Kabinet kustom praktikal
June 14, 2009 by admin
Fail di bawah Perabot Kustom

Kabinet siap pasang bukan sahaja membantu anda mengurus dan menyimpan barangan malah ia juga memudahkan kerja dan menjadikan ruang anda kelihatan hebat dan menarik.
USAHA mengindahkan ruang kediaman menuntut daya kreativiti dan kesungguhan pemiliknya. Bagaimanapun, ada yang melantik pereka hiasan dalaman untuk mengilhamkan gaya dekorasi terbaik kerana kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Kini, alternatif menggunakan kabinet siap dipasang (kustom) antara langkah terbaik untuk menjimatkan ruang. Keistimewaan kabinet siap dipasang ialah ia sesuai diletakkan di mana-mana ruang sama bilik luas atau ruang sempit.
Ia menampilkan suasana lebih praktikal, kemas dan menyerikan penataan ruang. Ia juga membuatkan suasana penataan bilik tidur lebih tersusun dan kemas. Kabinet siap dipasang lebih praktikal, namun anda perlu teliti memilih jenis material, warna, reka bentuk dan ruang untuk dipasang kabinet itu.
Pelbagai aspek perlu diambil kira bagi memastikan pemasangan kabinet itu kekal bagi mengelak tambahan kos. Berikut beberapa panduan memasang kabinet berkenaan:
- Ia perlu mengikut kesesuaian ruang dan anda bebas mengukur sendiri atau melantik pereka hiasan dalaman untuk menyesuaikan ukuran kabinet dengan bilik tidur.
- Pilih kabinet siap dipasang bermutu tinggi dan tahan lama.
- Bahagian pintu kabinet pula perlu dilengkapi dengan engsel kukuh dan mementingkan ciri keselamatan.
- Pilih engsel bermutu tinggi yang membantu pintu dibuka dan ditutup dengan mudah.
- Pilih pintu yang tertutup secara automatik kerana lebih senyap dan tidak terhempas ketika dilepaskan.
- Rancang dengan teliti barangan yang hendak disimpan dalam kabinet itu bagi mengelak terlalu padat.
- Kabinet lebih kemas jika dimuatkan dengan para, laci dan rel menggantung pakaian.
Padanan lampu sesuai
June 1, 2009 by admin
Fail di bawah Pencahayaan
SETIAP ruang memerlukan kaedah penyelesaian pencahayaan berbeza. Baik ruang tamu, bilik tidur mahupun ruang penyimpanan bawah tanah, pelan pemasangan lampu harus disajikan mengikut kesesuaian dan keperluan ruang.
Ruang seluas 3.7 meter x 3.7 meter, misalnya memadai dilengkapi sebuah lampu yang melimpahkan cahaya ke arah atas yang berkuasa 120 watt, manakala bagi sebaran cahaya lebih berkesan, boleh dilakukan dengan menambah empat lagi lampu yang dipasang pada setiap penjuru ruang.
Bagi bilik luas, anda disyorkan memasang lampu berbentuk empat segi tepat dengan sekurang-kurangnya tambahan enam lampu pada sudutnya.
Namun, usaha menentukan pencahayaan ruang dapur dan bilik mandi jauh lebih sukar berbanding ruang lain kediaman kerana kawasan ini menawarkan aliran pergerakan yang tinggi.
Bagi ruang dapur, misalnya penekanan seharusnya diberikan kepada kawasan bekerja merangkumi sinki, dapur dan meja kerja. Lampu cahaya menghala ke atas yang dipasang secara berjajar di atas serta sudut luar kabinet, selain meluaskan penyebaran cahaya juga berkesan mengelakkan bayang ketika memasak di dapur.
Candeliar sesuai dijadikan lampu tumpu.
Untuk sebaran cahaya yang lebih serata, kedudukan lampu ditentukan dengan mengambil kira aspek seperti jarak empat hingga lima kaki di antara satu dengan yang lain.

Lampu gantung, siling dan pencahayaan ke atas yang ditempatkan secara berjajar di kabinet menghidupkan ruang dapur.
Lampu meja, lantai dan dinding meskipun berperanan sebagai lampu sokongan, kedudukannya perlu dipastikan betul. Jangan pasang lampu di kawasan penjuru kerana biarpun anda fikir ia cantik di situ, tetapi fikirkan pula fungsinya dalam usaha membantu menerangi ruang.
Kenal pasti sudut sesuai sekiranya ingin menempatkan lampu tambahan. Hindari memasang lampu itu di ruang bertentangan skrin televisyen dan komputer kerana boleh menyebabkan silau.
INFO: Tip Memilih Lampu
# Untuk menjadikan ruang sempit nampak luas, anda disyor memasang lampu pencahayaan ke atas di sudut strategik di lantai.
# Bilik luas nampak selesa dengan pilihan lampu dinding bercahaya malap.
# Mereka yang menjadikan lampu hiasan candeliar sebagai titik tumpu ruang, pastikan tiada sebarang lampu tambahan ditempatkan berdekatan. Ini kerana lampu ini berpotensi menenggelamkan keindahan candeliar itu.
# Lampu dengan pencahayaan boleh laras membantu menyenangkan hidup. Ia membenarkan anda mengawal jumlah cahaya mengikut keperluan pada sebarang masa dan tempat.
# Lampu pendarfluor lebih baik berbanding bercahaya terang kerana mampu menjimatkan sehingga 70 peratus kos elektrik. Tidak dinafikan harganya lebih mahal, namun jangka hayatnya 10 kali lebih panjang daripada lampu bermentol putih.
