Kabinet kustom praktikal
June 14, 2009 by admin
Fail di bawah Perabot Kustom

Kabinet siap pasang bukan sahaja membantu anda mengurus dan menyimpan barangan malah ia juga memudahkan kerja dan menjadikan ruang anda kelihatan hebat dan menarik.
USAHA mengindahkan ruang kediaman menuntut daya kreativiti dan kesungguhan pemiliknya. Bagaimanapun, ada yang melantik pereka hiasan dalaman untuk mengilhamkan gaya dekorasi terbaik kerana kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Kini, alternatif menggunakan kabinet siap dipasang (kustom) antara langkah terbaik untuk menjimatkan ruang. Keistimewaan kabinet siap dipasang ialah ia sesuai diletakkan di mana-mana ruang sama bilik luas atau ruang sempit.
Ia menampilkan suasana lebih praktikal, kemas dan menyerikan penataan ruang. Ia juga membuatkan suasana penataan bilik tidur lebih tersusun dan kemas. Kabinet siap dipasang lebih praktikal, namun anda perlu teliti memilih jenis material, warna, reka bentuk dan ruang untuk dipasang kabinet itu.
Pelbagai aspek perlu diambil kira bagi memastikan pemasangan kabinet itu kekal bagi mengelak tambahan kos. Berikut beberapa panduan memasang kabinet berkenaan:
- Ia perlu mengikut kesesuaian ruang dan anda bebas mengukur sendiri atau melantik pereka hiasan dalaman untuk menyesuaikan ukuran kabinet dengan bilik tidur.
- Pilih kabinet siap dipasang bermutu tinggi dan tahan lama.
- Bahagian pintu kabinet pula perlu dilengkapi dengan engsel kukuh dan mementingkan ciri keselamatan.
- Pilih engsel bermutu tinggi yang membantu pintu dibuka dan ditutup dengan mudah.
- Pilih pintu yang tertutup secara automatik kerana lebih senyap dan tidak terhempas ketika dilepaskan.
- Rancang dengan teliti barangan yang hendak disimpan dalam kabinet itu bagi mengelak terlalu padat.
- Kabinet lebih kemas jika dimuatkan dengan para, laci dan rel menggantung pakaian.
Kehebatan pereka tempatan
April 7, 2009 by admin
Fail di bawah Perabot Siap
MEMASUKI Kuala Lumpur i-Design Centre (KLiDC), mata terpesona memandang perabot-perabot yang dipamer di ruang yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bukan sahaja rekaannya cantik dan unik, tetapi lebih istimewa sebahagiannya direka dan dikeluarkan oleh usahawan bumiputera tempatan.
Istimewanya, himpunan perabot usahawan bumiputera yang diketengahkan Pusat Sumber Teknologi Perabot (FITEC) dengan kerjasama KLiDC itu tidak hanya untuk pasaran tempatan sebaliknya turut dieksport ke luar negara.
Antara deretan himpunan perabot itu, terdapat satu perabot anyaman berkonsepkan ikan paus yang mendapat perhatian ramai kerana rekaannya cukup unik dan mempunyai gaya tersendiri. Lebih menarik, ia turut terpilih untuk dipamerkan di Milan, Itali.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FITEC, Sarimah Mohamad Sabudin, usahawan perabot bumiputera sebenarnya mampu bersaing di pasaran luar kerana rekaan perabot mereka juga sama hebat dengan pereka luar.
Sebab itu, FITEC telah ditubuhkan sejak 15 tahun lalu bagi tujuan membangunkan usahawan perabot bumiputera terutama dalam membantu mereka dari segi rekaan, pembangunan dan penyelidikan (R&D), latihan dan pemasaran.
”Kini, kami yakin rekaan usahawan perabot bumiputera sudah dapat diterima ramai termasuk di luar negara. Kita tidak mahu ada lagi tanggapan yang menyatakan golongan bumiputera tidak mampu untuk mencipta rekaan berkualiti tinggi dan menarik.
”Hakikatnya, pada masa ini pasaran dan permintaan perabot dalam negara masih menunjukkan peningkatan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Sumbangan eksport perabot terhadap pendapatan negara juga terus kekal positif pada tahun lalu iaitu hampir RM9 bilion walaupun dunia menghadapi krisis kelembapan ekonomi.
”Dijangka, pada tahun 2010, sumbangan eksport perabot negara akan terus meningkat dengan sasaran sebanyak RM10 bilion melalui pasaran utama ke negara Amerika Syarikat, Timur Tengah, Hong Kong, China, Jepun, Eropah, Bangladesh dan India,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Hari Perabot Wanita 2009 di KLiDC, baru-baru ini.
