Tip susun sofa
April 30, 2009 by admin
Fail di bawah Tip Ringkas

Ruang tamu yang praktikal serta menarik perlu mempunyai sofa yang selesa, cahaya yang cukup, feature wall yang menonjol, warna-warna yang menyegarkan, dsbnya.
Tip menyusun sofa atau tempat duduk di ruang tamu:-
- Jika ruang tamu ingin dimanfaatkan tempat merai tetamu sepenuhnya, tempat duduk elok disusun berdekatan supaya tetamu merasai kemesraan tuan rumah. Pastikan jarak di antara tempat duduk tidak terlalu jauh hingga mewujudkan ruang di tengah yang boleh menjadi kawasan lalu-lalang. Ini akan mengganggu perbualan dan sebaiknya, aliran lalu-lalang disediakan di belakang sofa.
- Ambil kira keluasan ruang tamu, kedudukan tingkap dan pintu sebelum memilih tempat duduk kerana sofa memerlukan ruang. Pastikan kehadirannya tidak menghalang kawasan lalu-lalang di muka pintu atau sekitar ruang tamu.
- Jika ruang tamu anda memanjang dan sempit, bahagikan tempat duduk kepada dua kumpulan iaitu sama ada tempat duduk gaya susunan 2 + 1 + 1 atau gaya susunan 1 + 1 dan di sudut lain ditempatkan kerusi kayu serta rotan yang ringkas. Meja kopi diletak di bahagian tengah.
- Sofa dua atau tiga tempat duduk tidak bukan bermakna sepanjang masa diduduki. Biasanya ia tidak digunakan sepenuhnya pada satu masa kerana menyukarkan perbualan. Di sini, perlunya tambahan sofa satu tempat duduk yang dapat memberi keselesaan.
- Ruang tamu yang digunakan untuk berbual dan menikmati hidangan ringan memerlukan meja kopi besar diletakkan di tengah ruang dilengkapi meja sisi serta sepasang sofa dua atau tiga tempat duduk diatur bertentangan.
- Untuk mengelakkan kebosanan selain mewujudkan tata hias menarik, pastikan fabrik pelbagai warna dan corak dipilih. Gabungan sofa dan kerusi pula mampu mewujudkan kelainan.
- Kerusi beralas tangan jenis rotan dan kayu serta sofa bersayap menampilkan gaya menarik. Selain itu, ia boleh dijadikan tempat duduk tambahan dan sudut membaca.
Panduan Memilih Langsir
April 13, 2009 by admin
Fail di bawah Tip Ringkas

Antara keperluan praktikal dan seni tatarias, langsir memainkan peranan penting kepada sesebuah rumah.
Pilihan langsir yang tepat dan sesuai adalah penting untuk memberikan keselesaan dan juga menyerlahkan kecantikan rumah kediaman anda. Kini, fungsi langsir tidak lagi hanya sebagai pendinding cahaya matahari tetapi ia menjadi sebahagian aspek penting hiasan dalaman.
Berikut adalah beberapa panduan untuk anda memilih langsir yang tepat dengan keperluan dan kehendak anda:
1. Tentukan anggaran bajet.
Kain langsir datang dengan pelbagai harga. Ada yang murah, ada yang mahal, bergantung kepada kain dan kualitinya. Ada kain langsir yang berharga di bawah RM10 semeter dan ada yang sehingga lebih RM60 semeter. Andalah yang menentukan setakat mana anda ingin berbelanja. Yang terbaik biarlah ia selaras dengan kemampuan anda. Contohnya, jika kain langsir yang anda minati berharga RM50 semeter dan panjang langsir yang diperlukan adalah 6 meter, mampukah anda mengeluarkan belanja sebanyak RM300?
2. Buat ukuran dan tentukan bentuk langsir
Ini satu aspek yang penting. Jika anda ke Kamdar untuk mencari kain langsir, perkara terakhir yang anda mahu terjadi adalah ditimpa kebingungan sewaktu menentukan panjang kain langsir. Sebagai panduan mudah, lukis secara ringkas bentuk segiempat tingkap atau pintu gelongsor (sliding door), dan ukur dimensi (panjang x lebar) tingkap tersebut di dalam buku nota kecil. Bawa buku tersebut dan tunjuk kepada pembantu jualan di kedai. Mereka yang mahir dalam bidang ini akan membantu anda membuat ukuran kain yang tepat.
3. Padankan corak dan warna langsir dengan kediaman anda
Jika dahulu pilihan corak dan warna langsir adalah terhad, hari ini tidak lagi. Kini, anda saban hari dijamu dengan rekaan langsir terkini, banyak antaranya lain daripada yang lain. Ada corak tradisional dan ada corak moden. Ada warna terang dan ada yang gelap. Ada corak melintang dan ada corak membujur. Pendek kata, anda boleh melakukan pelbagai kombinasi corak dan warna. Namun, pastikan ia kena dengan hiasan dan pandangan keseluruhan rumah anda.
