Tiru istana lama
April 2, 2009 by admin
Fail di bawah Arkitektur
KETIKA memikirkan untuk membina rumah impiannya, pelakon Azhar Sulaiman, 38, yang juga Arkitek Projek untuk Design Nexus Architect, mahukan sebuah rumah yang tahan tanpa perlu diselenggara untuk tempoh yang lama.
“Rumah ini direka dengan harapan kami sekeluarga tidak perlu melakukan sebarang penyelenggaraan dalam tempoh 10 tahun pertama kami tinggal di sini.

RUANG tingkap kayu yang bukan saja menyuntik kemesraan tetapi juga membenarkan peredaran udara yang menyihatkan.
“Sudah tiga tahun kami di sini, syukur, rumah ini masih dalam keadaan baik,” ujar Azhar yang popular menerusi filem Abang ’92 dan Jimi Asmara.
Untuk menyempurnakan impian itu, Azhar memilih menggunakan kayu berkualiti tinggi iaitu daripada jenis cengal di bahagian-bahagian rumah yang difikirkan memerlukan unsur semula jadi.
Menerapkannya pada daun pintu dan kerangkanya, langkah itu secara langsung menyuntik kemesraan, bertepatan dengan fungsinya untuk menyambut tetamu.
Meniru kebijaksanaan orang terdahulu yang menitikberatkan pengudaraan, ram tingkap kayunya dapat memastikan rumah dua tingkat itu tidak terlalu panas apabila matahari berdiri tegak di atas kepala.
Unsur kayu daripada jenis yang sama juga digunakan untuk melapik permukaan anak tangga dan lantai aras atas rumah.
Tidak mustahil jika ia bertujuan untuk mengundang rasa ‘homey’ memandangkan pada aras itulah terletaknya bilik tidur utama dan bilik tidur tiga anaknya.
Kasih Leia Ixora, 10, serta si kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona, 7.
Satu aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pelan lantainya.
“Saya memang mahukan rumah dengan pelan lantai linear, iaitu garisan lurus. Maksudnya tidak ada bahagian rumah yang terlindung daripada pandangan mata walau di bahagian mana saya berada,” ujar anak bongsu daripada 13 adik-beradik itu.
Bagaimanapun, Azhar mahu ia memainkan peranan yang lebih daripada itu.
“Kalau diperhatikan rumah ini tidak ada dinding perantara yang memisahkan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Ini dibuat untuk memastikan semua bahagian rumah berkongsi suasana yang sama.
“Saya berikan senario saudara-mara sedang bercakap di ruang tamu ini, manakala anak-anak sedang menonton televisyen di bilik menonton.
“Tanpa pintu atau dinding yang memutuskan terus antara kedua-dua ruang ini, tidak ada sesiapa yang akan ketinggalan tentang apa yang sedang dibualkan.
“Pendek kata, rumah yang terbuka seperti ini dapat menggalakkan interaksi,” jelas Azhar yang sudah lazim dengan kehidupan berkeluarga besar.
Kelebihan rumah seperti itu, kata Azhar, turut memberi ruang kepada anak-anak untuk berlari di dalam rumah sebagaimana beliau gemar melakukannya suatu ketika dahulu di rumah datuk dan neneknya.
Meneroka ruang rumahnya yang seluas 8,000 kaki persegi itu, kami mendapati ia diisi dengan sangat minimum.
“Selalunya konsep minimalis hanya cantik dalam gambar tetapi pada kebanyakan masa ia kekurangan aspek selesa. Berbeza dengan rumah ini, biarpun dihias dengan minimum, ia tetap selesa untuk didiami.

KOLAM renang ini memberi refleksi paling indah keempat-empat rumah keluarga Azhar Sulaiman pada waktu malam.
“Seperti bilik TV itu, ia nampak ‘keras’ dan tidak menyeronokkan. Tetapi apabila dipasang lampu dan projektor, ia akan kelihatan sangat santai,” katanya. Peti televisyen di bilik menonton Azhar telah diganti dengan projektor yang hanya memancar pada dinding bilik.
