Tunggu, jangan beli dulu…
July 27, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Memang normal jika anda merasa teruja apabila membeli rumah baru. Apatah lagi jika ia rumah pertama anda. Anda mahu melengkapkan rumah baru anda dengan pelbagai perkakasan, perabot dan hiasan. Anda mahu rumah anda sempurna dan cantik. Anda mungkin merasa tidak sabar-sabar mahu membeli sesuatu walaupun rumah belum siap. Ia mungkin satu cara untuk memastikan bajet tidak lari tetapi besar kemungkinan ia adalah akibat keterujaan yang sudah tidak mampu dibendung lagi.

Untuk menghasilkan tatarias yang harmoni anda mestilah jelas mengenai konsep tatarias yang anda inginkan dan pastikan semua perkakasan, perabot dan kemasan yang dipilih sesuai dan selaras.
Membeli perkakasan, perabot atau hiasan terlalu awal boleh menyebabkan konsep hiasan rumah anda tidak harmoni. Ini kerana keputusan untuk membeli biasanya dibuat secara ad-hoc. Anda pergi ke kedai, melihat sesuatu yang menarik dan terus membelinya kerana ia “kelihatan menarik di situ”.
Katakan anda pergi ke kedai langsir dan terus menempah langsir yang paling cantik dan paling mahal yang ada di situ. Kemudian anda pegi ke kedai perabot dan membeli perabot tercantik dan termahal yang ada di kedai berkenaan. Kemudian anda pergi ke kedai cat dan membeli cat yang paling cantik dan paling mahal. Kemudian anda pergi mencari kontraktor dan memilih kemasan yang paling cantik dan paling mahal untuk kediaman anda.
Adakah anda pasti akan memperoleh hasil tatarias yang harmoni?
Peluangnya, besar kemungkinan tidak. Kemungkinannya adalah anda akan dapat langsir yang tidak sedondon dengan warna dinding, sofa berunsur tradisional, kabinet dapur berkonsep moden dan cornice zaman pertengahan dan sebagainya. Ya, rumah anda mungkin dipenuhi dengan pelbagai perabot, perkakasan dan kemasan mahal, tetapi ia tidak memberi kepuasan tatarias yang anda harapkan. Sebaliknya jika anda memastikan semuanya sedondon, walaupun tatarias anda ringkas, ia akan tetap kelihatan menarik dan memuaskan. Keserasian adalah kunci kepada kejayaan tatarias rumah anda.
Oleh itu tidak kira apapun yang anda beli, samada mahal atau murah, besar atau kecil, anda harus pastikan ia sememangnya berhak berada di dalam rumah anda. Dengan kata lain, beli sesuatu hanya selepas anda pasti bahawa apa yang dibeli itu secocok dengan keperluan serta tatarias rumah anda. Lainlah jika anda seorang yang memang berbakat dalam bidang hiasan rumah dan mampu melihat apa yang ingin anda hasilkan melalui imaginasi yang jelas. Jika tidak, buat sesuatu satu-satu atau dapatkan nasihat dari mereka yang mahir. Tidak perlu tergesa-gesa. Kawal keterujaan anda. Lihat rumah anda betul-betul setiap kali mahu membeli.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Tentang bilik air
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Bilik air merupakan suatu ruang yang amat penting. Ia menyediakan kemudahan bagi seseorang membersihkan diri. Ia merupakan ruang peribadi dan perlu direka untuk keselesaan dan ketenangan. Sebagaimana ruang-ruang yang lain, rupabentuk bilik air berbeza selaras dengan kemampuan dan citarasa pemiliknya.
Biar bagaimana keadaannya, ia tetap suatu ruang yang memerlukan perancangan teliti lagi mendalam. Bagi keluarga yang besar, pastikan rumah anda mempunyai bilangan bilik air sepadan dengan bilangan orang yang mendiaminya bagi mengelakkan perbarisan panjang waktu pagi di samping mengurangkan kadar kerosakan.
Jika ruang bilik air anda cukup luas, pasang sekatan untuk ruang mandi dan tandas. Namun jika anda mempunyai ruang bilik air kecil, pastikan sekurang-kurangnya anda memiliki pancuran mandi, sinki membasuh, mangkuk tandas serta lain-lain kemudahan untuk menyimpan pelbagai keperluan pembersihan dan higenik anda.
