Elemen moden, selesa
SIFAT gemar bersederhana menjadi kayu pengukur Tujeri Shah Abdul Razak menentukan gaya penataan kediaman. Menyukai suasana lapang, kemas dan tenteram, konsep minimalis dan moden kontemporari menjadi inspirasi kala menghias.
Sejajar tema, himpunan warna alam seperti coklat kayu, pastel atau warna lembut dan kelabu mendominasi pilihan cat dinding, perabot, kemasan dan perhiasan. Bagaimanapun, untuk saling melengkapi dan menghindar jemu, warna merah dramatik disisipkan di beberapa tempat dan sudut.
“Saya dan isteri penggemar warna redup, sepakat menggunakan warna itu sebagai warna utama kediaman. Coklat dijadikan warna kerana mewujudkan kesan luas, mewakili selera moden selain boleh disesuaikan dengan sebarang kelengkapan dan kemasan,” katanya disokong isteri, Monazida Eza Ahmad Hasmi.
Tujeri yang menduduki rumah teres dua tingkat di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor sejak empat tahun lalu, berkata warna berkenaan juga membuatkannya berasa dekat dengan alam, mencetuskan suasana nyaman selain menjadikan fikiran lebih tenteram sebaik melangkah ke dalam rumah.
Sementara, sisipan warna merah, selain mencipta daya tarikan kontra, juga berupaya membangkitkan semangat setiap kali berada di rumah.
Ruang makan.
“Permaidani, kusyen hiasan dan motif lukisan menggunakan skim ini mengutarakan gaya segar, merangsang minda dan memulihkan tenaga,” katanya.
Tujeri berpendapat, pilihan pencahayaan yang tepat membantu menghidupkan gaya minimalis. Justeru, sebelum membeli lampu, dia menetapkan terlebih dulu tempat dan sudut sesuai untuknya.
“Lampu dipasang merujuk keperluan ruang. Misalnya, tempat yang memerlukan lebih pencahayaan seperti ruang makan, elok diterangi lampu bercahaya putih, manakala ruang tamu, sudut santai dan bilik tidur secocok dengan lampu malap yang dilihat mesra dan romantik,” katanya.
Jelas, Tujeri mempunyai penilaian sendiri dan terperinci ketika memilih lampu. Selain menetapkan lampu berkenaan harus bercahaya tidak terlalu terang atau kelam, tiga syarat lain ialah bervoltan rendah, rekaan menepati fungsi ruang, di samping ukuran merujuk luas bilik.
Ruang dapur tampil kemas dengan kabinet reka bentuk memanjang.
Lampu voltan rendah, katanya membantu dari segi menjimatkan kos elektrik, pilihan struktur serta reka bentuk menjanjikan estetika gaya, manakala saiz lampu yang tepat mengelakkan ruang nampak celaru.
“Ini tidak bermakna saya cerewet memilih lampu tetapi ketelitian perlu demi menjayakan konsep minimalis yang ditonjolkan,” katanya.
Oleh kerana perancangan telitinya itu, ruang makan tampil berseri meskipun sekadar menonjolkan elemen dekorasi tiga lukisan cat minyak dan tiang kayu selaku sempadan ruang.
“Hakikatnya, lampu gantung silinder itu yang menghidupkan ruang makan. Demikian juga dengan lampu berdiri terendak kertas di ruang santai berdepan pintu masuk dan lampu meja berkaki bulat di ruang tamu,” ujarnya.
Selain pencahayaan, gaya penataan disempurnakan lagi menerusi pilihan ringkas hiasan dinding. Sedondon kemasan dan kelengkapan, perhiasan dinding dihadkan hanya kepada lukisan bertema abstrak.
Menolak motif lukisan flora dan realisme, corak abstrak baginya pilihan berbaloi kerana lebih artistik dan mengungkap gaya tersendiri di ruang kediaman.
INFO: Kediaman Tujeri
# Pelan lantai memanjang ruang dapur disukai pemilik rumah kerana memudahkan urusan memilih reka bentuk kabinet. Granit dipilih sebagai kemasan permukaan meja kerana berciri tahan lasak dan kalis calar.
# Sebelum dicat coklat sepenuhnya, dua tahun lalu dinding menonjolkan warna coklat gelap dan jingga pinang masak. Warna itu bagaimanapun dianggap Tujeri sekadar eksperimen dalam mencari tona paling tepat dan sesuai.
# Gaya penataan disempurnakan secara berperingkat mengikut kepentingan ruang. Hiasan di ruang tamu dipenuhkan terlebih dulu disusuli ruang makan, bilik tidur dan berakhir dengan ruang dapur.
Lantai kayu lamina
LANTAI adalah kemasan yang menutup tanah supaya penghuni rumah dapat berjalan dan berpijak dengan selesa. Lantai besar fungsinya kerana menerima dan menanggung beban hidup dan mati.
Beban hidup yang dimaksudkan ialah berat manusia serta peralatan manakala beban mati adalah berat bangunan membabitkan kemasan lantai serta struktur bangunan. Lantai turut memainkan peranan penting dalam keperluan ruang. Tanpa lantai sempurna, aktiviti manusia di ruang kediaman terganggu.
Pelbagai pilihan bahan kemasan ditawarkan namun pastikan yang dipilih mengikut kesesuaian seni bina, konsep reka bentuk dalaman selain aktiviti dijalankan.
Bagi aktiviti membabitkan air seperti di bilik mandi, anda disyorkan memilih kemasan lantai tidak resap air dengan permukaan tidak licin.
Kriteria memilih kemasan lantai
Pemilik perlu bijak mengenalpasti kemasan lantai yang mampu menonjolkan konsep kediaman mereka. Ini kerana, pemilihan lantai menarik berupaya membantu mengindah serta menyerikan ruang kediaman. Namun, pemilihan tidak semestinya berdasarkan cantik semata-mata sebaliknya dipastikan praktikal, selamat, sihat dan mesra alam.
Pemilihan jenis bahan dan kemasan lazimnya ditentukan berdasarkan faktor jenis serta kualiti kemasan digunakan.
Antara kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum memilih jenis dan kemasan lantai ialah:
- Ketahanan terutama bagi ruang yang sering digunakan.