4. Pilih touch up
Kini juga, langsir datang dengan pelbagai pilihan touch up. Anda boleh membuat ropol, potongan lurus, kedutan, bidai dan sebagainya. Jika anda ingin menjahit sendiri dan masih lagi berjinak jinak dengan seni jahitan langsir, dapatkan bantuan serta latihan yang mencukupi. Pelbagai panduan jahitan langsir kini boleh didapapati dengan mudah, samada menerusi buku, e-book dan juga informasi internet yang boleh didapati dengan percuma. Pilih sahaja.
5. Beli perkakas tambahan yang lain
Setelah langsir anda siap dijahit, tugas terakhir yang perlu dilakukan ialah dengan memasang langsir tersebut. Pastikan perkakasan lain, samada kecil atau besar, telah dibeli dengan lengkap. Periksa palang langsir dan buat perkiraan yang anda telah mempunyai bilangan cangkuk yang mencukupi. Jika tidak, beli cangkuk tambahan dan ia mestilah padan dengan jenis palang. Juga, tali pengikat langsir yang menarik dan sepadan adalah menjadi kemestian untuk menambah seri. Tali ikatan yang selalunya dijual asing boleh didapati antara RM10 hingga RM50, anda pilih sahaja mana yang sesuai.
Tip membersih bunga tiruan
March 30, 2009 by admin
Fail di bawah Tip Ringkas
Ramai di kalangan kita memilih untuk menghias dalam rumah dengan bunga-bunga tiruan kerana ia lebih mudah, lebih murah dan tidak kurang cantiknya.
Biasanya bunga-bunga tiruan ini dibuat dari fabrik mahupun plastik.
Walaupun menjaga bunga-bunga tiruan tidak serumit menjaga bunga-bunga hidup namun lama kelamaan ia juga boleh mengumpul pelbagai kotoran dan habuk.
Berikut adalah tip untuk membersihkan bunga-bunga tiruan supaya ia sentiasa nampak cantik berseri.
- Masak air bercampur sedikit garam kasar sehingga mendidih.
- Tuang air yang sudah suam ke dalam baldi dan campur dengan cecair pencuci.
- Rendamkan bunga tiruan selama satu hari.
- Angkat bunga tiruan dan gantung dalam keadaan terbalik. Kotoran yang masih terlekat pada bunga mudah dibersihkan. Anda hanya perlu pancutkan air menggunakan paip getah.
- Jemur bunga tiruan, juga dalam keadaan terbalik dan sembur dengan penyembur berkanji seperti yang digunakan untuk melicinkan pakaian yang diseterika.
- Tunggu sehingga ia kering sebelum digunakan semula.
Editorial Senihias.com
Tip mengekalkan kesegaran jambangan bunga
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Tip Ringkas
Kunci kepada pengekalan kesegaran jambangan bunga hidup adalah dengan memastikan air yang digunakan sentiasa bersih dan bahagian batang yang dipotong bebas dari poket udara supaya ia boleh terus menyerap air.
Caranya begini;
- Langkah pertama, beli hanya bunga yang paling segar.
- Pilih jambangan bunga yang masih belum berkembang dengan daun yang berkilat; elakkan kuntuman bunga yang layu atau telah kembang masak.
- Potong batang kuntuman bunga yang baru dibeli lebih kurang 2.5 sm di bawah air yang mengalir. Potong pada sudut 45°. Gunakan pisau tajam atau gunting pemangkas yang sebenar bagi memastikan bahagian batang yang dipotong tidak pecah atau hancur.
- Pilih pasu yang tidak menyesakkan bunga-bunga berkenaan. Isikan dengan 8 cm air yang agak suam. Potongan batang yang terendam air akan mula mereput, sebab itu jangan penuhkan pasu dengan air.
- Buang semua daun yang mungkin boleh jatuh ke dalam air. Daun reput dalam air menggalakkan perkembangan bakteria yang akan melitupi bahagian potongan batang dan mengurangkan kemampuan bunga menyerap air.
- Letakkan jambangan bunga di ruang yang sejuk, tidak terkena cahaya matahari secara langsung. Juga jangan letak jambangan bunga berdekatan dengan buah-buahan masak kerana gas ethylene yang dibebaskan oleh buahan-buahan berkenaan akan memendekkan umur kesegaran bunga-bunga anda.
- Setiap hari, potong batang kuntuman bunga sepanjang 0.5 sm pada sudut 45° di bawah aliran air dan tukar air di dalam pasu.
Editorial Senihias.com





