Taman Yang Boleh Dimakan
March 17, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Landskap
Balkoni dan birai tingkap boleh dijadikan ruang untuk memulakan taman herba, khususnya jika anda tidak banyak pilihan.
Tidak perlu ada kebun untuk menuai hasil herba anda sendiri. Dengan sedikit perancangan dan imaginasi, anda pasti terkejut bagaimana pelbagai herba boleh hidup subur di ruang terhad yang anda miliki.
Walaupun kebanyakan tanaman herba memerlukan cahaya yang banyak namun terlalu banyak juga tidak berapa baik.
Jika balkoni anda menerima cahaya matahari sepanjang hari, sekatlah ia jika terlalu panas dengan menggunakan bidai buluh, misalnya.
Dalam pada itu, jika cahaya matahari tidak terkena terus kepada tanaman anda sekalipun, haba yang diserap oleh dinding konkrit masih boleh dibebaskan sepanjang hari.
Persekitaran seperti itu mungkin terlalu ekstrem untuk herba hidup dengan selesa.
Untuk menyelesaikan masalah ini anda boleh mencipta apa yang dipanggil iklim mikro iaitu menggunakan herba-herba yang lebih tahan lasak untuk mengubahsuai atau melindungi persekitaran supaya lebih sesuai dengan herba-herba yang lebih sensitif.
Taman Herba Di Balkoni
Ada banyak herba yang boleh anda tanam di dalam pasu di balkoni. Misalnya pandan, pokok kari, serai, cili, kunyit, halia, daun kesum dan pelbagai lagi.
Untuk mengelakkan radiasi haba dari dinding konkrit, tempatkan herba-herba yang lebih besar dan tahan lasak untuk melindungi herba-herba yang lebih kecil dan sensitif.
Bagaimanapun pastikan semuanya mendapat cahaya matahari yang mencukupi.
Pokok-pokok herba yang popular dan agak besar adalah seperti limau kasturi, pokok kari dan serai. Ada juga tanaman baru yang mula popular seperi epal vietnam dan ceri siam.
Kedua-dua tanaman ini mempunyai buah dan pasti akan menjadi kegemaran anak-anak.
Balkoni yang menghadap ke selatan atau utara mungkin mempunyai kelebihan dari segi penerimaan cahaya matahari.
Bagi herba-herba yang memang berasal dari kawasan tropika, ia tidak ada masalah. Tetapi jika anda menanam sesuatu yang berbeza, penjagaan lebih rapi mungkin diperlukan.
Taman Herba Di Birai Tingkap
Anda boleh menanam beberapa jenis herba di dalam rumah asalkan ia tidak berhawa dingin kerana kebanyakan tanaman herba cenderung untuk mengering di suhu yang rendah.
Suhu rendah menyebabkan tanaman berhenti menyerap air dan akhirnya layu.
Tingkap anda sedikit sebanyak menerima cahaya matahari.
Cahaya yang mengadap utara adalah ideal, tetapi tidak bermakna tingkap mengadap arah lain tidak sesuai menjadi lokasi taman herba anda.
Apa yang anda perlu tahu adalah berapa banyak matahari yang sampai melalui tingkap anda. Jika terlalu banyak gunakan jaring-jaring untuk mengurangkannya.
Anda boleh buat jaring-jaring menggunakan kayu atau gunakan saja jaring nyamuk.
Jangan lupa buka tingkap bagi membolehkan udara panas tidak terperangkap.
Herba-herba yang sesuai untuk birai tingkap adalah seperti pegaga, sadri, cekur dan sebagainya.
Jika ruang birai tidak cukup, anda boleh menggantung herba anda.
Bekas Dan Pasu
Anda boleh pilih bekas yang sesuai untuk tanaman herba anda. Anda boleh gunakan pasu tanah liat, atau pasu seramik yang dihias cantik. Jika inginkan yang ringan, gunakan bekas plastik.
Biar bekas apa pun yang anda pilih, pastikan ia mempuyai lubang air kerana kebanyakan tanaman herba sensitif dengan air yang bertakung di kawasan akar.
Letakkan dulang air di bawah pasu atau bekas tanaman anda supaya air lebihan dapat diuruskan dengan sempurna.
Anda juga boleh menggunakan kristal untuk tanaman seperti pandan bagi menyegarkannya di dalam pasu. Kristal-kristal ini boleh digunakan selama lebih kurang 2 bulan.
Mengenai saiz bekas atau pasu, tanaman-tanaman berjangka hayat pendek tidak perlu yang besar. Sesuatu yang berdiameter 6 inci sudah memadai.
Bagaimanapun untuk herba-herba yang hidup lama seperti pokok kari, serai dan pandan, bekas kenalah besar, seelok-eloknya lebih dari satu kaki diameter.