Anda boleh menggunakan tab mandi jika mahu dan mempunyai ruang lebih. Jika dipasang ia akan menjadi titik tumpu dalam bilik air anda. Untuk menjadikannya menarik, kemaskan ia sejajar dengan senihias keseluruhan ruang berkenaan. Tab mandi dijual dengan bentuk dan saiz yang berbagai jadi tidaklah susah untuk mencari satu yang sesuai.
Lekapan dan lengkapan bilik air bukan murah dan tidak mudah dialihkan selepas ia selesai dipasang. Sebab itulah perancangan rapi perlu sebelum pemasangan dilakukan bagi mengelakkan keperluan pengubahsuaian yang sukar dan mahal. Bahan-bahan yang digunakan mestilah tahan lasak dan telap air.
Bagi menjaga hiasan dan menghalang resapan, permukaan sudut semua benda yang dipasang di bilik air perlu dikedap menggunakan produk kedapan yang sesuai. Sebagaimana bilik-bilik lain di dalam rumah, ruang penyimpanan adalah isu utama di bilik air.
Jika tidak disediakan secukupnya, produk-produk mandian dan pembersihan diri akan berselerakan di segenap penjuru. Oleh sebab itu rancang dan sediakanlah kemudahan tersebut sebaik-baiknya. Terdapat banyak pilihan bagi kemudahan penyimpanan di bilik air seperti kabinet, almari, rak dan sebagainya di dalam pasaran. Apa yang anda perlu buat adalah cari yang sesuai untuk kegunaan anda.
Cahaya dalam bilik air perlu menyeluruh tetapi tidak menyilaukan. Lampu dinding yang ringkas adalah sesuai dan memadai untuk keperluan pencahayaan di bilik air. Pastikan juga ia membantu dari aspek seni hiasan.
Semua pendawaian dan peralatan lampu serta lain-lain perkakasan elektrik di dalam bilik air mestilah dari produk yang berkualiti dan mendapat kelulusan pihak berkuasa. Kerja pemasangan juga perlu dipastikan kemas bagi mengelak kebocoran arus elektrik. Semua suiz mesti dipasang di sebelah luar demi keselamatan.
Jika anda menggunakan jubin sebagai lantai, penggunaan lapik lantai basah mungkin penting. Dengan jumlah air yang banyak di lantai, lapik lantai basah akan melenyapkan risiko licin dan ini adalah baik untuk keselamatan semua.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Mengenali & Memahami Cat
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Sebelum membeli cat, pastikan ia sesuai dengan skim warna yang anda ingini. Bandingkannya dengan sampel langsir atau karpet. Lebih baik lagi jika anda uji terus ke dinding anda. Bagi tujuan itu belilah setin yang paling kecil.
Cat cenderung kelihatan lebih gelap apabila sudah disapu di dinding, jadi jika anda ragu ‘tone’ yang mana harus dibeli, pilih yang lebih pucat. Lagi satu, warna cat berbeza mengikut ‘batch’ jadi apabila membeli pastikan semua tin mempunyai nombor ‘batch’ yang sama.
Terdapat dua jenis cat yang utama. Kedua-duanya bersifat cair. Selalunya dikenali sebagai cat berasaskan minyak (gloss) untuk kayu atau logam, dan yang berasaskan air (emulsion) untuk dinding dan siling.

Ada pelbagai jenama cat yang boleh anda pilih. Yang penting anda tahu spesikasi cat yang anda perlukan.
Cat minyak mesti dimulakan dengan cat asas atau ‘undercoat’ terlebih dulu.
Cat emulsion tidak perlu ‘undercoat’ tetapi ia perlu disapu dua atau lebih kali di atas sesuatu permukaan bagi memadamkan warna permukaan asal. Lapisan pertama cat emulsion bertindak sebagai ‘undercoat’.
Jenis yang kedua - dirumus khas untuk yang baru belajar - adalah cat tidak menitis yang juga digelar takut-leleh, jeli atau cat satu lapisan.