# Sediakan jadual membersih lampu. Mencucinya secara berkala menghasilkan kaca jernih yang mampu menyediakan impak cahaya berkesan.
# Di pasaran, disediakan pelbagai pilihan lampu terendak, namun yang terbaik ialah ukuran terendaknya sama besar dengan diameter paling besar badan lampu. Trend terkini, bagaimanapun menyaksikan ukuran terendak beberapa inci lebih besar daripada badan lampunya.
# Penyediaan lampu landskap berbeza dengan pencahayaan untuk dalam rumah. Pelan pemasangan sempurna mengkhususkan satu atau dua lampu reka bentuk menarik untuk ditempatkan di pusat tumpuan laman disusuli beberapa lampu lain di sekeliling kawasan itu.
# Sebagai langkah keselamatan, semua lampu dan kabel ditentukan berjarak sekurang-kurangnya dua meter daripada kolam renang.
Elemen moden, selesa
SIFAT gemar bersederhana menjadi kayu pengukur Tujeri Shah Abdul Razak menentukan gaya penataan kediaman. Menyukai suasana lapang, kemas dan tenteram, konsep minimalis dan moden kontemporari menjadi inspirasi kala menghias.
Sejajar tema, himpunan warna alam seperti coklat kayu, pastel atau warna lembut dan kelabu mendominasi pilihan cat dinding, perabot, kemasan dan perhiasan. Bagaimanapun, untuk saling melengkapi dan menghindar jemu, warna merah dramatik disisipkan di beberapa tempat dan sudut.
“Saya dan isteri penggemar warna redup, sepakat menggunakan warna itu sebagai warna utama kediaman. Coklat dijadikan warna kerana mewujudkan kesan luas, mewakili selera moden selain boleh disesuaikan dengan sebarang kelengkapan dan kemasan,” katanya disokong isteri, Monazida Eza Ahmad Hasmi.
Tujeri yang menduduki rumah teres dua tingkat di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor sejak empat tahun lalu, berkata warna berkenaan juga membuatkannya berasa dekat dengan alam, mencetuskan suasana nyaman selain menjadikan fikiran lebih tenteram sebaik melangkah ke dalam rumah.
Sementara, sisipan warna merah, selain mencipta daya tarikan kontra, juga berupaya membangkitkan semangat setiap kali berada di rumah.
Ruang makan.
“Permaidani, kusyen hiasan dan motif lukisan menggunakan skim ini mengutarakan gaya segar, merangsang minda dan memulihkan tenaga,” katanya.
Tujeri berpendapat, pilihan pencahayaan yang tepat membantu menghidupkan gaya minimalis. Justeru, sebelum membeli lampu, dia menetapkan terlebih dulu tempat dan sudut sesuai untuknya.
“Lampu dipasang merujuk keperluan ruang. Misalnya, tempat yang memerlukan lebih pencahayaan seperti ruang makan, elok diterangi lampu bercahaya putih, manakala ruang tamu, sudut santai dan bilik tidur secocok dengan lampu malap yang dilihat mesra dan romantik,” katanya.
Jelas, Tujeri mempunyai penilaian sendiri dan terperinci ketika memilih lampu. Selain menetapkan lampu berkenaan harus bercahaya tidak terlalu terang atau kelam, tiga syarat lain ialah bervoltan rendah, rekaan menepati fungsi ruang, di samping ukuran merujuk luas bilik.
Ruang dapur tampil kemas dengan kabinet reka bentuk memanjang.
Lampu voltan rendah, katanya membantu dari segi menjimatkan kos elektrik, pilihan struktur serta reka bentuk menjanjikan estetika gaya, manakala saiz lampu yang tepat mengelakkan ruang nampak celaru.
“Ini tidak bermakna saya cerewet memilih lampu tetapi ketelitian perlu demi menjayakan konsep minimalis yang ditonjolkan,” katanya.
Oleh kerana perancangan telitinya itu, ruang makan tampil berseri meskipun sekadar menonjolkan elemen dekorasi tiga lukisan cat minyak dan tiang kayu selaku sempadan ruang.
“Hakikatnya, lampu gantung silinder itu yang menghidupkan ruang makan. Demikian juga dengan lampu berdiri terendak kertas di ruang santai berdepan pintu masuk dan lampu meja berkaki bulat di ruang tamu,” ujarnya.
Selain pencahayaan, gaya penataan disempurnakan lagi menerusi pilihan ringkas hiasan dinding. Sedondon kemasan dan kelengkapan, perhiasan dinding dihadkan hanya kepada lukisan bertema abstrak.
Menolak motif lukisan flora dan realisme, corak abstrak baginya pilihan berbaloi kerana lebih artistik dan mengungkap gaya tersendiri di ruang kediaman.
INFO: Kediaman Tujeri
# Pelan lantai memanjang ruang dapur disukai pemilik rumah kerana memudahkan urusan memilih reka bentuk kabinet. Granit dipilih sebagai kemasan permukaan meja kerana berciri tahan lasak dan kalis calar.
# Sebelum dicat coklat sepenuhnya, dua tahun lalu dinding menonjolkan warna coklat gelap dan jingga pinang masak. Warna itu bagaimanapun dianggap Tujeri sekadar eksperimen dalam mencari tona paling tepat dan sesuai.