- Kos penggunaan bahan, pemasangan dan penyelenggaraan yang membabitkan masa,tenaga serta perbelanjaan.
- Mengambil kira aspek estetika dan praktikal khususnya bagi keperluan seni bina.
- Keperluan kepada kawalan menyerap kesan bunyi dan akustik.
- Mampu menyaring dan menyerap cahaya yang boleh memberi kesan menarik di ruang.
- Memenuhi kod kawalan kebakaran dan keselamatan.
Idea memilih lantai kayu
Pilihan lantai tepat selain mencipta suasana hangat semula jadi di ruang juga berupaya menyerap bunyi. Ini mengilhamkan pilihan lantai kayu yang ditonjolkan di bilik tidur, ruang tamu dan ruang tamu.
Lantai kayu yang digandingkan dengan kemasan lain seperti marmar mampu menonjolkan kelainan. Gandingan dua bahan ini serasi disebabkan corak serta nada warnanya semula jadi.
Namun, ramai juga keberatan memilih lantai kayu kerana faktor harga mahal, sukar dijaga selain merasa bertanggungjawab memelihara alam sekitar.
Begitupun, menerusi teknologi, masyarakat masih boleh menyelamatkan bumi dan mengurangkan kesan negatif meskipun memilih lantai kayu, dengan syarat bahan dipilih adalah jenis kitar semula.
Tidak dinafikan, suatu ketika dulu lantai kayunya kurang mesra alam dan tidak menjimatkan kerana dipasang menggunakan bahan perekat dan paku. Cara ini menyebabkan sebahagian besar lantai itu rosak dan tidak boleh diguna semula kala berpindah rumah.
Masalah ini selesai setelah teknik pemasangan kekunci yang menekankan penyambungan baru tanpa paku dan bahan perekat diilhamkan. Menerusi cara baru ini, pengguna boleh membuka semula lantai kayu jika ingin memasangnya di tempat lain. Lantai berkenaan mampu bertahan lama jika dijaga dengan baik.
Pilihan lantai kayu
Dua pilihan lantai kayu iaitu kayu padu dan berlamina. Lantai kayu padu secara teknikalnya, berciri tahan cuaca dan tidak mudah dimakan anai-anai. Kayu berlamina pula lebih murah berbanding kayu padu selain mempunyai kelebihan mudah dijaga, tidak menyerap air dan tidak mudah calar.
Kayu jati, oak dan merbau adalah sebahagian lantai kayu padu. Kayu merbau paling digemari kerana menampilkan keaslian warna dan ira kayu.
Menerusi konsep kitar semula, lantai kayu padu akan ditukarkan kepada lantai berlamina. Selepas melalui proses kitar semula, lantai berlamina berkenaan dijual dengan harga jauh lebih murah, pelbagai warna namun mempunyai ira kayu sama dengan kemasan kayu padu.
Terserah kepada pengguna membuat pilihan lantai kayu bertepatan cita rasa dan gaya penataan. Biasanya, faktor harga menjadi kayu ukur. Harga lantai ini biasanya bergantung ketebalan, kemasan permukaan serta jenis kayu.
Di pasaran, lazimnya, lantai kayu berlamina dijual di sekitar harga RM7 hingga RM13 untuk sekaki persegi sedangkan lantai kayu padu harganya berlipat kali ganda dari itu.
Tip Penjagaan Lantai Kayu
Mengetahui asas penjagaan kemasan kayu penting bagi mengekalkan keaslian serta jangka hayatnya. Menjaganya dengan baik juga dapat mencegahnya daripada reput dan rosak. Justeru, anda disyorkan:
- Jangan guna kain mengelap yang basah tetapi lap lantai dengan kain kering. Ini kerana air menyebabkan kayu menjadi lembap seterusnya cepat rosak. Sewaktu membersih, gunakan cecair pembersih khas untuk kayu.
- Hamparkan alas misalnya permaidani dan tikar di bawah perabot serta kelengkapan. Langkah ini bagi mengelakkan lantai calar akibat bergeser dengan perabot.
- Jangan seret, tarik dan tolak perabot berat tetapi angkat perabot itu. Geseran perabot meninggalkan bekas yang memburukkan lantai.
- Lindungi lantai yang kerap dipijak dengan permaidani. Namun, pastikan permaidani berkenaan mempunyai cengkaman kuat dan tidak mudah bergeser.
- Hindari menumpahkan cat dan simen di lantai kerana bahan berkenaan mudah menyerap dalam kayu. Bersih segera lantai sebaik terkenan tumpahan supaya ia tidak menyerap jauh ke dalam hingga merosakkan struktur kayu.
Impak ranggi
KETIKA menginap di apartmen tiga bilik di Ukay Perdana dua tahun lalu, pasangan suami isteri, Mohammad Nazri Hassan Basri dan Zarina Zainuddin mendapati unsur warna lembut yang ditampilkan gagal menyerlahkan hiasan dalaman.
Baik dinding, perabot, kabinet, langsir mahupun perhiasannya menonjolkan tona sempena inspirasi bumi. Pada mulanya, mereka menyangka warna itu membantu ruang kecil nampak luas, namun telahan mereka silap kerana selepas melaluinya, ruang sebaliknya bertukar kelam dan membosankan.
Justeru, sebaik berpindah ke Batu Caves, November lalu, Nazri dan isteri terus menetapkan memilih kombinasi cat dinding merah jambu pekat, merah bata, ungu manggis dan coklat kulit telur.
“Merah warna kegemaran saya dan isteri. Sungguhpun warna ini berisiko menyumbang suasana hangat, saya sebaliknya mengagumi cirinya yang dramatik, berani dan mencabar,” katanya.
Bagi Nazri, merah menguji kemahiran menerusi keupayaan pemilik kediaman menyuai padan warna itu dengan perabot, perhiasan dan kemasan sedia ada.
“Sebaik memutuskan menonjolkan merah, perancangan terperinci membabitkan pilihan perabot bersama susun atur perlu dilakukan. Untuk selamat, pilih perabot rekaan moden berwarna cerah yang dijamin mampu meredakan penguasaan warna ini,” katanya yang membezakan fungsi ruang dan bilik melalui warna.