Cat ini kelihatan seperti jeli dan menjadi cair apabila disapu di atas permukaan. Kemudian ia bertukar menjadi jeli semula dan oleh itu tidak menitis atau meleleh.
Cat ini baik kerana ia lebih pekat dari cat biasa serta sedia mengandungi ‘undercoat’ di dalamnya. Oleh sebab itu walaupun harganya lebih mahal tetapi dalam jangkamasa panjang ia berbaloi.
Cat emulsion tidak menitis juga terdapat dalam bentuk pejal. Bagi cat pejal, pengelek yang digunakan akan menyerap cat secukupnya untuk diaplikasi. Kerana tidak menitis, ia sangat sesuai untuk mengecat siling.
Jangan sesekali mengacau cat tidak menitis sebelum digunakan walaupun ia nampak berketul di dalam tin. Jika ia cair kerana telah digoncang atau dikacau secara tidak sengaja, biarkan ia kembali ke bentuk asalnya sebelum digunakan.
Lapisan cat paling atas (final coat/topcoat) - boleh diakhiri dengan cat gloss, semi-gloss atau matt. Nama lain bagi semi-gloss adalah seperti mutiara, sutera, satin dan sebagainya bergantung kepada suka hati pengeluar cat.
Semakin ‘glossy’ cat yang digunakan semakin kuat dan tahan permukaan yang dikenakan. Cat juga lebih kuat dan tahan-cuaca apabila mengandungi resin sintetik seperti polyurathane.
Ada cat mengandungi aditif yang menjadikan ia lebih tahan api. Cat seperti ini membantu menahan api dari merebak dan kualiti itu menjadikan ia sesuai untuk digunakan ke atas permukaan atau bahan mudah terbakar seperti kayu dan sebagainya.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Kediaman & Kehidupan
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Rumah merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Ia menyediakan anda ruang keluarga dan peribadi yang terlindung dari persekitaran terbuka.
Rumah adalah pusat kehidupan. Sebahagian besar aktiviti anda, anda lakukan di rumah. Dan sebahagian besar keperluan, juga anda simpan di rumah.
Pendek kata rumah bukan saja berfungsi menampung diri anda, keluarga anda, kegiatan anda malah ia juga menampung 1001 macam benda dan kemudahan yang anda perlukan seperti pakaian, makanan, perabot, dapur dan berbagai-bagai lagi.
Untuk menikmati sebuah rumah yang benar-benar selesa dan menyeronokkan banyak perkara perlu dirancang dan diambilkira.
Keperluan terhadap ruang sentiasa berubah dan malah meningkat dari masa ke semasa. Manusia yang mendiaminya berubah. Kanak-kanak menjadi remaja, dewasa menjadi tua. Keperluan mereka juga akan berubah. Begitu juga trend hidup secara keseluruhannya.
RUANG TAMU
Ruang tamu sebagaimana namanya, merupakan ruang untuk anda menerima tetamu. Ia adalah ruang rasmi. Bagaimanapun dalam masyarakat kita, biasanya ruang tamu menjadi ruang di mana keluarga berkumpul, bermain dan menghabiskan masa.
Banyak rumah menjadikan ruang tamu sebagai tempat menonton TV (seperti di tunjukkan di gambar).
Kalau boleh, elakkan.
Rumah yang kecil misalnya, bukanlah alasan untuk anda menyalahgunakan ruang tamu.
Sebenarnya sentiasa ada jalan untuk anda mencipta ruang lain yang khusus untuk menonton TV dan aktiviti-aktiviti seumpamanya.
Jangan menurut sahaja apa yang dilakukan orang lain jika anda benar-benar mahu rumah yang unik, menarik serta praktikal.
Tetamu anda tidak mungkin akan dapat menghargai rumah anda jika objek utama yang ada di situ hanyalah sebuah set TV.
Jadikanlah ruang tamu anda satu ruang yang tenteram tetapi berkesan dalam menonjolkan keistimewaan dan keunikan anda sekeluarga.
DAPUR
Sebelum membina dapur anda harus pastikan betul-betul keperluan sekarang dan masa depan. Infrastruktur dapur moden bukanlah murah.