# Gaya penataan disempurnakan secara berperingkat mengikut kepentingan ruang. Hiasan di ruang tamu dipenuhkan terlebih dulu disusuli ruang makan, bilik tidur dan berakhir dengan ruang dapur.
Seni Sulaman Benang Reben
May 22, 2009 by admin
Fail di bawah Objek Seni Deko
Sulaman benang reben bukanlah suatu seni sulaman baru. Ia merupakan cabang seni sulaman yang sudah pun menempa populariti dalam masyarakat di seluruh dunia. Bagaimanapun di negara kita, seni sulaman ini masih kurang diketengahkan walhal dari segi seni dan keindahannya, sulaman jenis ini sangat menarik serta luas ruang kreativitinya.
Siapa saja mudah terpikat dengan keunikan dan kecantikan hasil sulaman benang reben yang halus dan indah. Aplikasi sulaman bukan sahaja di permukaan semua jenis fabrik malah kepada permukaan bahan-bahan yang boleh “dijahit” lain seperti kulit, PVC, dan sebagainya. Oleh yang demikian seni sulaman benang reben ini boleh menghiasi apa saja.
Batasannya hanyalah kreativiti seseorang.
Hasil ciptaan sulaman benang reben boleh dibingkai untuk menghiasi dinding. Ia juga boleh memperindahkan langsir, sofa, sarung bantal, selimut, cadar, alas meja dan pelbagai yang lain. Ia juga boleh disulam untuk mencantikkan beg tangan, baju, topi, kasut… Ia boleh membantu menjadikan gubahan hantaran nampak lebih unik, menarik dan eksklusif.
Seni sulaman benang reben membolehkan anda “bermain” dengan pelbagai motif, corak atau imej. Sifat sulaman yang menonjol memberi kesan tiga dimensi. Kesan ini menambahkan keindahan motif, corak atau imej yang dipaparkan.
Pelajarilah Seni Sulaman Benang Reben

Nampak betapa cantiknya hasil seni sulaman benang reben. Bayangkan jika anda mempunyai pengetahuan dan kemahiran terhadap seni ini. Apa manfaat yang boleh anda perolehi?
Banyak. Banyak sekali manfaatnya. Anda mampu memperindah suasana kehidupan harian dengan jari jemari yang dibantu minda kreatif anda sendiri. Sulam baju anda, sulam baju anak anda. Hadiahkan untuk sikecil rakan karib anda. Sulam semua fabrik yang menghiasi rumah anda! Sulam semua aksesori yang ada!
Bayangkan. Anda boleh mengisi masa lapang anda dengan kerja yang menyeronokkan dan berfaedah ini walaupun sambil menonton opera sabun dari Indonesia atau Filipina yang anda gemari saban hari. Tak ada masalah! Dan yang lebih baik lagi, anda boleh memulakan perniagaan hasil sulaman benang reben dari rumah.
Dapatkan tempahan dari kawan-kawan, saudara-mara, jiran-jiran, pasarkan melalui internet atau dapatkan tempahan pukal dari kedai-kedai cenderahati. Buat kerjasama dengan pengusaha andaman untuk rekaan gubahan hantaran perkahwinan berasaskan seni sulaman benang reben yang unik dan menawan. Wow!!
Kelas Sulaman Benang Reben Kak Zan

Kelas Sulaman Benang Reben Kak Zan adalah peluang dan pilihan terbaik anda untuk mempelajari seni indah dan berpotensi ini. Kak Zan adalah seorang pesara guru yang sangat berbakat.
Dengan pengetahuan dan kemahiran yang beliau miliki dalam seni ini serta pengalamannya sebagai guru, pakej beliau adalah lengkap dan terbaik. Apatah lagi Kak Zan sendiri pun telah banyak memasarkan hasil kerja sulamannya itu secara komersial, pengalaman beliau dalam aspek ini tentunya sesuatu yang tak ternilai jika anda ingin melangkah ke arah yang sama.
Sebagai manifestasi kesungguhan dan keinginan Kak Zan untuk melihat anda benar-benar dapat belajar dengan baik, peserta kelas Kak Zan tidak melebihi dari 10 orang. 6 – 10 orang merupakan sebuah kumpulan pelajar yang ideal. Anda boleh mencipta kumpulan anda sendiri atau menyertai kumpulan yang diuruskan Kak Zan.
Pakej-pakej sulaman yang ditawarkan
Kak Zan menawarkan pelbagai pakej sulaman. Peserta boleh memlih pakej yang bersesuaian mengikut citarasa dan tahap kemahiran. Pakej-pekej ini disusun sebegitu rupa agar peserta berpeluang meneroka alam sulaman benang reben yang sangat luas ini.
- Pakej Asas (8 jam) – Ditawarkan kepada mereka yang baru berjinak dengan alam sulaman, mengandungi sekurang-kurangnya 12 jenis stitches yang menggunakan benang dan reben.
- Pakej Mawar (8 jam) – mengandungi 8 teknik menghasilkan bunga-bunga ros yang berbeza dari segi kesan tampak.
- Pakej Ropol (8 jam) _ mengandungi 8 teknik ropol yang menghasilkan pelbagai jenis bunga.
- Pakej Benang Timbul (8 jam) – mengandungi 8 teknik menghasilkan sulaman benang yang timbul.
- Pakej Stumwork (8 jam) – Mengandungi 8 teknik menghasilkan kraf benang brsifat 3 dimensi yang menarik.
- Pakej mawar khas (8 jam) – 4 teknik sulaman mengguna reben silk lite 13mm.