Ungu dijadikan warna rasmi bilik tidur, merah jambu pekat melatari dinding tumpu, merah saga di ruang dapur manakala dinding ruang makan dan ruang tamu bertentangan dinding tumpu dicat kuning telur.
Konsep dinding berbilang warna ini ilham Nazri dalam meneroka, mempelbagaikan seterusnya mengenal pasti warna yang dominan dengan cita rasa serta tema penataan urban atau bandar yang diketengahkan.
Oleh sebab itu, pilihan warnanya bukan sembarangan sebaliknya disyaratkan saling melengkapi, harmoni dengan perabot dan kemasan selain menepati keperluan gaya urban.
“Warna garang menarik kerana menawarkan elemen kontras dengan hijau alam di luar rumah. Tetamu yang pernah berkunjung ke sini mengakui mengalami dua pengalaman berbeza iaitu terpukau dengan keindahan alam ketika berada di luar rumah, namun sebaik melangkah masuk, mereka bagai disuntik semangat baru dikelilingi warna ceria,” katanya yang memilih kemasan langsir warna merah menyala.
“Apapun gaya dan potongannya, langsir ditetapkan berwarna merah. Bagi saya, hanya warna ini senada dengan dinding dan sofa. Langsir pintu kaca sorong misalnya, sebelum ini berwarna merah hati, namun bagi memberi suasana baru, merah saga pula mengambil tempat,” katanya.
Selain warna, pilihan perabot dititikberatkan demi memastikan kediaman selesa dan sesuai diduduki.
Menyedari luas ruang terhad, Nazri mengehadkan bilangan perabot, selain memastikan kelengkapan dibeli sepadan ukuran ruang. Bahkan, disebabkan masalah ruang, dia terpaksa membatalkan hasrat membeli panel kayu lipat untuk dijadikan penanda sempadan ruang tamu dengan ruang makan.
“Sebagai ganti, saya jadikan kerusi bentuk tangan sebagai pembahagi ruang tamu dengan ruang makan. Kerusi itupun tidak mengambil banyak ruang seperti panel kayu,” katanya yang terlebih dulu mengambil ukuran ruang dan sudut sebelum membeli perabot.
“Selain belajar daripada pengalaman, saya rajin ke ruang pameran perabot untuk menimba ilmu tata hias. Kabinet televisyen di ruang tamu misalnya, sebelum ini, saya meletakkan kabinet tinggi berukuran 1.8 meter di situ.
“Kemudian, baru perasan kabinet berkenaan mengambil sebahagian ruang sekali gus mencacatkan susun atur. Gaya penataan tampil terancang setelah setelah kabinet rendah berukuran 1.5 meter mengambil alih sudut itu,” katanya.
Moden klasik
Masing-masing memiliki sentuhan tersendiri kala menghias rumah. Ada yang menata kediaman merujuk tema serta konsep, mengikut rentak dan rekaan perabot, malah sesetengahnya, bermain dengan warna, kemasan serta perhiasan.
Bagi Ahmad Aidei Jalaluddin, beliau mengambil berat soal penataan kediaman. Justeru, selain mempertaruhkan konsep moden klasik, jurutera muda itu memastikan perabot, kemasan, warna dan perhiasan dipilih mempraktikkan keseimbangan Matematik melalui teori Metafizik yang cuba ditonjolkannya.
“Saya tidak arif mengenai hiasan dalaman, namun saya cuba mencipta ruang selesa dan sihat melalui teori Matematik. Misalnya, lampu tumpu bercahaya biru di siling, selain cantik dan tenteram dipandang, ia juga antara kaedah rawatan penyakit rheumatoid arthritis dihidapi ibu,” katanya yang menggelarkan apartmennya Norihan Imperial Suite sempena nama ibunya.
Bagi memastikan kesihatan ibu bertambah baik, dia melengkapi rumah dengan jakuzi mempunyai fungsi urutan air, katil bertilam kiropeutik bagi melindungi tulang belakang beralas cadar kapas diimport dari Mesir, selain menyediakan landskap Bali dengan air terjun buatan.

Cermin separuh dinding mewujudkan kesan luas secara ilusi. Set sofa kulit Chesterfield mengutarakan citarasa mewah.
“Air yang bersifat kinetik berupaya menjana tenaga, kekuatan dan mewujudkan keseimbangan kosmos. Ini sebabnya saya bina dua air terjun buatan di taman. Selain menjadi halwa telinga, saya dapati kewujudannya meredakan bunyi bising jalan raya yang terletak di belakang rumah,” katanya yang pernah meminjamkan kediamannya untuk penggambaran drama Hartamas dan Frontpage.
Aidei berkata, dia sedia bekerjasama dengan penerbit filem dan drama yang berminat menjadikan kediamannya sebagai lokasi penggambaran, asalkan mereka menjaga baik keadaan rumah.
“Lagipun, apartmen ini hanyalah persinggahan hujung minggu dan menjadi tempat tinggal ibu ketika berkunjung ke ibu kota. Daripada tidak didiami, lebih baik disewakan untuk pendapatan sampingan,” kata anak kelahiran Kuala Kangsar yang kini bekerja dan menetap di Negeri Sembilan.
Gaya penataan moden klasik diilhamkan melalui pengalaman menginap di beberapa hotel mewah dan terkemuka di Eropah terutama di Rotterdam, Amsterdam dan London. Dia mengaku tertarik dengan perabot ukuran besar yang diresapi pengaruh Eropah lama serta rumah peranginan.
Set sofa kulit chesterfield di ruang tamu, kelengkapan bilik tidur Da Vinci di kamar peribadi dan bilik mandi dilengkapi tab, kabinet cermin serta kemasan jubin licau di lantai dan siling mewakili pengaruh gaya itu.
Begitupun, untuk mendapatkan suasana berlainan, Aidei menyelitkan satu-dua gaya penataan lain membabitkan konsep tropika di bilik tidur tetamu, kontemporari di ruang santai, moden industri di ruang dapur, di samping sentuhan Armani di stor.
Dalam banyak gaya dicuba, ruang dapur dan ruang santai tampil berbeza melalui pilihan cat dinding dan kerusi berwarna merah garang.