Oleh itu pastikan anda membuat perkara yang betul demi ketenangan hati anda untuk jangkamasa yang panjang.
Rancang ruang kerja utama di antara peti sejuk, sinki dan dapur memasak. Idealnya adalah untuk meletakkan setiap satu kemudahan tersebut dalam satu ruang berbentuk segitiga yang memadai untuk anda melakukan kerja memasak dengan selesa.
Anda juga harus tentukan di mana dan bagaimana perkakasan serta bahan-bahan memasak serta makan minum seharian diuruskan. Kemudian tentang perkakasan yang jarang digunakan pula.
Pastikan betul-betul di mana lokasi ideal masing-masing dan tentukan berapa banyak ruang yang anda perlu.
RUANG KELUARGA
Jika anda mampu mendapatkan rumah besar, membina ruang keluarga tidak menjadi masalah.
Bagaimanapun bagi penghuni rumah teres dan pangsapuri ia mungkin boleh diibaratkan sebagai satu kemewahan. Sebab itulah ruang keluarga bagi kebanyakan rumah adalah ruang tamu.
Sebenarnya anda sentiasa berpeluang mencipta ruang ini. Ia hanya memerlukan sedikit kreativiti dalam merekabentuk ruang dalam rumah anda.
Yang pasti keluarga anda tidak perlu ruang sebesar gelanggang tenis untuk menonton tv, membaca surat khabar dan bersembang kosong.
RUANG MAKAN
Pastikan ruang makan berada dekat dengan dapur. Dengan pemilihan perabot dan penataan warna, lampu dan perhiasan yang baik, ruang makan anda boleh menjadi satu tempat yang istimewa.
BILIK TIDUR
Bilik tidur sempurna jika ia dapat menempatkan katil tidur yang selesa di samping dilengkapi dengan ruang-ruang penyimpanan yang mencukupi untuk semua barangan peribadi milik anda khususnya pakaian.
Pastikan semua pakaian anda, baik yang bersih mahupun yang kotor atau yang sedang digunakan, akan mempunyai tempat masing-masing.
Selain itu bilik tidur juga perlu mempunyai ruang untuk bersiap diri. Misalnya bilik mandi yang lengkap dan ruang untuk berpakaian dan bersolek.
Selain itu anda mungkin inginkan bilik tidur yang mempunyai ruang bekerja, menonton tv dan sebagainya.
BILIK TIDUR ANAK
Sebagaimana bilik tidur anda, bilik tidur anak-anak anda juga perlu mampu menampung penyimpanan barangan keperluan mereka seperti pakaian dan permainan. Ia juga harus mempunyai ruang untuk mereka bersiap diri.
Lebih dari itu, bilik tidur anak-anak juga biasanya menjadi tempat di mana mereka belajar. Oleh itu kemudahan dan kelengkapan berkaitan perlu disediakan supaya mereka boleh belajar dengan selesa. Antara yang penting adalah meja dan kerusi serta rak untuk meletakkan buku dan segala macam peralatan belajar yang lain.
Satu cabaran yang biasa dihadapi dalam membina bilik tidur anak-anak adalah saiznya yang kecil. Kreativiti dan kesediaan untuk membina sesuatu di luar kebiasaan mungkin penyelesaian bagi mendapatkan bilik tidur yang lengkap, selesa dan menarik untuk anak-anak anda.
RUANG MEMBASUH
Pakaian adalah beban seharian yang tidak dapat anda elakkan. Sediakan satu ruang khas untuk membasuh pakaian lengkap dengan ruang penyimpanan, perkakasan dan mesin-mesinnya.
Jika boleh selain mesin basuh, dapatkanlah mesin pengering sekali. Ia pasti membantu menyelesaikan banyak masalah dalam menguruskan pembersihan pakaian anda.
STOR & RUANG PENYIMPANAN KHUSUS
Akhir sekali, pastikan anda mempunyai ruang untuk dikhususkan bagi menyimpan beberapa perkakasan bertukang yang asas, tangga atau barangan lain seperti pasu yang tidak digunakan, tong cat dan sebagainya.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Memilih Perabot Bilik Anak
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Kepada anak-anak perabot bukan saja tempat menyimpan barang atau kemudahan hidup tetapi juga menjadi sebahagian dari dunia permainan dan imaginasi.