- Pakej Hobby (16 jam) – mengandungi 16 jenis dan teknik pilihan daripada pakej-pakej di atas.
- Pakej Tambahan (4 jam) – mengikut permintaan semasa.
Lokasi
Kelas boleh diadakan di lokasi yang anda ingini atau lokasi yang ditetapkan Kak Zan. Yang penting jika anda yang memilih lokasi, pastikan anggota kumpulan anda cukup ekonomik untuk menampung semua kos Kak Zan datang mengajar.
Yuran mengajar Kak Zan adalah amat berpatutan walaupun beliau mengajar lebih banyak teknik sulaman benang reben dari yang ditawarkan oleh orang lain.
Untuk maklumat lanjut hubungi Kak Zan di talian 019-283 0479.
Email : kakzanbidawi@yahoo.com
Alamat: 580A, Jalan Samudra Utara 2, Taman Samudra, Batu Caves.
Lantai kayu lamina
LANTAI adalah kemasan yang menutup tanah supaya penghuni rumah dapat berjalan dan berpijak dengan selesa. Lantai besar fungsinya kerana menerima dan menanggung beban hidup dan mati.
Beban hidup yang dimaksudkan ialah berat manusia serta peralatan manakala beban mati adalah berat bangunan membabitkan kemasan lantai serta struktur bangunan. Lantai turut memainkan peranan penting dalam keperluan ruang. Tanpa lantai sempurna, aktiviti manusia di ruang kediaman terganggu.
Pelbagai pilihan bahan kemasan ditawarkan namun pastikan yang dipilih mengikut kesesuaian seni bina, konsep reka bentuk dalaman selain aktiviti dijalankan.
Bagi aktiviti membabitkan air seperti di bilik mandi, anda disyorkan memilih kemasan lantai tidak resap air dengan permukaan tidak licin.
Kriteria memilih kemasan lantai
Pemilik perlu bijak mengenalpasti kemasan lantai yang mampu menonjolkan konsep kediaman mereka. Ini kerana, pemilihan lantai menarik berupaya membantu mengindah serta menyerikan ruang kediaman. Namun, pemilihan tidak semestinya berdasarkan cantik semata-mata sebaliknya dipastikan praktikal, selamat, sihat dan mesra alam.
Pemilihan jenis bahan dan kemasan lazimnya ditentukan berdasarkan faktor jenis serta kualiti kemasan digunakan.
Antara kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum memilih jenis dan kemasan lantai ialah:
- Ketahanan terutama bagi ruang yang sering digunakan.
- Kos penggunaan bahan, pemasangan dan penyelenggaraan yang membabitkan masa,tenaga serta perbelanjaan.
- Mengambil kira aspek estetika dan praktikal khususnya bagi keperluan seni bina.
- Keperluan kepada kawalan menyerap kesan bunyi dan akustik.
- Mampu menyaring dan menyerap cahaya yang boleh memberi kesan menarik di ruang.
- Memenuhi kod kawalan kebakaran dan keselamatan.
Idea memilih lantai kayu
Pilihan lantai tepat selain mencipta suasana hangat semula jadi di ruang juga berupaya menyerap bunyi. Ini mengilhamkan pilihan lantai kayu yang ditonjolkan di bilik tidur, ruang tamu dan ruang tamu.
Lantai kayu yang digandingkan dengan kemasan lain seperti marmar mampu menonjolkan kelainan. Gandingan dua bahan ini serasi disebabkan corak serta nada warnanya semula jadi.
Namun, ramai juga keberatan memilih lantai kayu kerana faktor harga mahal, sukar dijaga selain merasa bertanggungjawab memelihara alam sekitar.
Begitupun, menerusi teknologi, masyarakat masih boleh menyelamatkan bumi dan mengurangkan kesan negatif meskipun memilih lantai kayu, dengan syarat bahan dipilih adalah jenis kitar semula.
Tidak dinafikan, suatu ketika dulu lantai kayunya kurang mesra alam dan tidak menjimatkan kerana dipasang menggunakan bahan perekat dan paku. Cara ini menyebabkan sebahagian besar lantai itu rosak dan tidak boleh diguna semula kala berpindah rumah.
Masalah ini selesai setelah teknik pemasangan kekunci yang menekankan penyambungan baru tanpa paku dan bahan perekat diilhamkan. Menerusi cara baru ini, pengguna boleh membuka semula lantai kayu jika ingin memasangnya di tempat lain. Lantai berkenaan mampu bertahan lama jika dijaga dengan baik.
Pilihan lantai kayu
Dua pilihan lantai kayu iaitu kayu padu dan berlamina. Lantai kayu padu secara teknikalnya, berciri tahan cuaca dan tidak mudah dimakan anai-anai. Kayu berlamina pula lebih murah berbanding kayu padu selain mempunyai kelebihan mudah dijaga, tidak menyerap air dan tidak mudah calar.
Kayu jati, oak dan merbau adalah sebahagian lantai kayu padu. Kayu merbau paling digemari kerana menampilkan keaslian warna dan ira kayu.
Menerusi konsep kitar semula, lantai kayu padu akan ditukarkan kepada lantai berlamina. Selepas melalui proses kitar semula, lantai berlamina berkenaan dijual dengan harga jauh lebih murah, pelbagai warna namun mempunyai ira kayu sama dengan kemasan kayu padu.