Binaan rumah itu secara keseluruhannya melibatkan pandangan yang cukup jauh ke depan. Mencatur usia anak-anak yang semakin membesar, Azhar sudah memikirkan terlebih dahulu sekiranya bilik masing-masing sesuai untuk dijadikan bilik pengantin suatu hari kelak.
“Sekarang saya hanya risau kalau anak lelaki saya, Rees, akan merungut tentang biliknya yang lebih kecil berbanding bilik kakaknya.
“Saya berfikir begini kerana saya sudah berdepan dengan ramai pelanggan yang menyatakan kekesalan mereka kerana tidak memikirkan aspek ini terlebih dulu dan terpaksa membuat pengubahsuaian pada kemudian hari,” ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.
Malah, Azhar sendiri sudah membina bilik yang akan didiaminya apabila beliau sudah bersara kelak iaitu di aras bawah yang dikelilingi landskap yang menghijau dari tiga sisi.
Aliran udara penting
March 30, 2009 by admin
Fail di bawah Arkitektur
ANTARA ciri-ciri rumah mesra penghuni adalah membenarkan pengaliran udara yang cukup untuk tujuan ventilasi. Dengan adanya pengaliran udara yang cukup akan menyejukkan udara dalam dan mengurangkan kesan kelembapan. Proses pengudaraan semula jadi atau ventilasi udara adalah proses pertukaran udara di dalam bangunan dengan udara dari luar bangunan melalui elemen binaan bangunan yang terbuka.
Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di negara beriklim tropika adalah masalah suhu yang tinggi, pancaran sinaran matahari yang terik dan menyilaukan serta kadar kelembapan yang tinggi. Masalah ini ditambahkan lagi dengan suhu yang dikeluarkan oleh badan manusia itu sendiri. Dalam proses metabolik, badan manusia juga mengeluarkan suhu tertentu kepada alam sekitarnya bagi memelihara dan mengimbang suhu badan mereka.
Proses metabolik itu berlaku apabila makanan yang dimakan bertukar menjadi tenaga untuk pergerakan dan pembangunan tisu badan manusia. Oleh itu kepanasan yang diperoleh badan manusia melalui sinaran matahari atau udara panas perlu dikurangkan.
Pertukaran udara yang baik di dalam rumah dapat menghasilkan keselesaan terma. Aliran udara inilah yang mempercepatkan proses pengewapan di permukaan kulit dan membantu memberi kesejukan pada penghuni rumah. Selain itu, pertukaran udara di dalam rumah juga sangat penting untuk kesihatan. Di dalam rumah banyak berlaku pengewapan daripada pelbagai aktiviti seperti memasak, mandi dan mencuci.
Wap air ini akan cenderung menyerap memenuhi ruang. Aneka molekul udara yang berbahaya juga banyak terkandung pada bahan yang digunakan di dalam rumah seperti kemasan cat, permaidani atau perabot yang terhasil akibat tindak balas bahan kimia yang terkandung bahan-bahan itu dengan wap air. Akibatnya apabila rumah yang tidak mempunyai pertukaran udara yang baik akan menyebabkan molekul-molekul kimia berkenaan akan tertinggal di dalam ruang dan dihidu oleh penghuni ruang.
Pengaliran udara
Pengaliran udara bermaksud penggantian udara dalaman yang panas dengan udara luaran yang sejuk. Jika tiada penggantian maka tidak berlakulah pengaliran udara. Ada tiga cara pergerakan udara atau angin yang boleh berlaku dan diperoleh iaitu;
Lubang angin di bahagian atas untuk udara panas keluar dari rumah.
Pengaliran udara semula jadi
# Berlaku tiupan angin
# Perbezaan suhu
Pengaliran udara tidak semula jadi
Peralatan elektrik iaitu kipas angin atau penyaman udara
Tingkap rumah tradisional contoh terbaik pengaliran udara.
Selain itu, untuk memaksimumkan potensi angin untuk pengudaraan, amat perlu aliran pengudaraan berlaku di dalam bangunan. Aliran pengudaraan yang baik adalah dengan mengadakan;
Membina bukaan pada sisi bangunan
Dengan membina banyak bukaan seperti tingkap adalah cara terbaik bagi memudahkan pengaliran udara. Bukaan yang lebih dari satu bukaan dengan posisinya bukaannya secara berhadapan bagi menghasilkan pengudaraan silang atau cross ventilation.