“Merah ialah percubaan saya untuk mengurangkan penguasaan warna coklat dan pastel. Pada mulanya, saya agak was-was kerana warna itu menyebabkan ruang nampak janggal dan terasing, namun perasaan itu hilang setelah melihat hasilnya yang ternyata membuatkan ruang lebih hidup,” katanya.
Ruang santai terletak berdekatan pintu masuk menarik perhatian kerana menghimpunkan lantai platform kayu berlamina, dinding daripada panel kayu berkeluk dan batu berstruktur, kabinet hiasan kaca, perabot dan pencahayaan moden dalam satu ruang.
Aidei berkata, ruang yang asalnya memuatkan dapur sudah menjalani hampir 80 peratus pengubahsuaian.
“ Saya sendiri yang melakar pelan lantai dan memilih kemasannya. Ini tempat saya relaks, melayari internet dan mengabadikan ole-ole dan perhiasan yang dibeli pada setiap destinasi yang pernah dilawati,” katanya yang gemar ke gedung beli-belah Harrods mencari perhiasan rumah.
Keunikan panel dinding rekaan air melentur di ruang itu paling disukainya. Sesuai tema dan gaya, Aidei menempatkan tiga arca logam motif lelaki berdansa yang dibelinya di Hong Kong di situ.
Sementara ruang dapur yang dialih kedudukannya ke belakang tampil ringkas dan praktikal, sesuai keperluan konsep moden industri yang ditonjolkan. Kemasan dinding jubin perak, lampu dengan pencahayaan boleh laras, kerusi bar merah garang dan kabinet unit dasar dan gantung kayu padu mewakili gaya pilihan Aidei.
Homedec 2009
PELBAGAI idea penataan ruang diketengahkan menerusi Pameran Dekorasi Kediaman (Homedec 09) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 30 April hingga 3 Mei ini.
Memberi penekanan kepada aspek pengubahsuaian, pembaharuan dan penataan semula segenap ruang kediaman dan pejabat, Homedec 09 kali ini menawarkan pelbagai pilihan kepada anda.
Ternyata menghias kediaman berdasarkan konsep atau tema pilihan menjadi kemestian dalam masyarakat negara ini.
Dianjurkan C I S Network Sdn Bhd sejak 2003, Homedec 09 membabitkan enam dewan dengan penyertaan lebih 260 syarikat dan lebih 800 gerai pameran disediakan.
Aneka hiasan dalaman seperti pelbagai bentuk pencahayaan, jubin untuk lantai dan dinding, pagar, perabot, lantai kayu berlamina, perkakas tingkap dan pelbagai produk landskap, kelengkapan ruang dapur, sistem pemanas air, sistem penuras air, perhiasan rumah, cat dan kertas dinding.
Dalam memenuhi keperluan teknologi dan gaya hidup masa kini, ruang pameran seperti kediaman bestari yang dilengkapi sistem hiasan dalaman canggih tampil berbeza menjadi tumpuan pengunjung.
Idea penataan ruang tamu sempurna turut diilhamkan kerana gerai pameran perabot termasuk De Sofa Manufacturing, Comfort Design Furniture dan Star Living’s Asian Zen.
Antara konsep hiasan dalaman yang menarik perhatian ramai ialah moden, tradisional dan moden kontemporari selain dekorasi suai padan.
Seterusnya, ruang atau laman kediaman yang dilengkapi dengan kolam renang dan spa tentunya memberikan pengalaman berbeza.
Ia pastinya membuatkan suasana santai dan rehat anda lebih bermakna dengan produk berkualiti termasuk dari Desjoyaux.
Tidak ketinggalan idea penataan laman khususnya binaan pergola, gazebo yang dilatari konsep pilihan semestinya merealisasikan suasana semula jadi mendamaikan.
Homedec 09 turut pelbagai aktiviti lain yang menarik seperti peraduan, ‘Colour Creation Centre’ dari Nippon Paint, klinik hiasan dalaman dan seminar Homedec.
Konsep gaya hidup bujang
NILAI kediaman yang terletak di zon komersial dan kawasan pinggir bandar ibarat langit dengan bumi. Di zon luas rangkaian perniagaan terutama diisytiharkan segi tiga emas, harga sebuah kediaman boleh mencecah hingga empat kali ganda meskipun luasnya hanya menampung sebuah bilik tidur manakala ruang tamu dan ruang dapur berkongsi pelan lantai.
Kondominium tengah bandar seperti ini dijadikan usahawan dan jurutera, Azman Hafiz Mohd rumah persinggahan. Meskipun dilengkapi hanya sebuah bilik dan ruang tamu berkeluasan 1.2 meter x 1.8 meter, rumah ini jika disewakan, kata Azman, mampu memberinya pulangan tidak kurang daripada RM6,000 sebulan.
Azman sanggup membelinya kerana berkenan dengan lokasi, tujuh minit perjalanan ke gedung membeli-belah Pavilion, berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) selain berjiran dengan hotel ternama serta kelab eksklusif.
“Sudah lama saya mengimpikan kediaman di pusat bandar kerana ingin bersantai di tengah hiruk-pikuk kota. Saya tak perlu bimbang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setiap kali membeli-belah kerana boleh sampai ke destinasi dituju dengan berjalan kaki,” katanya yang menyimpan hasrat memiliki kondominium servis itu sebaik melihat papan tanda pembinaannya.
Sesuai jenis serta keluasannya yang terhad, Azman memutuskan mencuba gaya penataan moden kontemporari dengan jumlah perabot dihadkan. Konsep semasa itu memikatnya kerana mengusulkan rekaan ringkas perabot bersama kemasan serta susun atur dirancang rapi.
“Konsep ini digemari penyokong gaya hidup urban yang memiliki kondominium sempit. Saya sendiri cuma menempatkan sebuah sofa tiga tempat duduk, meja kopi dan kabinet tv di ruang tamu. Manakala, bilik tidur sekadar selesa dengan katil ukuran raja diapit dua meja sisi kiri dan kanan,” katanya yang sebelum ini menyewakan kondominium itu kepada seorang expatriate Jepun.
