya.

Dengan pemilihan aksesori yang bijak, dapur anda mampu menjadi sebuah dapur yang amat ergonomik dan anda pasti selesa bekerja di sana. Jika anda kurang pasti apakah aksesori-aksesori yang patut ada dalam sistem kabinet dapur anda, mintalah bantuan atau pendapat pereka atau kontraktor yang akan membina kabinet dapur anda itu.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Susunatur dapur

March 22, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Kabinet

Kebanyakan susunatur dapur moden mengambil kira faktor ergonomi yang merujuk kepada ruang kerja berbentuk tiga segi di antara peti sejuk, sinki dan dapur memasak.

Ketiga-tiga titik ini amat penting dalam merancang dapur.

Jika jarak di antara setiap satunya jauh, anda terpaksa mengeluarkan lebih tenaga untuk memasak dan menyediakan makanan.

Jika jaraknya terlalu dekat, ruang kerja anda akan menjadi terlalu sempit dan tidak selesa.

sketch2

Lakaran di atas menunjukkan beberapa contoh bentuk dapur untuk pengetahuan anda.

Lakaran pertama (atas kiri - lihat ikut pusingan jam) adalah dapur bentuk ‘U’. Begitu juga lakaran kedua.

Lakaran ketiga pula adalah dapur sebaris di mana semua perkakasan di susun memanjang.

Lakaran keempat menonjolkan dapur berbentuk ‘L’ dan yang terakhir menampilkan dapur “galley”.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Tentang bilik air

March 22, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias

Bilik air yang luas merupakan satu kemewahan.

Bilik air yang luas merupakan satu kemewahan.

Bilik air merupakan suatu ruang yang amat penting. Ia menyediakan kemudahan bagi seseorang membersihkan diri. Ia merupakan ruang peribadi dan perlu direka untuk keselesaan dan ketenangan. Sebagaimana ruang-ruang yang lain, rupabentuk bilik air berbeza selaras dengan kemampuan dan citarasa pemiliknya.

Biar bagaimana keadaannya, ia tetap suatu ruang yang memerlukan perancangan teliti lagi mendalam. Bagi keluarga yang besar, pastikan rumah anda mempunyai bilangan bilik air sepadan dengan bilangan orang yang mendiaminya bagi mengelakkan perbarisan panjang waktu pagi di samping mengurangkan kadar kerosakan.

Jika ruang bilik air anda cukup luas, pasang sekatan untuk ruang mandi dan tandas. Namun jika anda mempunyai ruang bilik air kecil, pastikan sekurang-kurangnya anda memiliki pancuran mandi, sinki membasuh, mangkuk tandas serta lain-lain kemudahan untuk menyimpan pelbagai keperluan pembersihan dan higenik anda.

Anda boleh menggunakan tab mandi jika mahu dan mempunyai ruang lebih. Jika dipasang ia akan menjadi titik tumpu dalam bilik air anda. Untuk menjadikannya menarik, kemaskan ia sejajar dengan senihias keseluruhan ruang berkenaan. Tab mandi dijual dengan bentuk dan saiz yang berbagai jadi tidaklah susah untuk mencari satu yang sesuai.

Lekapan dan lengkapan bilik air bukan murah dan tidak mudah dialihkan selepas ia selesai dipasang. Sebab itulah perancangan rapi perlu sebelum pemasangan dilakukan bagi mengelakkan keperluan pengubahsuaian yang sukar dan mahal. Bahan-bahan yang digunakan mestilah tahan lasak dan telap air.

Bagi menjaga hiasan dan menghalang resapan, permukaan sudut semua benda yang dipasang di bilik air perlu dikedap menggunakan produk kedapan yang sesuai. Sebagaimana bilik-bilik lain di dalam rumah, ruang penyimpanan adalah isu utama di bilik air.

Jika tidak disediakan secukupnya, produk-produk mandian dan pembersihan diri akan berselerakan di segenap penjuru. Oleh sebab itu rancang dan sediakanlah kemudahan tersebut sebaik-baiknya. Terdapat banyak pilihan bagi kemudahan penyimpanan di bilik air seperti kabinet, almari, rak dan sebagainya di dalam pasaran. Apa yang anda perlu buat adalah cari yang sesuai untuk kegunaan anda.