Terserah kepada pengguna membuat pilihan lantai kayu bertepatan cita rasa dan gaya penataan. Biasanya, faktor harga menjadi kayu ukur. Harga lantai ini biasanya bergantung ketebalan, kemasan permukaan serta jenis kayu.
Di pasaran, lazimnya, lantai kayu berlamina dijual di sekitar harga RM7 hingga RM13 untuk sekaki persegi sedangkan lantai kayu padu harganya berlipat kali ganda dari itu.
Tip Penjagaan Lantai Kayu
Mengetahui asas penjagaan kemasan kayu penting bagi mengekalkan keaslian serta jangka hayatnya. Menjaganya dengan baik juga dapat mencegahnya daripada reput dan rosak. Justeru, anda disyorkan:
- Jangan guna kain mengelap yang basah tetapi lap lantai dengan kain kering. Ini kerana air menyebabkan kayu menjadi lembap seterusnya cepat rosak. Sewaktu membersih, gunakan cecair pembersih khas untuk kayu.
- Hamparkan alas misalnya permaidani dan tikar di bawah perabot serta kelengkapan. Langkah ini bagi mengelakkan lantai calar akibat bergeser dengan perabot.
- Jangan seret, tarik dan tolak perabot berat tetapi angkat perabot itu. Geseran perabot meninggalkan bekas yang memburukkan lantai.
- Lindungi lantai yang kerap dipijak dengan permaidani. Namun, pastikan permaidani berkenaan mempunyai cengkaman kuat dan tidak mudah bergeser.
- Hindari menumpahkan cat dan simen di lantai kerana bahan berkenaan mudah menyerap dalam kayu. Bersih segera lantai sebaik terkenan tumpahan supaya ia tidak menyerap jauh ke dalam hingga merosakkan struktur kayu.
Impak ranggi
KETIKA menginap di apartmen tiga bilik di Ukay Perdana dua tahun lalu, pasangan suami isteri, Mohammad Nazri Hassan Basri dan Zarina Zainuddin mendapati unsur warna lembut yang ditampilkan gagal menyerlahkan hiasan dalaman.
Baik dinding, perabot, kabinet, langsir mahupun perhiasannya menonjolkan tona sempena inspirasi bumi. Pada mulanya, mereka menyangka warna itu membantu ruang kecil nampak luas, namun telahan mereka silap kerana selepas melaluinya, ruang sebaliknya bertukar kelam dan membosankan.
Justeru, sebaik berpindah ke Batu Caves, November lalu, Nazri dan isteri terus menetapkan memilih kombinasi cat dinding merah jambu pekat, merah bata, ungu manggis dan coklat kulit telur.
“Merah warna kegemaran saya dan isteri. Sungguhpun warna ini berisiko menyumbang suasana hangat, saya sebaliknya mengagumi cirinya yang dramatik, berani dan mencabar,” katanya.
Bagi Nazri, merah menguji kemahiran menerusi keupayaan pemilik kediaman menyuai padan warna itu dengan perabot, perhiasan dan kemasan sedia ada.
“Sebaik memutuskan menonjolkan merah, perancangan terperinci membabitkan pilihan perabot bersama susun atur perlu dilakukan. Untuk selamat, pilih perabot rekaan moden berwarna cerah yang dijamin mampu meredakan penguasaan warna ini,” katanya yang membezakan fungsi ruang dan bilik melalui warna.
Ungu dijadikan warna rasmi bilik tidur, merah jambu pekat melatari dinding tumpu, merah saga di ruang dapur manakala dinding ruang makan dan ruang tamu bertentangan dinding tumpu dicat kuning telur.
Konsep dinding berbilang warna ini ilham Nazri dalam meneroka, mempelbagaikan seterusnya mengenal pasti warna yang dominan dengan cita rasa serta tema penataan urban atau bandar yang diketengahkan.
Oleh sebab itu, pilihan warnanya bukan sembarangan sebaliknya disyaratkan saling melengkapi, harmoni dengan perabot dan kemasan selain menepati keperluan gaya urban.
“Warna garang menarik kerana menawarkan elemen kontras dengan hijau alam di luar rumah. Tetamu yang pernah berkunjung ke sini mengakui mengalami dua pengalaman berbeza iaitu terpukau dengan keindahan alam ketika berada di luar rumah, namun sebaik melangkah masuk, mereka bagai disuntik semangat baru dikelilingi warna ceria,” katanya yang memilih kemasan langsir warna merah menyala.
“Apapun gaya dan potongannya, langsir ditetapkan berwarna merah. Bagi saya, hanya warna ini senada dengan dinding dan sofa. Langsir pintu kaca sorong misalnya, sebelum ini berwarna merah hati, namun bagi memberi suasana baru, merah saga pula mengambil tempat,” katanya.
Selain warna, pilihan perabot dititikberatkan demi memastikan kediaman selesa dan sesuai diduduki.
Menyedari luas ruang terhad, Nazri mengehadkan bilangan perabot, selain memastikan kelengkapan dibeli sepadan ukuran ruang. Bahkan, disebabkan masalah ruang, dia terpaksa membatalkan hasrat membeli panel kayu lipat untuk dijadikan penanda sempadan ruang tamu dengan ruang makan.
“Sebagai ganti, saya jadikan kerusi bentuk tangan sebagai pembahagi ruang tamu dengan ruang makan. Kerusi itupun tidak mengambil banyak ruang seperti panel kayu,” katanya yang terlebih dulu mengambil ukuran ruang dan sudut sebelum membeli perabot.