Konsep dan gaya hidup hotel yang ditekankan pemaju makin meyakinkan Azman untuk merebut unit kediaman itu. Pengaruh hotel jelas dilihat melalui pelan lantai yang memperuntukkan sebuah bilik tidur berkembar bilik air, ruang tamu, balkoni dengan tambahan ruang dapur, ruang utiliti dilengkapi mesin basuh serta pengering.
Bagi Azman, konsep hotel yang disyorkan amat sesuai bagi golongan bujang sepertinya. Selain tidak perlu bersungguh-sungguh mengemas, perabot yang sedikit katanya senang diurus dan diubah kedudukannya bila-bila dirasakan perlu.
Kediaman sempit bagaimanapun tidak menyekat kebiasaan Azman yang gemar meraikan dan menerima tetamu. Sebaliknya, kenalan dipelawa ke tempat khas yang disediakan pihak pengurusan untuk majlis barbeku dan keramaian. Turut disediakan bilik membaca dan lobi untuk perjumpaan dan bermesyuarat.
Kemudahan ditawarkan ini juga antara faktor mempengaruhi Azman membelinya di samping yakin dengan jaminan keselamatan menerusi penggera automatik. Penggera berkenaan berfungsi apabila butang kecemasan ditekan. Ia kemudian menghantar isyarat amaran kepada pengawal keselamatan untuk bertindak terhadap sebarang bahaya dan kecelakaan.
Pelan lantai dianggap Azman cukup sempurna dan tidak memerlukan pengubahsuaian. Justeru, dia menetapkan tidak mengubah mana-mana sudut dan struktur ruang baik bagi memasang panel pengadang, membina kabinet siap dipasang apatah lagi mengubah peranan serta fungsi ruang.
Keputusan dibuat ini termasuk mengkhususkan mana-mana dinding sebagai dinding tumpu. Azman bertegas tidak menghiasi dinding dengan kertas dinding sebaliknya warna pastel dikekalkan sementara cat warna menjolok mata dilarang sama sekali.
“Bagi saya, dinding warna selamat bertepatan sekali dengan konsep moden semasa yang dipilih. Saya tidak akan menukarnya kepada warna dramatik yang hanya mencacatkan pemandangan serta suasana rumah,” katanya.
INFO: Kediaman Azman
# Terletak di kawasan segi tiga emas dan hanya lima minit perjalanan ke KLCC.
# Tergolong dalam kategori kondominium mewah kerana minimum sewa sebulan adalah RM6000.
# Pintu gelangsar yang memisahkan bilik tidur dengan ruang tamu memenuhi selera bekas penyewa expatriate Jepun dan cita rasa ringkas Azman. Seimbas pandang, pintu ini mirip pintu shoji Jepun.
# Dapur boleh disembunyikan dengan menarik ke bawah panel papan yang menjadi penutupnya. Azman menyukainya kerana berupaya menyembunyi suasana berkecah.
# Azman gemar bersantai di balkoni terutama pada malam minggu bagi menikmati pemandangan kota yang meriah dengan lampu serta ragam penghuninya.
# Sofa fabrik dan katil kepala dipan menjadi pilihan kerana membantu ruang tidak nampak sesak. Ia juga sesuai dengan gaya moden kontemporari yang ditonjolkan.
Tiga gaya penataan
DUA kediaman semi-D cluster yang dibeli dirobohkan dinding sempadan untuk membentuk sebuah banglo. Sesuai status dan keluasan, kediaman Sabariah M Tahir layak menonjolkan apa juga gaya penataan termasuk konsep Inggeris yang menjadi idaman. Namun, hasil muafakat bersama suami, Mohd Najeeb Khalid pengaruh Timur Tengah lebih berleluasa diperlihatkan menerusi langsir, permaidani, perabot dan perhiasan.
“Saya sebenarnya mengagumi gaya Inggeris kerana ia menjadikan suasana rumah manis dan romantik. Malangnya, suami keberatan kerana berpendapat gaya itu membuatkan ruang nampak serabut. Setelah berbincang,
Timur Tengah dijadikan inspirasi hiasan
dalaman. Selain secocok luas kediaman, bagi saya tidak susah mencari perabot dan perhiasannya kerana kian banyak membanjiri pasaran,” katanya.
Buat permulaan, gaya berkenaan dicuba di ruang tamu diwakili set perabot tamu saiz besar, perhiasan kaya ukiran dan kabinet hiasan kaca dengan rangka bersadur keemasan.
Memahami pilihan perabot dan kemasannya itu berpotensi menyumbang suasana sesak, Sabariah menutup kekurangan dengan mengehadkan bilangan perabot selain merancang rapi susun atur.
“Saya mengutamakan keselesaan. Justeru, setiap kali merancang susun atur, saya pastikan susunan perabot tidak mengongkong aliran pergerakan. Selain dihuni keluarga, rumah ini sebenarnya menjadi tempat berkumpul saudara-mara dan kerap dikunjungi anak-anak rakan serta jiran. Saya senang melihat mereka bebas bermain dan berlari di sini. Saya tidak mahu disebabkan ingin kediaman cantik, saya harus menetapkan syarat tertentu untuk mereka mengunjungi kediaman,” katanya yang berpeluang menzahirkan minat terhadap gaya Inggeris di kamar tidur tetamu aras bawah.
Menyifatkan bilik itu gambaran cita rasa peribadinya, Sabariah tidak bercadang meneruskan gaya berkenaan di ruang lain kediaman.
“Memadailah kamar tetamu itu saja tempat saya menunjuk bakat menghias ala Inggeris. Kalau adapun, mungkin satu dua sudut taman disisipkan sentuhan gaya itu,” katanya yang memenuhi taman dengan lampu solar pancang pelbagai bentuk termasuk kelopak bunga, haiwan lebah, rama-rama, pepatung dan sebagainya.
“Lampu berkenaan yang bertukar tiga warna merah, biru dan hijau selang sesaat mengubah wajah landskap seperti taman Inggeris. Seimbas pandang macam pari-pari kecil yang hinggap di kelopak bunga dan hujung daun,” katanya.