Sementara itu, Perunding FITEC yang juga pereka perabot profesional dari Didox Co., Milan, Itali, Emanuele De Dominicis memberitahu, rekaan usahawan tempatan sememangnya cantik dan menarik tetapi banyak yang tidak menepati cita rasa masyarakat luar negara.
Sebabnya, cita rasa masyarakat tidak serupa. Apatah lagi Itali kerap menampilkan rekaan terbaru dalam industri perabotnya. Sebagaimana himpunan pakaian yang diserlahkan mengikut musim, industri perabot juga akan mengetengahkan koleksi terkini setiap enam bulan sekali.
”Paling utama, mereka perlu memandang kepada kualiti pengeluaran produk yang ingin dipasarkan. Ia perlu berkualiti tinggi dan sempurna pembuatannya.
”Masyarakat Itali sejak dahulu amat mementingkan kualiti, rekaan yang tersendiri dan asli serta kesempurnaan.
“Jadi, tidak hairanlah ramai menyebut rekaan Itali adalah yang terbaik. Dan, Malaysia boleh memasuki pasaran Itali jika barangan yang diketengahkan setanding produk keluaran Itali,” kata Dominicis.
Kebetulan pereka perabot anyaman berkonsepkan ikan paus yang berjaya ke Milan turut sama memeriahkan pelancaran Hari Perabot Wanita 2009.
Ditanya tentang rekaannya, Rahim Ismail dari Design Principles Sdn. Bhd. menjelaskan, bentuk ikan paus dipilih kerana ia menyuntik kelainan dan keunikan yang mempunyai gaya tersendiri.
”Sebelum ini tidak ada lagi pereka perabot mencipta rekaan seperti ikan paus walaupun dalam pasaran antarabangsa. Bagi menambah keunikan, perabot ikan paus itu diperbuat menggunakan teknik anyaman daripada gabungan rotan, rumput paya dan tali pintal pelepah pisang (abaca).
”Disebabkan kelainan dan keunikan itu, perabot ikan paus terpilih untuk menyertai pameran perabot di Milan pada 21 hingga 25 April ini,” kata Rahim.
Jelas beliau lagi, fokusnya dalam industri pembuatan perabot sememangnya tertumpu pada barangan yang berasal daripada anyaman seperti rotan, rumput paya, tali pintal pelepah pisang. Terbaru, pihaknya sedang membuat barangan menggunakan plastik sintetik yang umpama rotan.
Sebenarnya, Milan adalah peluang kedua yang diperoleh Rahim dalam usaha mempromosikan rekaannya ke benua Eropah. Sebelum ini, rekaannya terpilih untuk menyertai Malaysian Craft At Its Best di Gedung Harrods yang terletak di Knightsbridge, London.
Membeli Perabot Siap
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Perabot Siap
Pengilang perabot menawarkan pelbagai jenis perabot siap yang dijuga dipanggil unit berdiri sendiri atau ‘free standing unit’. Antaranya adalah seperti almari pakaian, kabinet dapur, kabinet mempamer, kabinet perkakasan audio-visual dan sebagainya.
Perabot-perabot seperti ini boleh dibeli dengan mudah di mana-mana kedai atau pasaraya perabot yang begitu banyak. Rekabentuk perabot siap dan berdiri sendiri biasanya kompak dan mempunyai pelbagai kombinasi gaya yang menarik.
Misalnya ada yang mempunyai sentuhan seni ukiran kayu, pintu kaca dan sebagainya. Dari segi binaan pula, kebanyakan perabot jenis ini dibuat berasaskan ‘plywood’ berlamina, tetapi terdapat juga yang dipergayakan dengan kayu padat yang disalut ‘varnish’.
Ada kalanya anda boleh menemui sesuatu dari keluli tahan karat atau pun plastik. Kelebihan perabot siap atau ‘free standing’ ini adalah ia mudah dialih-alihkan jika anda ingin mengubahsuai susunatur atau gaya hiasan dalaman sesuatu ruang.
Kebanyakan perabot seperti ini dijual dalam bentuk ‘kit’ di mana anda boleh memasangnya sendiri di rumah. Seelok-eloknya sebelum membeli pastikan anda melihat sampel unit yang telah dipasang dikedai dengan teliti.