“Selain belajar daripada pengalaman, saya rajin ke ruang pameran perabot untuk menimba ilmu tata hias. Kabinet televisyen di ruang tamu misalnya, sebelum ini, saya meletakkan kabinet tinggi berukuran 1.8 meter di situ.
“Kemudian, baru perasan kabinet berkenaan mengambil sebahagian ruang sekali gus mencacatkan susun atur. Gaya penataan tampil terancang setelah setelah kabinet rendah berukuran 1.5 meter mengambil alih sudut itu,” katanya.
Kreativiti gantung potret
April 26, 2009 by admin
Fail di bawah Objek Seni Deko
Menggantung gambar memerlukan ilham serta sentuhan kreatif. Elok susunan serta indah elemen yang ditonjolkan, bukan saja mengundang perhatian tetamu, malah apa yang dipamerkan mampu menambah nilai karya seni itu.
Bagi yang mencari teknik dan panduan menghias dinding khususnya menggantung gambar, petua pakar hiasan dalaman, Roddie Harris boleh dicuba.
Harris berkata, perkara pertama yang perlu dibuat sebelum menggantung gambar ialah menetapkan titik tumpu di dinding. Cara ini amat berguna bagi sekelompok gambar, lukisan atau foto.
“Susun atur paling kreatif ialah menempatkan secara berkelompok gambar berukuran kecil untuk digabungkan dengan gambar lebih besar dan objek beraneka saiz. Pastikan setiap gambar disusun rapat,” katanya.
Paras ketinggian gambar yang ingin digantung terpulang kepada luas dinding dan selera peribadi namun, untuk impak terbaik, pastikan gambar diletak separas atau bawah sedikit dari paras mata. Sebaiknya, gambar itu disusun dalam kedudukan lurus dan jarak tepat jika mahu ia dilihat seimbang dan harmoni.
Bagi dinding menempatkan sofa dan laci, pastikan gambar atau objek yang digantung berjarak rapat dengan perabot itu. Selain menjamin kesan visual yang baik, gambar yang digantung jauh dari kelengkapan berkenaan kelihatan seperti tergantung sekali gus janggal dipandang.
Sewaktu merancang memenuhi dinding dengan gambar dan perhiasan, kenal pasti dulu bahagian tengah dan titik pusat dinding. Seterusnya, mulakan menggantung gambar di penjuru paling kanan dan kiri dinding sehingga mendekati titik tengah yang ditetapkan.
Michael Houghton, seorang lagi pakar hiasan dalaman turut menyediakan teknik menggantung gambar dengan betul menerusi artikelnya di laman web http://www.bhg.com.
Houghton berkata, ketinggian tepat gambar dan objek yang ingin digantung mampu diagak dengan meminta bantuan individu lain memegangnya. Cara ini membolehkan anda menilai sama ada kedudukan gambar digantung senget atau terlalu tinggi.
Selain itu, paku perekat dicadangkan Houghton bagi menstabilkan kedudukan gambar. Namun, ini tidak digalakkan bagi dinding berhias kertas kerana membuatkan kertas itu tercarik.
Bagi yang ingin menggantung himpunan gambar, sediakan dulu lakaran susun atur atau rangka gaya susunan di lantai. Selain mendapatkan gambaran keseluruhan susunan gambar, anda juga boleh menukar perancangan susun atur tanpa perlu mencabut kembali paku dan skru yang boleh merosakkan dinding.
Moden klasik
Masing-masing memiliki sentuhan tersendiri kala menghias rumah. Ada yang menata kediaman merujuk tema serta konsep, mengikut rentak dan rekaan perabot, malah sesetengahnya, bermain dengan warna, kemasan serta perhiasan.
Bagi Ahmad Aidei Jalaluddin, beliau mengambil berat soal penataan kediaman. Justeru, selain mempertaruhkan konsep moden klasik, jurutera muda itu memastikan perabot, kemasan, warna dan perhiasan dipilih mempraktikkan keseimbangan Matematik melalui teori Metafizik yang cuba ditonjolkannya.
“Saya tidak arif mengenai hiasan dalaman, namun saya cuba mencipta ruang selesa dan sihat melalui teori Matematik. Misalnya, lampu tumpu bercahaya biru di siling, selain cantik dan tenteram dipandang, ia juga antara kaedah rawatan penyakit rheumatoid arthritis dihidapi ibu,” katanya yang menggelarkan apartmennya Norihan Imperial Suite sempena nama ibunya.
Bagi memastikan kesihatan ibu bertambah baik, dia melengkapi rumah dengan jakuzi mempunyai fungsi urutan air, katil bertilam kiropeutik bagi melindungi tulang belakang beralas cadar kapas diimport dari Mesir, selain menyediakan landskap Bali dengan air terjun buatan.

Cermin separuh dinding mewujudkan kesan luas secara ilusi. Set sofa kulit Chesterfield mengutarakan citarasa mewah.
“Air yang bersifat kinetik berupaya menjana tenaga, kekuatan dan mewujudkan keseimbangan kosmos. Ini sebabnya saya bina dua air terjun buatan di taman. Selain menjadi halwa telinga, saya dapati kewujudannya meredakan bunyi bising jalan raya yang terletak di belakang rumah,” katanya yang pernah meminjamkan kediamannya untuk penggambaran drama Hartamas dan Frontpage.