Pengubahsuaian membabitkan 60 peratus ruang rumah termasuk dua tangga dijadikan satu, ruang dapur berubah fungsi menjadi bilik tetamu dan sebahagian dinding bilik tidur utama diroboh bagi menghubungkannya secara terus dengan ruang menonton, ruang makan ditempatkan di tengah ruang manakala kaunter sarapan dibina di sayap kanan rumah.
Sabariah berpuas hati dengan hasil pengubahsuaian kecuali bahagian tangga yang gagal memenuhi kehendaknya. Sabariah mengidamkan tangga ala Bollywood yang mengusulkan dua laluan namun kerana masalah pelan lantai selain sebab keselamatan, dia terpaksa memendam dulu hasratnya itu.
“Saya berkenan dengan binaan tangga bercabang dua seperti dipaparkan dalam filem Bollywood. Namun, rekaan tangga begitu mengambil sebahagian besar ruang selain berbahaya kerana tidak berpelantar. Akhirnya, kami buat keputusan mengekalkan bentuk asli tangga diberi sentuhan tradisional melalui tingkap Melaka dan hiasan panel kaca berwarna di dindingnya,” katanya.
Di samping menonjolkan keunikan gaya, keunikan tingkap berkenaan disifatkan Sabariah penyelamat keadaan kerana membawa masuk pencahayaan dan pengudaraan di kawasan yang sebelum ini gelap dan pengap.
“Sebelum tingkap dibina, kawasan tangga gelap kerana terlindung cahaya. Sebaik siap, tingkap itu bukan saja membawa masuk cahaya bahkan mencuri tumpuan tetamu yang bertandang,” kata pemilik kediaman menawarkan dua belas bilik tidur ini.
Ditanya bagaimana dia menentukan gaya penataan bagi setiap bilik tidurnya, Sabariah dan suami berkongsi selera memilih pengaruh klasik Eropah untuk kamar tidur berdua manakala anak-anak diberi kebebasan penuh memilih kelengkapan serta kemasan bilik tidur mereka.
Kelengkapan bercita rasa Eropah kata Sabariah empuk, selesa dan memanfaatkan sepenuhnya luas ruang. Selain perabot asas seperti katil, almari pakaian, meja solek serta meja sisi, dia tidak perlu memikirkan memenuhi ruang dengan perabot sampingan.
Sementara, bertentangan dengan cat krim yang melatari seluruh kediaman, bilik anak bersuasana ceria menerusi cat biru, coklat dan hijau. Kata Sabariah, warna berkenaan dipilih sendiri empat anaknya; Nurul Adila, Mohd Adlan, Mohd Addin dan Khalid mengikut warna kegemaran masing-masing.
“Saya turutkan saja kehendak mereka. Yang sukakan hijau dibenarkan memilih hijau bermula dinding hingga cadar dan langsir,” katanya.
Sabariah bagaimanapun terkilan cat dinding luar kediaman tidak boleh diubah kerana terikat dengan syarat ditetapkan pemaju rumah. Syarat berkenaan memerlukan warna asal dinding krim dikekalkan.
“Walaupun sedikit kecewa, saya cuba bersikap positif mengenainya. Krim juga antara warna yang diharapkan untuk menyejukkan kediaman selain menghindar suasana hambar akibat penguasaan perabot kayu,” katanya.
Rona biru gaya Peranchis
KONDOMINIUMNYA terletak di tengah-tengah bandaraya, pusat perniagaan dan zon komersial. Tidak hairan nilai hartanahnya melambung tinggi dan jika ingin disewakan, penyewa harus membayar ribuan ringgit sebulan.
Namun, bukan itu persoalannya kerana bagi pemilik kediaman, Razak Ahmad, beliau lebih menitik beratkan gaya penataan kreatif, anggun dan mewah untuk ditonjolkan sejajar status rumah dimiliki. Tidak mahu terbuai dengan gaya Inggeris yang dianggap terlalu biasa, Razak tampil berbeza dengan hiasan dalaman klasik Perancis.
Tema ini kurang menjadi pilihan ramai yang belum terdedah dengan hiasan dalaman ini.
“Pengaruh Perancis menawarkan persepsi dan perasaan berbeza berbanding Inggeris yang kian menakluki gaya penataan di rantau ini. Saya selalu ke Paris dan sangat terpegun dengan hiasan dalaman kediaman di sana.
“Saya mengambil keputusan mencuba klasik Perancis gara-gara jatuh cinta pandang pertama dengan salah sebuah hotel yang pernah dikunjungi,” katanya yang memilih keluarga cat biru untuk ditonjolkan.
Bagi Razak, biru bukan sekadar warna bilik tidur tetapi menawan menyeri seluruh kediaman. Namun, bagi yang ingin mencuba, dia menasihatkan warna itu dipelbagaikan seperti beragam pilihan biru yang ditonjolkannya termasuk biru kelabu, biru nila dan biru langit.
“Selain warna kegemaran, saya memilih biru kerana warna itu sejuk dan dapat meredakan bahang matahari yang masuk melalui tingkap kaca. Selain satu-satunya bangunan pencakar langit di kawasan ini, binaan tingkap luas memburukkan keadaan kerana mengakibatkan suasana panas berbahang. Langsir tebal dan dinding cat biru mampu menyejukkan mata dan suasana,” katanya yang juga memiliki sebuah banglo di Shah Alam.
“Sebab lain saya memilih biru ialah tidak mahu kediaman ini sama dengan banglo yang seluruh dinding dicat warna tanah,” katanya.
Meskipun klasik Perancis dijadikan tema penataan, Razak tidak mahu terlalu terkongkong dengan gaya itu sebaliknya selera moden turut disisipkan.
Klasik mempengaruhi pilihan lampu candeliar, perabot berinspirasikan era Louie ke-16 serta langsir fabrik tebal beralun. Manakala, cita rasa semasa diserlahkan melalui penggunaan meja konsol serta meja bulat permukaan kaca digandingkan bersama sepasang kerusi fabrik di ruang tamu.
Namun, biar apapun pilihan perabot, Razak memastikan yang dibeli berwarna putih selain bukan dalam bilangan lengkap. Perabot putih katanya, menukar ruang menjadi lebih luas manakala bilangan perabot sepatutnya dihadkan untuk kediaman sempit.
