Bunga ‘labah-labah putih’
BUNGANYA cantik berwarna putih dengan lima kelopak, tidak ubah seperti labah-labah putih hinggap di celah dahan pepohon. Tidak hairanlah, kehadirannya pasti menarik tumpuan mata tetamu yang berkunjung di laman kediaman.
Inilah tarikan bunga Bakung atau lebih dikenali sebagai ‘spider lily’ atau nama saintifiknya Hymenocallis littoralis daripada keluarga Amaryllidaceae.
Pokok ini banyak dijumpai di kawasan tropika dan sub tropika, termasuk di Malaysia dan ada kira-kira 50 spesies pokok ini di dunia.
Pokok bebawang yang menjadi herba sejak berkurun lamanya ini mempunyai bunga unik kerana ada lingkaran di tengah-tengah (corona) yang jarang ditemui pada spesies sama.
Hymenocallis bermaksud ‘membran cantik’ dalam bahasa Greek, merujuk kepada lingkaran di tengah bunga berkenaan yang bersambung dengan tangkai bunga yang mengeluarkan debunga yang dikategorikan sebagai tanaman menakjubkan.
Spider lily atau bakung lebih sesuai untuk menghiasi taman air atau tumbuhan hiasan dalam pasu. Walaupun dikenali sebagai lily labah-labah, amun bunga ini lebih kepada tumbuhan dafodil berbanding tumbuhan lili.
Pokok ini mudah di tanah tetapi memerlukan cuaca yang panas dan tanah sedikit lembap tetapi bukannya terendam di dalam air. Daunnya kekal berwarna hijau walaupun selepas bunganya gugur.
Menariknya, tumbuhan mudah hidup ini sukakan suhu bilik, lembap dan panas dan memerlukan masa tiga bulan untuk tidak berbunga yang dikenali sebagai tempoh berehat.
Oleh kerana tumbuhan ini sukakan keadaan yang lembap, ia memerlukan air yang banyak jika anda menyiramnya. Juga, jangan biarkan tanah di sekelilingnya kering kerana ini boleh menyebabkannya mati.
Bunga ini lazimnya mudah dikesan jika ia tidak subur kerana daunnya akan menjadi kering seakan terbakar. Bagaimanapun, ia lebih dikenali sebagai tumbuhan tahan lasak kerana bakung tidak mengalami masalah jangkitan penyakit atau serangan serangga.
Namun, siput, ulat bulu dan hama putih sering hinggap di pepohon ini tetapi tidak merosakkan tanaman. Satu lagi ciri menarik pada pokok ini kerana tidak perlu dipangkas seperti pepohon lain untuk menggalakkan pertumbuhan daun. Ringkasnya, bunga bakung ini tidak perlukan penyelenggaraan seperti tumbuhan laman lain yang perlu selalu dibersihkan.
Hymenocallis boleh membesar sehingga tiga kaki (0.91 meter) dan biasanya perlu dibaja sebulan sekali dengan baja seimbang dan biasanya tumbuhan ini dipilih sebagai tanaman pemisah sempadan atau ditanam berbaris di kiri kanan jalan masuk ke laman.
Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan menjadi herba merawat luka tetapi ia tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun.
Rahsia laman kekal menarik
RAMAI yang mahu memiliki laman yang cantik seperti di bilik pameran atau nurseri tanaman. Namun, kebanyakannya tidak mahu mempelajari teknik yang betul untuk menanam pokok dan menjaga landskap menyebabkan pokok mati dan landskap idaman hanya bertahan sebulan dua.
Ada beberapa tip penjagaan landskap yang perlu diberikan perhatian untuk memastikan laman terus cantik dan kekal lama.
Perkara utama dalam penjagaan landskap adalah penyiraman pokok yang perlu dilakukan untuk memastikan jumlah air mencukupi diserap tisu tumbuhan.
Persoalannya, bagaimana anda mengetahui bila dan berapa banyak air diperlukan oleh setiap pokok? Kita tahu bahawa pokok memerlukan air untuk hidup, tetapi terlalu banyak air boleh menjejaskan pertumbuhan pokok.
Justeru, tentukan jenis pokok yang ditanam, kerana sesetengah pokok memerlukan sedikit air manakala ada yang memerlukan air dengan banyak. Contohnya pokok Bougainvillea spp. (bunga kertas) tidak memerlukan air yang banyak.
Siraman kawalan juga perlu dilakukan kerana faktor tanah dan keadaan cuaca juga memainkan peranan penting dalam menentukan kuantiti air yang diperlukan.
Tanah liat biasanya memerlukan sedikit air kerana ia mengandungi air yang banyak manakala tanah berpasir memerlukan kuantiti air yang lebih.
Dalam keadaan cuaca yang panas terik, lebih banyak air diperlukan. Penyiraman tidak diperlukan selepas hujan lebat.
Secara umumnya, siraman perlu dibuat dua kali sehari. Waktu yang sesuai untuk penyiraman adalah pada sebelah pagi, selok-eloknya sebelum jam 11 pagi dan di antara jam 3.30 petang hingga 7 malam untuk siraman kedua. Elakkan sama sekali penyiraman pada waktu tengahari.