Untuk membolehkan lebih banyak angin memasuki ruang dalaman rumah dari bahagian sisi maka adalah baik setiap sisi terdapat bukaan seperti tingkap atau pintu. Dengan sinar matahari sepanjang hari, jika terlalu panas di satu sisi maka di bahagian sisi yang lain dapat dibuka untuk membolehkan pengaliran udara berlaku.
Membina bukaan pada atas bangunan
Selain itu, bukaan dinding di bahagian atas juga membantu melahirkan aliran udara. Selain daripada berfungsi sebagai pengudaraan, bukaan atas dinding juga berfungsi sebagai lubang cahaya. Bagi mengelak berlaku kemasukan haiwan atau serangga pada bukaan berkenaan maka adalah baik sekiranya ditutup dengan kawat berjaring.
Angin adalah udara yang bergerak. Pergerakan udara berlaku dengan udara bergerak dari tempat bertekanan tinggi ke arah tempat bertekanan rendah. Oleh itu reka letak bukaan dinding atau lubang angin juga perlu diperhatikan fungsinya. Jika fungsinya untuk mengalirkan udara panas keluar dari dalam ruang maka lubang angin mesti diletakkan di bahagian atas. Contoh dengan meletakkan lubang udara atau exhaust fan di dalam bilik air adalah untuk mengalirkan udara panas akibat penggunaan air panas untuk mandi.
Bumbung kecil terangkat
Selain itu, pengaliran udara boleh dilakukan dengan mengadakan binaan seperti bumbung kecil terangkat, Binaan seperti ini adalah cara untuk mengeluarkan bahang udara dari ruang dalaman bangunan. Cara binaan bumbung kecil terangkat adalah dengan membina bumbung kecil yang terletak di atas bumbung utama. Binaan seperti ini bertujuan untuk membenarkan udara yang panas di dalam rumah tidak terperangkap dan boleh keluar melalui bukaan di bahagian atas. Udara ini diganti pula dengan kemasukan udara baru yang masuk melalui tingkap.
Pengaliran udara mekanikal
Pengaliran udara secara mekanikal boleh dilakukan dengan memasang alat pengaliran udara turbin. Cara begini boleh berlaku apabila turbin berpusing ditiup angin maka ia akan menyedut udara panas dalaman dan membuangnya keluar. Sekiranya tiada berlaku aliran atau tiupan angin, udara panas juga akan memusing turbin yang disebabkan oleh kesan tindanan udara.
Beberapa rujukan boleh dilakukan pada binaan rumah tradisional dalam kita cuba untuk mengadaptasi beberapa ciri reka bentuk rumah bersuhu iklim tropika. Reka bentuk rumah tradisional adalah contoh terbaik walaupun kita menghadapi beberapa situasi yang mungkin beberapa ciri berkenaan tidak dapat dilakukan kerana terikat kepada peraturan dari pihak penguasa tempatan (PBT) dan Undang Undang Kecil Bangunan (UBL).
Selain itu, kesan ekonomi, sosial dan keselamatan juga tidak membenarkan kita bertindak dengan membuat banyak bukaan pada dinding dan bumbung bangunan. Sebagai contoh, kesan daripada kekangan ekonomi pihak pemaju akan memaksimum reka letak rumah teres dengan membina secara memanjang dan ini menyebabkan aliran angin akan tersekat. Ini tidak berlaku pada reka letak rumah tradisional yang dibina secara bersilang bagi membenarkan aliran angin tidak tersekat atau berkurangan.
Kesan sosial juga diambil kira kerana kalau dahulu rumah tradisional binaannya dibuat secara pelan terbuka kerana tiada binaan dinding di dalam rumah kerana bertujuan membenarkan aliran udara bersilang atau cross ventilation. Bagaimanapun, sekarang rumah moden dibina dinding atau sekatan secara kompleks untuk menyediakan bilik dan paling minimum setiap rumah kediaman mesti menyediakan tiga bilik tidur. Ini untuk mengelak kejadian rogol dan sumbang mahram daripada berlaku.