“Selain itu, ruang juga boleh nampak luas dengan pertolongan cermin. Sebab itu kediaman ini kaya cermin terutama ruang makan yang seluruh dindingnya dipasang kemasan itu,” katanya.
Meskipun baru empat bulan mendiami kondomonium itu, gaya penataannya seolah lengkap sempurna. Namun, kata Razak masih banyak yang ingin dirancang termasuk mengubahsuai ruang dapur di samping menempatkan sebuah meja konsol di ruang makan.
Banyak yang ingin diubah Razak di ruang dapur apatah lagi selaku unit kediaman paling bawah, dia mendapati ada lebihan kawasan lapang di antara ruang dapur dengan kawasan siar kaki hadapan rumah. Razak berhasrat membina taman tengah ruang (courtyard) di situ.
“Ruang kosong itu bakal diisi landskap lengkap dengan kerusi dan meja taman. Saya juga bercadang membina jendela kaca Perancis yang dianggap romantik selain ia juga sebahagian syarat pembentukan taman Inggeris,” katanya.
Mengenai hiasan dalaman, Razak amat berpuas hati kerana pilihan tema dibuat menggambarkan cita rasa peribadi. Ia mungkin dikekalkan buat beberapa tahun lagi kerana setakat ini, dia belum bercadang mencampur-adukkan konsep penataan. Dia bagaimanapun tidak menolak aliran gaya baru andai yang dilihat sesuai selera dan boleh disuaipadan dengan perabot sedia ada.
“Saya tidak menentang konsep ‘mix and match’ tetapi menghias jangan keterlaluan. Seeloknya kemasan, perabot, warna dan perhiasan dipastikan senada dan sealiran gaya,” katanya yang mengutamakan perancangan ruang supaya kesilapan seperti salah membeli perabot dapat dielakkan.
“Seawal melihat pelan lantai, saya sudah tahu jenis dan bilangan perabot yang ingin diisi. Ini penting kerana susun atur perlu tepat dan sistematik jika mahu kediaman selesa diduduki. Selain lukisan dan cermin, saya memutuskan tidak menempatkan terlalu banyak perhiasan. Ini cara saya mengelakkan ruang menjadi sesak,” katanya.
Kemahiran Razak menggubah bunga segar mendapat pengiktirafan dunia sehingga menjadi pilihan selebriti ternama Brad Pitt dengan Jennifer Aniston dan Drew Barrymore dengan Tom Green untuk hiasan majlis perkahwinan mereka manakala Oprah Winfrey, Ricky Martin, Keanu Reeves, Toni Braxton, Celine Dion serta Elizabeth Taylor memilih gubahan bunganya sebagai penyeri kediaman.
Justeru, sedikit aneh apabila bunga tiruan menjadi pilihan Razak untuk mengindahkan ruang. Ditanya mengenainya, Razak memaklumkan kondominium berkenaan berfungsi sebagai rumah persinggahan hujung minggu atau tempat bermalam ketika mempunyai urusan di ibu kota.
Memandangkan tidak selalu berada di kediaman itu, Razak berpendapat tidak berbaloi ia disemarakkan dengan jambangan hidup kerana katanya, “ Alangkah ruginya memilih bunga mekar jika tiada yang menghayatinya. Lebih baik ruang diserikan dengan bunga tiruan yang pasti kekal berpanjangan.”
Titisan air bergantungan
SEJALUR batu dari gunung berapi di Indonesia bertempek pada salah satu bahagian dinding ruang tamu utama rumah banglo empat tingkat di Templer Hills, Selayang, Selangor.
Dipotong berpetak dan disusun tidak rata, tujuannya tiada lain iaitu untuk memberi karakter kepada ruang yang disifatkan sebagai terhad oleh perekanya, Valerie Cho.
“Rekaan kami sangat mudah. Untuk itu kami membiarkan ruang-ruang di sini didominasi warna putih dan hitam.
“Bagi memotong momentum di ruang yang ringkas di ruang tamu ini, kami meletakkan set sofa dan meja berbentuk heksagon,” ujar Valerie.
Turut menyuntik warna merah bagi mengelakkan suasana yang mendatar, usaha itu dilihat membuahkan hasil terutamanya melalui pemilihan perabot yang berciri futuristik dan unik.
Bagaimanapun, kata Valerie, ketinggian siling paling banyak membantu ‘meluaskan’ lagi ruang tamu itu.
Satu lagi aspek yang menarik pandangan ialah lampu siling bertingkat yang kelihatan seperti titisan air bergantungan di tengah-tengah ruang itu. Bentuknya yang leper juga menyumbang kepada unsur kasual dan santai.
“Kami mahu mendapatkan persekitaran hutan, tetapi dalam terjemahan moden. Disebabkan itulah kami memilih lampu dan batu dari gunung berapi ini. Kalau diperhatikan pada ruang makan, persekitaran itu lebih terasa. Lihat saja kerusi makan dan lampunya,” kata Valerie lagi.
Masih mengekalkan dominasi hitam-putih, tidak mustahil ruang makan itu menjadi antara ruang yang paling elegan di dalam kediaman mewah ini.
“Ruang makan adalah antara bahagian yang paling saya suka kerana ia luas dan sangat selesa,” kongsi beliau.
Di aras lebih bawah yang hampir dengan kolam mandi dan landskap luar ialah bilik rekreasi yang digambarkan Valerie sebagai bilik bersantai selepas mandi-manda atau beriadah di luar rumah.
Ruang rehat serba putih yang disisipkan warna hitam, kelabu dan coklat itu sangat ringkas. Namun pemilihan perabotnya wajar dipuji kerana bersesuaian dengan fungsinya yang memerlukan ciri tahan lasak dan tidak mudah comot serta mudah dibersihkan.
Meneroka ruang privasi, kamar tidur pertama yang diperkenalkan ialah milik anak perempuan tuan rumah.
“Bilik ini kami berikan konsep feminin. Tidak terlalu menitikberatkan warna-warna ‘kewanitaan’, sebaliknya kami memilih bentuk bulat sebagai tema. Daripada katil dan lampu, kepada corak bantal, langsir, lampu dan kertas dindingnya,” jelas pereka muda ini.