Tanah Campuran
Pada dasarnya, pokok-pokok herba hidup subur di dalam tanah campuran yang bersaliran baik.
Anda boleh mendapatkan tanah campuran yang mengandungi vermiculite atau perlite untuk herba anda di pasaraya-pasaraya besar atau pun nurseri.
Pastikan anda menukar tanah campuran dengan yang baru setiap kali menanam semula.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Beberapa Panduan Asas Landskap
March 17, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Landskap
Dalam arkitektur, bidang landskap bermaksud sains dan seni mengubahsuai kawasan dengan menyusunatur sesuatu yang semulajadi termasuk penanaman atau pembinaan elemen-elemen secara terancang dalam suatu plan komprehensif.
Landskap membabitkan elemen-elemen topografi seperti bukit bukau, lembah, sungai dan kolam atau penanaman pokok, rimbunan hijau, rumput, bunga dan sebagainya.
Pendek kata, projek landskap di ruang terbatas seperti halaman rumah adalah satu percubaan untuk mencipta dan menggabungkan beberapa unsur alam yang istimewa pada skala lebih kecil dan terkawal.
Kerja lanskap memang sudah menjadi amalan sejak dulu. Namun pendedahan terhadap konsep-konsep atau seni-seni landskap dari budaya-budaya berlainan, menjadikan ia satu bidang yang lebih menarik.
Lanskap yang direka sesuai dan mendokong kediaman secara keseluruhan pasti akan memberikan kepuasan yang dihajati.
PANDUAN MENYEMPURNAKAN LANDSKAP DIY
Sebagaimana yang telah dikatakan tadi, landskap dan kediaman perlu mendokong antara satu sama lain.
Untuk mencapai keharmonian tersebut, anda perlu menimbang dan menimbang pilihan-pilihan yang ada bagi mendapatkan landskap yang benar-benar hebat dan praktikal.

Penyusunan tanaman sangat penting dalam seni landskap.
Gabungan lanskap lembut dan lanskap kejur menyempurnakan laman anda.
Ada beberapa aspek dalam pembinaan landskap secara D-I-Y seperti bajet, kemahiran, iklim, persekitaran, citarasa peribadi dan sumber-sumber yang ada.
Jika anda benar-benar mahu memperindahkan kediaman anda dengan ciptaan landskap sendiri, berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu.
- Pastikan konsep landskap yang ingin anda terapkan sesuai dengan konsep keseluruhan kediaman anda. Ada banyak konsep landskap yang sesuai dengan iklim, persekitaran mahupun budaya kita. Misalnya konsep Bali, Tropika, Melayu, Oriental, Jepun dan sebagainya.
- Pastikan konsep landskap pilihan anda itu selari dengan rekabentuk rumah dan corak hiasan dalaman rumah anda bagi mencetuskan perasaan serta pandangan yang harmoni.Jika anda menanam gugusan pokok atau bunga-bungaan, pastikan ia disusun mengikut lapisan ketinggian mereka. Pokok yang paling tinggi perlu ditanam di bahagian belakang, sederhana tinggi di bahagian tengah dan renek di bahagian hadapan. Ia bukan sahaja bagi membolehkan anda nampak semua tanaman anda, bahkan jika mereka mengeluarkan bunga, anda akan dapat melihatnya dalam susunan yang menarik.
- Jangan takut untuk memiliki landskap yang mengandungi unsur air. Bahagian landskap basah selalunya mengundang tumpuan dalam sesebuah rekaan landskap. Ia bukan sahaja menarik pada pandangan mata, malah bunyi percikan air mampu mencipta suatu suasana yang nyaman dan menenangkan. Landskap basah yang paling asas adalah dalam bentuk kolam.Bagaimanapun lebih menarik jika ia dilengkapi pancuran atau terjunan air. Yang ringkas pun sudah memadai. Anda boleh gunakan bahan-bahan yang telah siap dijual atau membina sendiri sesuatu berdasarkan kreativiti serta kemampuan yang anda miliki. Semua bahan atau keperluan membina landskap basah boleh diperolehi dengan mudah di kedai-kedai hardware atau di kedai-kedai akuarium.
- Pastikan landskap yang anda reka dan bina itu tahan serta mudah diselenggarakan. Misalnya, pilih pokok-pokok yang bukan dari jenis cepat mati atau terlalu manja untuk dijaga. Begitu juga pastikan binaan hardscape anda tahan lasak untuk menangani beban penggunaan dan faktor cuaca. Kalau boleh penyelenggaraan landskap biarlah lebih bermaksud mengawal atau mencorakkan pertumbuhan dan bukan kerana terpaksa membaiki bermacam-macam kerosakan atau menggantikan pokok mati.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com