Selain itu periksa pembelian anda supaya tidak ada sebarang komponen yang hilang, tertinggal atau rosak. Kebanyakan kedai perabot bersedia membantu anda memasang dan membuat penghantaran pembelian anda terus ke rumah.
Anda mungkin akan dikenakan sedikit bayaran untuk itu. Tidak seperti perabot bina-dalam yang boleh anda tentukan daya ketahanannya sewaktu proses rekabentuk, perabot siap harus diterima seadanya.
Jadi pastikan rancangan penggunaan anda berada kemampuannya. Jika tidak, ia bukan saja boleh membawa kerosakan kepada perabot itu sendiri tetapi juga kepada barangan yang anda simpan atau pamerkan.
Akhir sekali anda juga harus memastikan rekabentuk atau gaya perabot berkenaan boleh menyesuai dengan baik dengan persekitaran keseluruhan dalaman rumah anda.
Dan jika perabot siap yang ditawarkan oleh kedai tidak mencukupi bagi memenuhi citarasa anda, anda boleh membuat tempahan khas terus dari pengusaha perabot.
Editorial Senihias.com
Empat Faktor Pilih Perabot
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Perabot Siap
TERLALU banyak perkara yang perlu diambil kira apabila membeli perabot untuk ruang makan.
Perabot yang dipilih mesti sesuai dan memenuhi cita rasa serta gaya hidup dan yang paling penting ketahanannya.
Dengan begitu banyak pilihan perabot dari segi gaya, bahan dan kualiti terdapat dalam pasaran, membuat pilihan tepat sudah tentu memeningkan dan kadangkala mengelirukan.
Faktor utama yang perlu diambil kira sebelum membeli perabot meja dan kerusi ruang makan adalah:
* Keluasan ruang
* Saiz meja makan dan kerusi
* Gaya rumah anda
* Bajet
Keluasan ruang
Anda perlu memastikan keluasan ruang dan bentuk meja makan seimbang pada keseluruhan ruang makan.
Adalah bijak jika membuat ukuran ruang makan sebelum membeli perabot.
Dengan begitu banyak pilihan perabot dari segi gaya, bahan dan kualiti terdapat dalam pasaran, membuat pilihan tepat sudah tentu memeningkan dan kadang-kadang keliru.
Selain itu lukisan pelan lantai dengan saiz ukuran mengikut skala yang betul perlu ada dan hendaklah dibawa bersama ketika menentukan pilihan perabot yang hendak dibeli.
Saiz meja
Selepas kita mengetahui keluasan ruang makan yang ada, kita sudah pasti boleh mengagak apakah saiz meja makan yang sesuai.
Satu keperluan yang mesti ialah pilihan meja makan perlu muat ruang yang ada sebab tiada siapa mahu duduk dalam ruang sempit yang mana terpaksa berhimpit untuk menikmati hidangan.
Fikirkan berapa bilangan orang yang diperlukan dalam satu masa meja makan.
Meja yang boleh dipanjangkan amat sesuai jika kita memerlukan tambahan tempat duduk.
Pilih meja yang boleh dipanjangkan dan mudah diolah kedudukannya dan diminimumkan saiznya untuk kegunaan harian.
Kelebaran meja makan amat penting. Kita memerlukan kelebaran yang cukup untuk meletakkan pinggan dan mangkuk yang digunakan untuk menghidangkan lauk-pauk.
Saiz kelebaran meja yang diperlukan adalah minimum satu meter jika hendak tetamu anda melayan diri sendiri.
Jika bilangan tetamu melebihi bilangan kerusi sedia ada sediakan kerusi yang boleh disusun secara bertindih untuk menjimat ruang apabila tidak digunakan.
Saiz Ukuran
i. Ketinggian
Standard saiz meja adalah 750 milimeter (mm) tinggi tetapi boleh direndahkan sehingga 700 mm
Tinggi kerusi mesti 450 mm pada aras tempat duduk
ii. Bilangan
Tetapkan berapa bilangan orang akan duduk, setiap orang memerlukan sekitar 600 mm kelebaran tempat duduk, benarkan 100 mm sehingga 150 mm.
iii. Jarak kelegaan
Jarakkan meja sejauh sekurang-kurangnya 600 mm dari dinding sekeliling supaya mudah untuk keluar dan masuk.
Jika mempunyai ruang makan kecil, permukaan meja boleh mengguna gelas dan ini akan memberi kesan ilusi pembesaran ruang
Bentuk meja makan
Saiz meja makan adalah faktor utama menentukan bentuk meja. Antara bentuk meja makan adalah:
Meja segi empat tepat
* Sangat sesuai untuk makan secara santai dan juga sesuai untuk makan secara romantik kerana boleh diduduki dua atau empat orang.