Aidei berkata, dia sedia bekerjasama dengan penerbit filem dan drama yang berminat menjadikan kediamannya sebagai lokasi penggambaran, asalkan mereka menjaga baik keadaan rumah.
“Lagipun, apartmen ini hanyalah persinggahan hujung minggu dan menjadi tempat tinggal ibu ketika berkunjung ke ibu kota. Daripada tidak didiami, lebih baik disewakan untuk pendapatan sampingan,” kata anak kelahiran Kuala Kangsar yang kini bekerja dan menetap di Negeri Sembilan.
Gaya penataan moden klasik diilhamkan melalui pengalaman menginap di beberapa hotel mewah dan terkemuka di Eropah terutama di Rotterdam, Amsterdam dan London. Dia mengaku tertarik dengan perabot ukuran besar yang diresapi pengaruh Eropah lama serta rumah peranginan.
Set sofa kulit chesterfield di ruang tamu, kelengkapan bilik tidur Da Vinci di kamar peribadi dan bilik mandi dilengkapi tab, kabinet cermin serta kemasan jubin licau di lantai dan siling mewakili pengaruh gaya itu.
Begitupun, untuk mendapatkan suasana berlainan, Aidei menyelitkan satu-dua gaya penataan lain membabitkan konsep tropika di bilik tidur tetamu, kontemporari di ruang santai, moden industri di ruang dapur, di samping sentuhan Armani di stor.
Dalam banyak gaya dicuba, ruang dapur dan ruang santai tampil berbeza melalui pilihan cat dinding dan kerusi berwarna merah garang.
“Merah ialah percubaan saya untuk mengurangkan penguasaan warna coklat dan pastel. Pada mulanya, saya agak was-was kerana warna itu menyebabkan ruang nampak janggal dan terasing, namun perasaan itu hilang setelah melihat hasilnya yang ternyata membuatkan ruang lebih hidup,” katanya.
Ruang santai terletak berdekatan pintu masuk menarik perhatian kerana menghimpunkan lantai platform kayu berlamina, dinding daripada panel kayu berkeluk dan batu berstruktur, kabinet hiasan kaca, perabot dan pencahayaan moden dalam satu ruang.
Aidei berkata, ruang yang asalnya memuatkan dapur sudah menjalani hampir 80 peratus pengubahsuaian.
“ Saya sendiri yang melakar pelan lantai dan memilih kemasannya. Ini tempat saya relaks, melayari internet dan mengabadikan ole-ole dan perhiasan yang dibeli pada setiap destinasi yang pernah dilawati,” katanya yang gemar ke gedung beli-belah Harrods mencari perhiasan rumah.
Keunikan panel dinding rekaan air melentur di ruang itu paling disukainya. Sesuai tema dan gaya, Aidei menempatkan tiga arca logam motif lelaki berdansa yang dibelinya di Hong Kong di situ.
Sementara ruang dapur yang dialih kedudukannya ke belakang tampil ringkas dan praktikal, sesuai keperluan konsep moden industri yang ditonjolkan. Kemasan dinding jubin perak, lampu dengan pencahayaan boleh laras, kerusi bar merah garang dan kabinet unit dasar dan gantung kayu padu mewakili gaya pilihan Aidei.
Homedec 2009
PELBAGAI idea penataan ruang diketengahkan menerusi Pameran Dekorasi Kediaman (Homedec 09) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 30 April hingga 3 Mei ini.
Memberi penekanan kepada aspek pengubahsuaian, pembaharuan dan penataan semula segenap ruang kediaman dan pejabat, Homedec 09 kali ini menawarkan pelbagai pilihan kepada anda.
Ternyata menghias kediaman berdasarkan konsep atau tema pilihan menjadi kemestian dalam masyarakat negara ini.
Dianjurkan C I S Network Sdn Bhd sejak 2003, Homedec 09 membabitkan enam dewan dengan penyertaan lebih 260 syarikat dan lebih 800 gerai pameran disediakan.
Aneka hiasan dalaman seperti pelbagai bentuk pencahayaan, jubin untuk lantai dan dinding, pagar, perabot, lantai kayu berlamina, perkakas tingkap dan pelbagai produk landskap, kelengkapan ruang dapur, sistem pemanas air, sistem penuras air, perhiasan rumah, cat dan kertas dinding.
Dalam memenuhi keperluan teknologi dan gaya hidup masa kini, ruang pameran seperti kediaman bestari yang dilengkapi sistem hiasan dalaman canggih tampil berbeza menjadi tumpuan pengunjung.
Idea penataan ruang tamu sempurna turut diilhamkan kerana gerai pameran perabot termasuk De Sofa Manufacturing, Comfort Design Furniture dan Star Living’s Asian Zen.
Antara konsep hiasan dalaman yang menarik perhatian ramai ialah moden, tradisional dan moden kontemporari selain dekorasi suai padan.
Seterusnya, ruang atau laman kediaman yang dilengkapi dengan kolam renang dan spa tentunya memberikan pengalaman berbeza.
Ia pastinya membuatkan suasana santai dan rehat anda lebih bermakna dengan produk berkualiti termasuk dari Desjoyaux.
Tidak ketinggalan idea penataan laman khususnya binaan pergola, gazebo yang dilatari konsep pilihan semestinya merealisasikan suasana semula jadi mendamaikan.
Homedec 09 turut pelbagai aktiviti lain yang menarik seperti peraduan, ‘Colour Creation Centre’ dari Nippon Paint, klinik hiasan dalaman dan seminar Homedec.