Cahaya dalam bilik air perlu menyeluruh tetapi tidak menyilaukan. Lampu dinding yang ringkas adalah sesuai dan memadai untuk keperluan pencahayaan di bilik air. Pastikan juga ia membantu dari aspek seni hiasan.

Semua pendawaian dan peralatan lampu serta lain-lain perkakasan elektrik di dalam bilik air mestilah dari produk yang berkualiti dan mendapat kelulusan pihak berkuasa. Kerja pemasangan juga perlu dipastikan kemas bagi mengelak kebocoran arus elektrik. Semua suiz mesti dipasang di sebelah luar demi keselamatan.

Jika anda menggunakan jubin sebagai lantai, penggunaan lapik lantai basah mungkin penting. Dengan jumlah air yang banyak di lantai, lapik lantai basah akan melenyapkan risiko licin dan ini adalah baik untuk keselamatan semua.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Mengenali & Memahami Cat

March 22, 2009 by admin  
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias

Sebelum membeli cat, pastikan ia sesuai dengan skim warna yang anda ingini. Bandingkannya dengan sampel langsir atau karpet. Lebih baik lagi jika anda uji terus ke dinding anda. Bagi tujuan itu belilah setin yang paling kecil.

Cat cenderung kelihatan lebih gelap apabila sudah disapu di dinding, jadi jika anda ragu ‘tone’ yang mana harus dibeli, pilih yang lebih pucat. Lagi satu, warna cat berbeza mengikut ‘batch’ jadi apabila membeli pastikan semua tin mempunyai nombor ‘batch’ yang sama.

Terdapat dua jenis cat yang utama. Kedua-duanya bersifat cair. Selalunya dikenali sebagai cat berasaskan minyak (gloss) untuk kayu atau logam, dan yang berasaskan air (emulsion) untuk dinding dan siling.

Ada pelbagai jenama cat yang boleh anda pilih. Yang penting anda tahu spesikasi cat yang anda perlukan.

Ada pelbagai jenama cat yang boleh anda pilih. Yang penting anda tahu spesikasi cat yang anda perlukan.

Cat minyak mesti dimulakan dengan cat asas atau ‘undercoat’ terlebih dulu.

Cat emulsion tidak perlu ‘undercoat’ tetapi ia perlu disapu dua atau lebih kali di atas sesuatu permukaan bagi memadamkan warna permukaan asal. Lapisan pertama cat emulsion bertindak sebagai ‘undercoat’.

Jenis yang kedua - dirumus khas untuk yang baru belajar - adalah cat tidak menitis yang juga digelar takut-leleh, jeli atau cat satu lapisan.

Cat ini kelihatan seperti jeli dan menjadi cair apabila disapu di atas permukaan. Kemudian ia bertukar menjadi jeli semula dan oleh itu tidak menitis atau meleleh.

Cat ini baik kerana ia lebih pekat dari cat biasa serta sedia mengandungi ‘undercoat’ di dalamnya. Oleh sebab itu walaupun harganya lebih mahal tetapi dalam jangkamasa panjang ia berbaloi.

Cat emulsion tidak menitis juga terdapat dalam bentuk pejal. Bagi cat pejal, pengelek yang digunakan akan menyerap cat secukupnya untuk diaplikasi. Kerana tidak menitis, ia sangat sesuai untuk mengecat siling.

Jangan sesekali mengacau cat tidak menitis sebelum digunakan walaupun ia nampak berketul di dalam tin. Jika ia cair kerana telah digoncang atau dikacau secara tidak sengaja, biarkan ia kembali ke bentuk asalnya sebelum digunakan.

Lapisan cat paling atas (final coat/topcoat) - boleh diakhiri dengan cat gloss, semi-gloss atau matt. Nama lain bagi semi-gloss adalah seperti mutiara, sutera, satin dan sebagainya bergantung kepada suka hati pengeluar cat.

Semakin ‘glossy’ cat yang digunakan semakin kuat dan tahan permukaan yang dikenakan. Cat juga lebih kuat dan tahan-cuaca apabila mengandungi resin sintetik seperti polyurathane.

Ada cat mengandungi aditif yang menjadikan ia lebih tahan api. Cat seperti ini membantu menahan api dari merebak dan kualiti itu menjadikan ia sesuai untuk digunakan ke atas permukaan atau bahan mudah terbakar seperti kayu dan sebagainya.

nazli13

Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com

Mukasurat Berikutnya »