Faktor keselamatan juga menjadi perhatian utama bagi setiap rumah kediaman ketika ini. Kejadian pecah rumah dan kecurian sering berlaku dan menyebabkan reka bentuk rumah kediaman sekarang ini tidak membenarkan banyak bukaan pada kediaman. Ini menyebabkan banyak reka bentuk dibuat secara tertutup, jika adapun bukaan, pemasangan jeriji terpaksa dilakukan. Jika reka bentuk lebih terbuka ini hendak dilakukan maka perbelanjaan untuk memasang alat penggera keselamatan terpaksa dilakukan.
Pagar Bercorak Makin Diminati
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Arkitektur
PAGAR yang tersergam indah memperlihatkan kemegahan dekorasi pemilik dan memukau pandangan setiap tetamu. Bagaimanapun, perancangan konsep kediaman lebih menarik jika reka bentuk pintu pagar diberi tumpuan utama.
Pintu pagar atau jeriji bukan saja mampu menjadi penghias dekorasi rumah supaya nampak cantik dan bergaya tetapi juga untuk mengelak kejadian tidak diingini. Selari dengan perkembangan semasa, ada pemilik yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk mendapatkan pagar reka bentuk terkini.
Glenn Wong seorang pengusaha berkenaan berkata pintu pagar antara elemen dekorasi terawal yang ditatap tetamu dan keluarga ketika berkunjung ke kediaman dan fungsinya bukan setakat melindungi rumah semata-mata.
“Fungsi pintu pagar yang dulunya hanya untuk keselamatan isi rumah kian dipelbagaikan dan berkembang sebagai pelengkap konsep hiasan kediaman. Corak pelbagai jenis dan warna serta eksklusif yang diterapkan pada pintu pagar berasaskan kemasan besi tempawan (wrought iron) menyebabkan ia diminati.
“Sebenarnya, untuk memilih corak pagar ini bergantung kepada cita rasa pemiliknya. Sama ada konsep moden, kontemporari, nusantara atau tropika, kediaman lebih bergaya jika dekorasi pintu pagar yang dipilih sesuai dan tidak keterlaluan,” katanya.
Beliau berkata, pemasangan besi hiasan bercorak bukan saja pada pagar tetapi sesuai dipasang pada selusur tangga, tingkap dan balkoni yang pastinya membuatkan ia tampil berbeza jika reka bentuknya kreatif.
Wong berkata, terdapat beberapa motif hiasan besi tempawan tiga dimensi flora dan fauna selain corak yang menerapkan keunikan identiti tempatan sebagai simboliknya termasuk corak padi dan tumbuhan tropika.
“Corak bermotifkan identiti tempatan seperti `rural charm’ mempunyai makna tersendiri dalam mengembalikan nostalgia kedesaan kepada setiap penghuni kediaman. Motif `rural charm’ memberi kesan secara langsung kerana istilah desa itu sendiri menggambarkan ketenangan dan keharmonian semula jadi.
“Menyedari keunikan itu, para pengusaha seperti saya mengambil peluang mempelbagaikan motif hiasan pada pintu pagar dalam usaha memenuhi cita rasa pemilik kediaman dan memulihara nilai estetikanya dengan gaya tersendiri,” katanya.
Beliau berkata, setiap corak tiga dimensi seperti kelopak bunga direka khas dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan pemilik dan risiko pembiakan nyamuk serta besi tidak mudah berkarat.
“Pintu pagar besi tempawan antara produk yang memerlukan ketelitian dan kreativiti dalam penghasilannya sebagai langkah memenuhi kehendak dan permintaan pelanggan.
“Biasanya motif flora yang diletakkan pada pintu pagar itu banyak mengikut permintaan pelanggan dan ada kalanya menguji kemampuan jika pelanggan meminta pemandangan hutan hujan tropika direka pada pintu pagar itu,” katanya.
Beliau berkata, motif hiasan yang ditampilkan pada pintu pagar banyak menggabungkan ideanya dan mengikut permintaan pelanggan supaya segala yang dihasilkan memenuhi cita rasa semua pihak sesuai dengan bajet dikeluarkan.