Konsep gaya hidup bujang
NILAI kediaman yang terletak di zon komersial dan kawasan pinggir bandar ibarat langit dengan bumi. Di zon luas rangkaian perniagaan terutama diisytiharkan segi tiga emas, harga sebuah kediaman boleh mencecah hingga empat kali ganda meskipun luasnya hanya menampung sebuah bilik tidur manakala ruang tamu dan ruang dapur berkongsi pelan lantai.
Kondominium tengah bandar seperti ini dijadikan usahawan dan jurutera, Azman Hafiz Mohd rumah persinggahan. Meskipun dilengkapi hanya sebuah bilik dan ruang tamu berkeluasan 1.2 meter x 1.8 meter, rumah ini jika disewakan, kata Azman, mampu memberinya pulangan tidak kurang daripada RM6,000 sebulan.
Azman sanggup membelinya kerana berkenan dengan lokasi, tujuh minit perjalanan ke gedung membeli-belah Pavilion, berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC) selain berjiran dengan hotel ternama serta kelab eksklusif.
“Sudah lama saya mengimpikan kediaman di pusat bandar kerana ingin bersantai di tengah hiruk-pikuk kota. Saya tak perlu bimbang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas setiap kali membeli-belah kerana boleh sampai ke destinasi dituju dengan berjalan kaki,” katanya yang menyimpan hasrat memiliki kondominium servis itu sebaik melihat papan tanda pembinaannya.
Sesuai jenis serta keluasannya yang terhad, Azman memutuskan mencuba gaya penataan moden kontemporari dengan jumlah perabot dihadkan. Konsep semasa itu memikatnya kerana mengusulkan rekaan ringkas perabot bersama kemasan serta susun atur dirancang rapi.
“Konsep ini digemari penyokong gaya hidup urban yang memiliki kondominium sempit. Saya sendiri cuma menempatkan sebuah sofa tiga tempat duduk, meja kopi dan kabinet tv di ruang tamu. Manakala, bilik tidur sekadar selesa dengan katil ukuran raja diapit dua meja sisi kiri dan kanan,” katanya yang sebelum ini menyewakan kondominium itu kepada seorang expatriate Jepun.
Konsep dan gaya hidup hotel yang ditekankan pemaju makin meyakinkan Azman untuk merebut unit kediaman itu. Pengaruh hotel jelas dilihat melalui pelan lantai yang memperuntukkan sebuah bilik tidur berkembar bilik air, ruang tamu, balkoni dengan tambahan ruang dapur, ruang utiliti dilengkapi mesin basuh serta pengering.
Bagi Azman, konsep hotel yang disyorkan amat sesuai bagi golongan bujang sepertinya. Selain tidak perlu bersungguh-sungguh mengemas, perabot yang sedikit katanya senang diurus dan diubah kedudukannya bila-bila dirasakan perlu.
Kediaman sempit bagaimanapun tidak menyekat kebiasaan Azman yang gemar meraikan dan menerima tetamu. Sebaliknya, kenalan dipelawa ke tempat khas yang disediakan pihak pengurusan untuk majlis barbeku dan keramaian. Turut disediakan bilik membaca dan lobi untuk perjumpaan dan bermesyuarat.
Kemudahan ditawarkan ini juga antara faktor mempengaruhi Azman membelinya di samping yakin dengan jaminan keselamatan menerusi penggera automatik. Penggera berkenaan berfungsi apabila butang kecemasan ditekan. Ia kemudian menghantar isyarat amaran kepada pengawal keselamatan untuk bertindak terhadap sebarang bahaya dan kecelakaan.
Pelan lantai dianggap Azman cukup sempurna dan tidak memerlukan pengubahsuaian. Justeru, dia menetapkan tidak mengubah mana-mana sudut dan struktur ruang baik bagi memasang panel pengadang, membina kabinet siap dipasang apatah lagi mengubah peranan serta fungsi ruang.
Keputusan dibuat ini termasuk mengkhususkan mana-mana dinding sebagai dinding tumpu. Azman bertegas tidak menghiasi dinding dengan kertas dinding sebaliknya warna pastel dikekalkan sementara cat warna menjolok mata dilarang sama sekali.
“Bagi saya, dinding warna selamat bertepatan sekali dengan konsep moden semasa yang dipilih. Saya tidak akan menukarnya kepada warna dramatik yang hanya mencacatkan pemandangan serta suasana rumah,” katanya.
INFO: Kediaman Azman
# Terletak di kawasan segi tiga emas dan hanya lima minit perjalanan ke KLCC.
# Tergolong dalam kategori kondominium mewah kerana minimum sewa sebulan adalah RM6000.
# Pintu gelangsar yang memisahkan bilik tidur dengan ruang tamu memenuhi selera bekas penyewa expatriate Jepun dan cita rasa ringkas Azman. Seimbas pandang, pintu ini mirip pintu shoji Jepun.
# Dapur boleh disembunyikan dengan menarik ke bawah panel papan yang menjadi penutupnya. Azman menyukainya kerana berupaya menyembunyi suasana berkecah.
# Azman gemar bersantai di balkoni terutama pada malam minggu bagi menikmati pemandangan kota yang meriah dengan lampu serta ragam penghuninya.
# Sofa fabrik dan katil kepala dipan menjadi pilihan kerana membantu ruang tidak nampak sesak. Ia juga sesuai dengan gaya moden kontemporari yang ditonjolkan.






