Namun sebelum membeli, kita sebagai orang dewasa harus bijak berfikir lebih dari seorang kanak-kanak. Memang ada banyak perabot yang merangsang imaginasi dan kegemaran si kecil, misalnya katil berbentuk kereta dan sebagainya.
Bagaimanapun anak anda membesar dengan cepat. Percayalah dalam tempoh yang singkat saja perabot seperti itu sudah tidak lagi sesuai untuknya.
Ada cara lain yang lebih pratikal dan murah untuk mendapatkan kesan keceriaan tersebut, misalnya gunakan cadar yang bertemakan sesuatu yang mereka gemari atau menambah aksesori-aksesori ceria yang lebih murah dan boleh ditukar pada bila-bila masa.
Untuk almari mereka, anda sebenarnya tidak perlu mencari yang bergaya dan mahal. Yang terpakai pun okay. Tapi pastikan ia lasak dan boleh dicat.
Cat almari anak-anak anda mengikut warna yang mereka sukai dan kemudian corakkan ia dengan menambah sticker atau apa saja yang mereka inginkan.
Ia pasti menjadi projek yang menyeronokkan dan dalam masa yang sama membantu menjana kreativiti. Bila citarasa mereka berubah anda boleh menukar warna atau menggubah aksesori-aksesori yang ada selaras dengan kemahuan dan keperluan baru anak anda.
Gunakan banyak rak dinding untuk meletakkan barangan peribadi seperti permainan dan buku anak-anak anda. Dengan cara itu mereka akan mempunyai ruang lantai yang lebih luas untuk bermain dan sebagainya.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Gaya hiasan serlah personaliti
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Kontemporari
Kemas, Menonjol, Menyerlah, Berdimensi
Anda sentiasa mendahului, mendorong dan tidak takut kepada sebarang kemungkinan apabila berhadapan dengan stail. Garis-garis kemas dan ringkas sofa kulit anda digabungkan dengan warna-warna garang bantal balingnya. Corak hiasan anda yang progresif meraikan keperibadian dan pastinya tetamu anda akan bercerita seluruh pekan.
Global
Rimbun, Eksotik, Kaya, Dunia Terdahulu
Hiasan global anda membawa keseronokan dan misteri dari tanah asing. Anda memenuhkan ruang sekeliling dengan elemen-elemen eksotik yang diperolehi dari seluruh dunia - dari bangku logam berukir mistikal sehingga kepada kusyen mewah dari sutera asli, ada saja adventure di setiap bilik.
Tradisional
Elegan, Halus, Klasik, Kustom
Stail hiasan tradisional memang tidak akan ditelan zaman. Dari meja antik sehinggalah rug oriental, dalaman rumah anda berinspirasikan kecantikan masa lampau. Samada untuk makan malam yang istimewa ataupun majlis minum petang, anda memang sentiasa bersedia untuk mengeluarkan pinggan mangkuk china warisan dari nenda.
Selesa dan menambat hati. Kediaman anda adalah syurga, habitat yang menyenangkan berbanding kesibukan dunia di luar sana. Tidak ada yang lebih baik dari satu malam yang santai bersama rakan-rakan di atas sofa empuk, kaki di atas meja sambil menonton TV dan minum kopi.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Mencipta Dalaman Idaman
March 19, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Apakah yang anda nampak apabila kita bercakap tentang hiasan dalaman? Sofa yang cantik dan selesa? Kabinet dapur? Langsir beropol tiga lapisan? Siling plaster? Lantai kayu berlamina? Warna dinding ruang tamu?
Semuanya sekali!
Apabila anda berpindah ke rumah baru, ia hanya memberikan anda ruang-ruang berdinding, bersiling dan berlantai untuk anda isikan dengan benda-benda yang menjadi keperluan kehidupan anda, dan keluarga anda tentunya.
Oleh itu apabila anda berpeluang melengkapkan dan menyempurnakan rumah anda, fikirkan semuanya sekaligus terlebih dulu.
Fikir tentang konsep atau tema asas, tentang pengisian ruang-ruang, tentang warna-warna yang sesuai dan sebagainya.
