Pergola semakin diminati
PENGGUNAAN pergola makin mendapat perhatian yang mampu menampilkan keunikan laman. Jika anda bijak menyuai padan, ia dapat disesuaikan dengan apa jenis kediaman sekali pun, walaupun ruangnya terhad.
Pergola adalah para kayu yang dibina di laman untuk memayungi ruang pejalan kaki atau ruang depan atau belakang rumah dan boleh diperoleh dalam dua jenis iaitu bertutup atau terbuka. Nama pergola di ambil daripada bahasa Latin, Pergula yang merujuk kepada layar sengkuap dan kemudian dipinjamkan ke dalam bahasa Inggeris.
Dengan kata lain, pergola adalah binaan sementara yang biasa dibina di depan pintu rumah menuju ke taman depan kediaman. Dalam seni binaan barat, biasanya pergola dibina untuk depan pintu menuju ke kolam renang atau laman belakang atau kiri dan kanan rumah menjadi ruang berlindung daripada panas dan hujan.
Ketika di zaman Rennaissance, pergola tidak lagi menjadi binaan sementara kerana kebanyakan kediaman atau bangunan menjadikannya sebagai binaan kekal. Pergola dijadikan terowong hijau atau hiasan taman yang popular pada awal zaman itu. Pergola menjadi hiasan menarik untuk musim bunga dan panas.
Pergola moden kini dibina dengan kayu seperti cengal, jati dan kayu getah. Di negara ini, pergola biasanya dibina menggunakan kayu cengal kerana kukuh dan tahan lama. Bagi mencantikkan lagi pergola ada yang menghiasinya dengan tirai daripada kayu, buluh atau fabrik seperti kain sifon, satin dan kapas.
Tahukah anda, binaan pergola dari kayu turut bertindak sebagai `pelembut’ laman yang sarat dengan pokok hiasan dan pada masa sama, dapat mengubah pemandangan rumah. Ia boleh diibaratkan sebagai pelengkap laman.
Sebelum membina pergola, anda perlu tentukan keluasan laman terlebih dulu. Jika laman anda luas, lebih elok membina pergola sendiri bagi memastikan bersesuaian dengan cita rasa dan ukuran laman. Binaan pergola kecil dengan laman yang luas pasti membuatkan laman kelihatan pelik dan kurang menarik.
Pergola boleh digabungkan dengan anjung rumah atau berdiri sendiri menjadi titik tumpu untuk laman. Untuk ruang terhad lebih baik digabungkan dengan binaan lain di depan rumah supaya ia tidak memakan ruang yang ada.
Selepas tentukan keluasan laman, anda perlu memilih kayu yang sesuai untuk pegola anda. Pilih pergola dari kayu bermutu tinggi seperti cengal kerana pendedahan kepada perubahan cuaca. Jika kayu tidak berkualiti, dikhuatiri anda terpaksa berbelanja lebih membaiki kerosakan pergola yang runtuh.
Kemudian, lihat kesesuaian laman anda dengan pergola yang bakal dipasang. Jika anda tinggal di rumah yang mempunyai ruang terhad seperti pangsapuri, anda perlu memilih pergola ringkas tanpa bumbung untuk mengelakkan ruang yang sempit nampak berserabut.
Hiasan untuk pergola jangan diabaikan. Anda boleh hias pergola mengikut selera dan konsep yang diinginkan dan seeloknya jangan biarkan pergola anda kosong tanpa sebarang hiasan. Jika anda inginkan gaya sederhana, boleh gunakan pokok gantung pada pergola anda.
Pergola akan kelihatan lebih hidup dengan pokok menjalar. Tapi pastikan pokok itu sentiasa dipangkas supaya laman kelihatan terurus dan selamat daripada binatang berbisa.
Pokok yang biasanya sesuai untuk pergola adalah Kembang Seri Pagi, Bunga Ketup-ketup, Akar Dani, Titus atau tumbuhan sayuran seperti timun, tomato, tembikai dan peria.
Reka letak pergola di laman juga penting untuk mewujudkan suasana redup di laman rumah dan pastikan arah cahaya matahari terlebih dulu sebelum pergola dibina. Ini penting untuk disesuaikan dengan reka letak pokok hiasan di sekeliling pergola.
Aliran angin juga perlu diambil kira. Jangan hias pergola terlalu sarat dengan hiasan atau pokok gantung kerana akan menghalang aliran angin sekali gus membuatkan suasana nyaman di bawah pergola bertukar hangat dan merimaskan.
Bahan lantai pergola seeloknya daripada bahan cerah seperti simen akan membuatkan halaman kelihatan panas, seelok-eloknya pilih warna terang yang tidak menyerap cahaya.
Fakta: Panduan memilih tanaman memanjat untuk pergola di laman
* Anda digalakkan memilih tanaman memanjat dengan daun dan bunga berwarna terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.