Satu lagi aspek yang penting untuk menjaga laman adalah pemangkasan pokok. Pemangkasan menyebabkan tekanan kepada pokok, jadi jangan pangkas jika tidak ada tujuan spesifik atau tanpa idea kesannya.
Tujuan pemangkasan adalah untuk kesuburan, membentuk pokok, keselamatan, penggalakan dan pengeluaran bunga serta buah.
Pemangkasan yang betul boleh mencantikkan pokok dan jika tersalah potong menyebabkan pokok hilang kecantikan, bentuk atau akan rosak. Memotong dahan yang mati atau cedera serta membuang tunas air juga termasuk dalam kerja pemangkasan untuk kesuburan pokok.
Membuat pemangkasan untuk mengekalkan saiz dan bentuk pokok boleh mencantikkan rupa bentuk pokok itu. Memotong bahagian pokok yang menggangu laluan utiliti atau bangunan adalah untuk menjaga keselamatan pengguna atau penghuni. Pemangkasan dapat menggalakkan pertumbuhan tunas baru dan menambah baik kualiti dan kuantiti bunga.
Untuk menjalankan kerja pemangkasan, peralatan khas seperti gergaji atau gunting pokok yang tajam hendaklah digunakan. Pemilihan peralatan yang betul sangat penting untuk menentukan kerja pemotongan dibuat dengan sempurna. Semasa pemangkasan, pastikan potongan adalah licin dan bersih, seeloknya jangan tinggal tunggul dahan dan elak dari kulit terserkah.
Aspek seterusnya adalah pembajaan. Baja penting untuk tumbesaran pokok dan ramai menganggap bahawa lebih banyak baja digunakan, pokok akan tumbuh dengan lebih subur.
Namun, sebenarnya kegunaan baja yang berlebihan boleh menjejaskan kesuburan pokok dan mungkin boleh menyebabkan pokok mati.
Kekurangan nutrien akan menyebabkan pokok terbantut dan tidak subur bukannya bermakna pokok perlukan baja lebih. Maka, kadar baja yang betul amat penting untuk mengelak dari pembaziran serta menjaminkan tumbesaran dan pengeluaran bunga yang sihat.
Baja boleh dikategorikan kepada dua iaitu organik dan in-organik. Bentuk baja yang terdapat di pasaran adalah baja butiran yang lengkap dengan nutrien NPK; baja cecair yang lazimnya disembur ke permukaan daun; baja debu yang digaul dalam tanah campuran atau ditabur atas tanah dan baja yang dikeluarkan secara perlahan-lahan.
Ada pelbagai jenis dan jenama yang terdapat di pasaran. Secara umumnya, kadar baja dan masa pembajaan adalah lebih kritikal dari jenis baja yang akan digunakan.
INFO: Tip penjagaan laman
# Tentukan jenis pokok dan tanah. Selidiki cara penjagaan pokok berdasarkan jenisnya serta kesesuaian tanah
# Siraman - Tentukan waktu sesuai untuk menyiram iaitu selok-eloknya sebelum jam 11 pagi dan di antara jam 3.30 petang hingga 7 malam untuk siraman kedua. Elakkan sama sekali penyiraman pada waktu tengahari.
# Pemangkasan - Jangan pangkas jika tiada sebarang tujuan atau tanpa idea kesannya. Tujuan pemangkasan adalah untuk kesuburan, membentuk pokok, keselamatan, penggalakan dan pengeluaran bunga serta buah.
# Pembajaan - Penting untuk tumbesaran pokok dan ramai menganggap bahawa lebih banyak baja digunakan, pokok akan tumbuh dengan lebih subur.
Bunga putih jadi buruan
SEKALI pandang, rupa pokok ini sama seperti spesies Zingirber yang kini menjadi pilihan ramai dalam seni hiasan laman.
Namun, Costus Speciosus atau lebih dikenali sebagai Setawar Putih adalah dalam sub famili costoideae dan sejak kebelakangan ini mendapat perhatian dan diburu ramai sebagai pokok hias laman kerana mempunyai bunga yang cantik.
Uniknya, jika tidak berbunga pun, pokok ini nampak seperti berbunga kerana tangkai bunganya (bract ) berwarna merah dan cantik. Ada yang menggelarkan tangkai bunganya seperti bentuk buah nanas. Selepas bunganya layu, tangkai bunga itu akan kekal di tempatnya untuk beberapa minggu. Bunga Setawar Putih berwarna putih dan biasanya pokoknya boleh mencapai ketinggian antara satu hingga tiga meter. Pokok ini biasa dijumpai di dalam hutan kerana ia dikategori sebagai tumbuhan liar.
Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, banyak nurseri menjualnya kerana permintaan daripada orang ramai. Dipercayai bunganya yang cantik memikat pencinta alam memilihnya menghiasi laman kediaman masing-masing.