Tidak apa kalau anda tidak mampu mengadakan segalanya dalam satu masa, yang penting anda boleh mengelak dari menjadikan rumah anda itu bahan uji bakat mendekorasi. Akhirnya buat itu tak kena, buat ini tak jadi.
Miliki idea yang jelas tentang pembinaan dan hiasan dalaman rumah anda.
Pembinaan dalaman bermaksud apa-apa saja struktur atau kemudahan yang anda bina di dalam rumah anda selain dari dinding, lantai dan siling yang sedia ada. Ia boleh jadi kabinet, almari pakaian, sekatan dan sebagainya.
Hiasan dalaman pula adalah perkara-perkara yang memberi warna, tekstur dan estetika kepada ruang-ruang dalam rumah anda.
Ia boleh jadi cat atau kertas dinding, lukisan atau foto yang dipamerkan, langsir, sofa dan lain-lain benda mudah-alih.
Kombinasi yang kreatif serta bijak antara pembinaan dalaman dan hiasan dalaman akan menyempurnakan segalanya. Penyesuaian dan susunatur amat penting.
Kalau pakaian perlu sedondon. Bunga perlu digubah. Rumah anda pun sama.
Jika anda melihat sesuatu dan berkenan di mata, lihatlah ia dengan latarbelakang rumah anda. Ia mungkin cantik di bilik pameran itu, tetapi belum tentu ia sesuatu yang anda perlukan.
Elakkan membeli, memilih atau membina secara rambang jika mahu menjadikan dalaman rumah anda benar-benar menarik dan mendalam.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
Tip langsir & tingkap
March 19, 2009 by admin
Fail di bawah Tentang Dalaman & Tatarias
Oleh kerana tingkap dan pintu merupakan antara elemen utama dalam sesebuah rumah atau bangunan, langsir secara tidak langsung menjadi penting dalam dekorasi.
Langsir boleh memberi impak besar dalam hiasan kediaman. Ia merubah bentuk tingkap sambil warna dan corak fabrik yang digunakan boleh mencipta suatu suasana yang khusus dan berbeza.
Bentuk asal tingkap boleh diperindahkan atau disembunyikan dengan menggunakan langsir.
Langsir yang jatuh mengalun dari siling ke lantai di ruang bilik yang tinggi bertambah seri dengan ropol di bahagian atasnya.

Aksesori yang sesuai menambah seri langsir
Tingkap yang kecil atau sempit boleh diolah seolah-olah lebar dengan memasang langsir yang lebih lebar.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah menggantung langsir betul-betul di atas birai tingkap dan membenarkan fabriknya diselak sehingga selebar saiz tingkap yang sebenar.

Langsir melengkapkan dekorasi
Jika anda mempunyai lebih dari satu tingkap berlainan saiz di dinding yang sama, pasang satu langsir untuk merangkumi kedua-duanya.
Melaluinya anda boleh memanipulasi langsir berkenaan bagi menyembunyikan dua tingkap yang berbeza.

Langsir harus direka untuk mengekalkan keunikan bentuk tingkap
Bagi tingkap yang berbentuk bulat di bahagian atasnya, pilihan terbaik adalah untuk membiarkan ia kosong tanpa langsir.
Ini kerana tingkap berbentuk sebegitu memberi kesan luas kepada ruang dan cantik dari sudut arkitektur.
Bagaimanapun jika anda merasa perlu dilangsir, pastikan ia dipasang menurut lengkungan tingkap berkenaan dan bukan menutupnya seperti tingkap empat segi.
Selain langsir, bidai juga memberi alternatif yang menarik sebagai pelindung.
Ada beberapa jenis bidai yang boleh anda pilih, misalnya bidai gulung, bidai roman, bidai bersisip menegak dan sebagainya.
Kenali setiap jenis bidai yang ada dan anda pasti boleh menentukan yang mana satukah yang paling anda minati serta sesuai digunakan.
Nazli Kimin adalah Admin Senihias.com
Perancang Kediaman, Zolmar Enterprise
Email: senihias@gmail.com
