* Pastikan struktur pergola sesuai supaya tidak mengganggu tumbesaran tumbuhan.
* Seeloknya beli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.
* Pastikan tanaman permukaan tanah dalam pasu tidak diliputi lumut atau akarnya terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.
* Memilih tanaman memanjat yang tidak cepat tumbesaran hingga menyebabkan ia merimbun dalam jangka pendek dan mungkin menjejaskan pemandangan atau perancangan konsep laman yang anda impikan selama ini.
* Aturkan jadual untuk menyelenggara termasuk kerja memangkas ranting pokok supaya ia tidak menjalar sehingga menyemakkan kediaman.
Landskap Refleksi Pemilik
SETIAP kawasan sekeliling kediaman, sama ada sempit atau luas seeloknya diindahkan dengan reka bentuk seni bina landskap yang mampu menyerikan setiap ruang kerana reka bentuk itu adalah refleksi imaginasi dan cetusan idea masing-masing.
Terdapat beberapa reka bentuk seni bina landskap sesuai dibina dan boleh dicontohi sama ada di sisi kiri atau kanan kediaman kerana kebiasaannya ruang berkenaan bersaiz kecil dan kebanyakan hanya disimen sebagai jalan selamat.
Arkitek Landskap Perbadanan Putrajaya, Norhaliza Hanifah, berkata ada beberapa contoh untuk mengindahkan kawasan kediaman, bergantung peruntukan kewangan, kreativiti dan cita rasa tanpa perlu mengorbankan fungsi landskap yang dicadangkan.
Beliau berkata, pergola sebagai satu ciri pada taman atau laman yang sering dibina di belakang rumah boleh disesuaikan di laman tepi. Kawasan sisi selalunya menerima lebih matahari dan ia dapat diredupkan dengan kehadiran pergola dipenuhi pokok memanjat.
“Pergola di sisi rumah elok jika dibina dengan menjadikan tiangnya sebahagian daripada reka bentuk kediaman menggunakan kemasan dan warna yang sama.
“Ruang tepi bersebelahan dengan bilik anak kecil pula boleh ‘disejukkan’ dengan memasang sengkuap diperbuat daripada kaca berlapis untuk memberikan rasa nyaman dan selesa apabila kesan haba atau bahang panas dikurangkan,” katanya.
Katanya, kaedah ini sesuai untuk mereka yang tidak menggemari penggunaan pokok sebagai pemberi teduhan terutama kawasan terlalu sempit yang tidak memungkinkan pokok besar dan rimbun ditanam di situ.
Beliau berkata, jika ruang tepi rumah berhampiran dapur mempunyai lebihan tanah yang boleh diturap dan ruang itu dijadikan tempat bersarapan di luar rumah sambil menikmati cahaya matahari pagi, tentunya ia sangat menarik.
“Bagi yang sukakan ruang berprivasi penuh, penggunaan dinding tinggi dan berpintu amat sesuai diterapkan dalam reka bentuk landskap sisi rumah. Pokok berpasu digunakan untuk menghiasi ruang berkenaan selain dapat memberi teduhan.
“Penggunaan lantai kemasan jubin pastinya kelihatan lebih kemas. Kolam kecil pula boleh dijadikan tempat tadahan air hujan dan digunakan sebagai air siraman untuk pokok mahupun untuk mencuci kawasan sekeliling,” katanya.
Norhaliza berkata, ruang untuk minum petang atau makan malam juga boleh disediakan di sisi rumah berhampiran dapur. Dengan memasang cermin pada dinding kediaman, kawasan dalam rumah seolah-olah diluaskan hingga ke luar rumah dan kawasan luar rumah pula menjadi sebahagian dari ruang dalaman.
“Jika mempunyai kemampuan, kawasan sisi rumah boleh ditukarkan kepada landskap yang lebih menarik dan selesa untuk digunakan dalam apa juga aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan pada bila-bila masa.
“Bagi menjadikan ia lebih menarik, kontena pasu bunga disusun di dinding bertekstur untuk dijadikan titik tumpuan fokal. Selain ruang kelihatan kemas dan teratur ia mudah diselenggarakan kerana berada dalam satu kawasan.
“Kawasan sisi rumah jika dimanfaatkan dengan sebaiknya, sangat sesuai dijadikan tempat istirahat keluarga pada waktu petang. Jangan jadikan alasan ruang terhad untuk membiarkan kawasan berkenaan terbiar.
“Wujudkan ruang privasi dengan menggunakan pokok pagaran yang tinggi. Dinding kotak pasu bunga juga boleh berfungsi sebagai tempat duduk dengan ketinggian bersesuaian. Jadi, ruang berkenaan boleh menjadi dwi fungsi. Ruang beristirahat selain meredupkan sisi kediaman,” katanya.