* Dapat menjimatkan ruang bila digunakan pada ruang kecil.
* Tidak sesuai digunakan dalam bilangan yang ramai.
Meja segi empat bujur
* Boleh menyediakan bilangan tempat duduk yang ramai
* Boleh menolong memanjangkan ruang
* Kurang sesuai dengan cara makan orang Asia jika hidangan tidak boleh dicapai pada bahagian hujung.
Meja segi empat bujur
* Boleh menyediakan bilangan tempat duduk yang ramai
* Boleh menolong memanjangkan ruang
* Kurang sesuai dengan cara makan orang Asia jika hidangan tidak boleh dicapai pada bahagian hujung
Meja bulat
* Sesuai untuk merangsang perbualan
* Berkesan dari penyesuaian pada ruang yang tidak sama
* Tidak sesuai dalam ruang kecil dan memerlukan ruang lebih berdasarkan bilangan tempat duduk.
* Perabot yang mesra keluarga
Perabot yang mesra keluarga bermaksud bahawa perabot yang digunakan mestilah mempunyai ciri ciri keselamatan, tahan lasak dan mudah dibersihkan.
Antara ciri reka bentuk perabot mesra keluarga yang selamat adalah seperti mempunyai bucu meja yang bulat dan tidak tajam dan kemasan kayu yang senang dan tahan dikesat apabila kotor.
Selain itu bagi kemasan fabrik pada kerusi juga boleh dibuka dan kemudian boleh dibasuh jika berlaku kekotoran pada lapik tempat duduk kerusi.
Ruang penyimpanan
Masalah penyimpanan barang adalah masalah utama bagi rumah kecil, oleh itu sangat baik jika perabot meja makan ada menyedia laci atau ruang penyimpanan untuk menyimpan kain pengesat tangan, alas meja atau sudu garpu.
Pastikan jika ada ruang penyimpan pada meja makan, adakah saiz ketinggian cukup untuk keselesaan bagi kelegaan tempat duduk.
Bahan kemasan
Bahan kemasan meja makan adalah terdiri dari berbagai jenis. Pilihan kemasan dibuat berdasarkan tema, gabungan dekorasi, pilihan persendirian dan kemasan sedia ada pada perabot yang dibeli.
Pilih satu kemasan yang kukuh dan mempunyai fungsi.
Kemasan Kayu
* Kuat dan memperlihatkan kesan bahan alam semula jadi
* Menampakkan keselesaan dan kecantikan pada kemasan dan urat kayu
* Berat dan sukar diubah kedudukan
* Mahal kerana diperoleh dari gred kayu yang baik dan mahal
Venir
* Sebagai bahan ganti kemasan dari bahan kayu yang padu
* Mempunyai pilihan yang banyak dari bahan urat kayu yang cantik tidak terdapat pada bahan kayu tempatan
* Mudah diselenggara jika menggunakan bahan laminate yang tahan panas dan kalis air
* Perlu dijaga bagi mengelak merekah dan terkopek pada bucu meja
Kaca dan gelas
* Menawarkan kesan eksklusif dan nampak mahal
* Dapat menambah kesan ilusi pada ruang
* Mudah dibersihkan tetapi perlu hati-hati kerana mudah pecah
* Mudah tercalar, terdapat kesan tapak tangan dan kesan habuk terkumpul pada permukaan.
Plastik
* Harga yang murah, maka ia mampu dibeli
* Ringan, mudah dialih dan disimpan
* Tahan lasak dan sangat sesuai di persekitaran luar rumah
* Mudah diselenggara tapi tidak sesuai bagi rumah kediaman yang eksklusif
* Mudah rosak kerana tidak tahan pada cahaya
Bajet
Pada dasarnya perabot ruang makan bukanlah murah seperti disangka. Semak bajet yang diperuntukkan, jika bajet tinggi, lebih baik mendapat perabot yang mahal dan bermutu tinggi.
Adalah baik menambah sedikit bajet bagi memperoleh perabot bermutu dari terpaksa berbelanja lagi kerana perabot mudah rosak atau patah.
Bagi keluarga yang baru, adalah baik memilih perabot yang ‘selamat’, ‘tahan lasak’ dan ‘berfungsi’ kerana faktor ini dapat membantu kita menggunakan perabot dengan jangka masa lama dan menjaganya baik.