Bagi bilik yang lebih maskulin, Valerie dan teman-teman mencadangkan bentuk segi empat dan warna yang lebih gelap seperti hitam dan kelabu.
Jelas dapat diperhatikan pada cadar katil, lantai parquet lebar, kertas dinding, dan riasan dinding pada kepala katilnya, kekuatan bilik itu sebenarnya lahir daripada pencahayaan yang dramatik.
Kata Valerie, bilik tidur utama adalah kemuncak privasi. Jika kedua-dua bilik tadi menerapkan banyak unsur dua dimensi (2D), di dalam bilik tuan rumah segala-galanya berbentuk tiga dimensi (3D).
Dinding pada kepala katilnya menggunakan kaca dan kotak cahaya, timbul dan tenggelam pada turutan tidak sekata. Kraf dinding berasaskan kayunya pula dirancakkan dengan kiub kayu putih mobil yang dapat dialih untuk susunan yang berbeza mengikut selera.
Bilik airnya yang diisi dengan jakuzi muatan dua orang dimulakan dengan kertas dinding warna merah berkarakter pada dinding luarnya.
Jika emosi ghairah yang ingin disasarkan, warna asmara itu seharusnya membantu. Ditambah dengan lampu candelier bercahaya malap, unsur romantis sudah lama bertamu.
Malah, dari jakuzi, penghuni dapat menikmati pemandangan landskap di luar rumah berikutan kedudukan dinding kaca bilik air itu terletak sejajar dengan dinding kaca bilik.
Disiplin gaya Inggeris
Langkah kami ke dalam kediaman ini disambut ketenangan haruman ros minyak aromaterapi. Seolah-olah seiring dengan kehadiran jambak bunga yang mekar melata di penjuru rumah pangsapuri itu, wangian itu sinonim dengan tema Inggeris yang ditampilkan.
Bagi suri rumah, Rahayu Abdul Halim, kediaman persendirian di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor yang dimiliki bersama suaminya, Mohd. Azlin Abdul Khahar pada harga RM62,000 enam tahun lalu, perlu diserikan sebaik mungkin.

DARI KIRI IKUT ARAH JAM: JAMBANGAN bunga sarat begitu sinonim dengan konsep rias dalaman ala Inggeris.
Apatah lagi keinginan itu didorong nalurinya yang cenderung melakukan kerja-kerja mereka hias kediaman. Baik langsir, sarung kusyen, alas meja hinggalah kepada ornamen di meja, diakui Rahayu mendapat sentuhan kreatifnya sendiri.
“Dulu saya pernah menghias rumah ini dengan konsep perabot jati. Lama-kelamaan terasa tidak selesa kerana ton warnanya yang gelap. Maka, saya akhirnya memilih untuk menerapkan konsep hiasan dalaman ala Inggeris. Ia lebih ceria dan nampak segar,” ujar Rahayu yang mengambil inspirasi daripada pembacaan majalah hiasan dalaman.
Lebih menarik, di dalam ruang tamu yang bersambung pelan lantai dengan ruang makan itu, terdapat banyak perabot lama diberi sentuhan baru.

ATAS: LALUAN ke dapur turut dihias cantik. BAWAH: PARA-PARA di dinding nampak elok hanya dengan gubahan hiasan ringkas.
“Kerusi kayu, kabinet dan rak-rak lama telah saya cat dengan warna putih agar kelihatan serasi dalam konsep dekorasi Inggeris. Tidak perlu membeli perabot yang baru selagi apa yang kita miliki boleh diubah suai mengikut tema yang dikehendaki,” katanya.
Ruang yang terhad dalam kediaman bukan halangan untuk Rahayu bereksperimen secara lebih terperinci. Setelah menyusun atur cermin bersiri untuk memaksimumkan ilusi ruang, dinding yang dilekatkan pembahagi bercorak tidak sekali-kali dibiar kosong.
Selain menggantungkan bingkai gambar, para-para kayu terdakap kemas pada aras tinggi dinding. Ia menjadi tempat ideal bagi meletakkan gubahan ringkas.
Gandingan hiasan seperti pinggan dan cawan bermotif bunga-bungaan nampak serasi disusun bersama kendi, bekas penyiram dan juga jambak kecil lavender. Di satu sudut di atas meja, juga ditemukan set peti kayu kecil yang dicat putih dan disempurnakan seni tekap dan tampal bermotif bunga.
“Semua yang dimiliki ini dibeli sedikit demi sedikit. Di Shah Alam ini sudah terdapat banyak kedai yang menjual barangan hiasan Inggeris. Ada yang mahal, ada juga yang berharga murah. Namun, terserah pada pemilik kediaman untuk memilih mana yang sesuai,” terangnya yang mendapat sokongan suami dan anak-anak dalam hal menghias rumah.
Dalam kediaman 750 persegi itu, Rahayu bijak menyusun atur perabot agar ruang gerak tidak dikorbankan. Laluan utama ke pintu keluar dari bilik tidur dan dapur tidak dihalang hiasan sarat. Dari aspek keselamatan, faktor tersebut telah diambil kira oleh Rahayu.
“Anak-anak saya yang masih kecil juga diasuh untuk menghargai persekitaran ini. Apabila mereka memahami, tidak timbul masalah tentang dekorasi yang rosak akibat diusik atau dilanggar,” ujarnya yang juga secara sambilan menjaga anak-anak jirannya.
Menurut Rahayu, pemilihan konsep hiasan dalaman Inggeris bukan sekadar keinginan bersifat melepaskan batuk di tangga. Minat itu datang bersama tanggungjawab dan disiplin untuk memastikan kebersihannya setiap hari. Habuk sememangnya menjadi ‘musuh’ utama.
“Tip penjagaan utama adalah penghuni kediaman perlu membersihkannya setiap hari. Jangan tunggu lama tanpa dibersihkan kerana kekotoran yang terkumpul menambahkan kesulitan mengemas,” katanya yang secara tidak langsung menganggap semua kerja membersih itu suatu riadah di rumahnya.



