Satu yang menarik mengenai Setawar Putih ia mempunyai rizom yang menyerupai rizom halia. Cara pembiakannya juga sama dengan tumbuhan lain dalam famili halia iaitu biji benih dan pecahan rizom.
Apa yang menarik mengenai tumbuhan ini ialah daunnya yang tersusun dalam bentuk spiral manakala bunganya berwarna putih dan kelihatan seolah-olah kertas crepe yang biasa digunakan untuk dijadikan bunga. Maka, ramai yang menggelarkan tumbuhan ini sebagai crepe ginger.
Batang Costus lembut dan ada ruas seperti buluh dan biasanya batang itu boleh membentuk lingkaran bertingkat-tingkat. Pokok ini sesuai ditanam di sebelah tiang pegola atau pancang kayu kerana ia nampak lebih cantik apabila ia mula melingkari.
Terkini, pokok ini seakan menjadi hiasan wajib bagi laman berkonsepkan nusantara dan tropika. Malah, dalam laman berkonsep Bali, tumbuhan ini juga menjadi pelengkap landskap lembut.
Pokok ini sangat mudah tumbuh, namun memerlukan cahaya matahari yang sederhana sesuai dengan tempat asalnya kawasan tropika. Bererti tanah yang sedikit lembap memudahkan tumbesarannya.
Selain seni hias landskap, Costus sangat berguna dalam perubatan yang mana rizom setawar putih dijadikan penawar untuk penyakit seperti kusta, kecacingan, penyakit kulit, demam, asma, bronkitis, anaemia dan sembelit.
Ia juga dijadikan ubat untuk merawat luka terbakar, malah dijadikan ubat menghilangkan rasa loya, pening dan muntah. Malah, masyarakat Sunda di Indonesia percaya Setawar putih dapat meningkatkan tenaga batin lelaki.
FAKTA: Setawar Putih
# Dipercayai dijumpai di Pulau Sunda, Indonesia,
# Costus juga dijumpai di pulau-pulau di Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Tonga, Kepulauan Islands dan Hawaii.
# Salah satu spesies Costus dikenali sebagai Costus spectabilis menjadi bunga rasmi Nigeria
# Nama lain bagi Costus adalah isebsab (Palauan), keukand (Hindi), pakarmula (Gujarati), pushkarmula (Marathi and Sanskrit), and kostam (Tamil).
# Nama Tempatan: Setawar Putih
# Nama Saintifik: Costus speciosus
# Nama Lain: White costus, lemba batu,spiral ginger,white spiral ginger,kok hing, crepe ginger
Famili: zingerberaceae.
# Lokasi dijumpai: Liar dan ditanam sebagai tumbuhan hiasan di taman.
Pergola semakin diminati
PENGGUNAAN pergola makin mendapat perhatian yang mampu menampilkan keunikan laman. Jika anda bijak menyuai padan, ia dapat disesuaikan dengan apa jenis kediaman sekali pun, walaupun ruangnya terhad.
Pergola adalah para kayu yang dibina di laman untuk memayungi ruang pejalan kaki atau ruang depan atau belakang rumah dan boleh diperoleh dalam dua jenis iaitu bertutup atau terbuka. Nama pergola di ambil daripada bahasa Latin, Pergula yang merujuk kepada layar sengkuap dan kemudian dipinjamkan ke dalam bahasa Inggeris.
Dengan kata lain, pergola adalah binaan sementara yang biasa dibina di depan pintu rumah menuju ke taman depan kediaman. Dalam seni binaan barat, biasanya pergola dibina untuk depan pintu menuju ke kolam renang atau laman belakang atau kiri dan kanan rumah menjadi ruang berlindung daripada panas dan hujan.
Ketika di zaman Rennaissance, pergola tidak lagi menjadi binaan sementara kerana kebanyakan kediaman atau bangunan menjadikannya sebagai binaan kekal. Pergola dijadikan terowong hijau atau hiasan taman yang popular pada awal zaman itu. Pergola menjadi hiasan menarik untuk musim bunga dan panas.
Pergola moden kini dibina dengan kayu seperti cengal, jati dan kayu getah. Di negara ini, pergola biasanya dibina menggunakan kayu cengal kerana kukuh dan tahan lama. Bagi mencantikkan lagi pergola ada yang menghiasinya dengan tirai daripada kayu, buluh atau fabrik seperti kain sifon, satin dan kapas.
Tahukah anda, binaan pergola dari kayu turut bertindak sebagai `pelembut’ laman yang sarat dengan pokok hiasan dan pada masa sama, dapat mengubah pemandangan rumah. Ia boleh diibaratkan sebagai pelengkap laman.
Sebelum membina pergola, anda perlu tentukan keluasan laman terlebih dulu. Jika laman anda luas, lebih elok membina pergola sendiri bagi memastikan bersesuaian dengan cita rasa dan ukuran laman. Binaan pergola kecil dengan laman yang luas pasti membuatkan laman kelihatan pelik dan kurang menarik.
Pergola boleh digabungkan dengan anjung rumah atau berdiri sendiri menjadi titik tumpu untuk laman. Untuk ruang terhad lebih baik digabungkan dengan binaan lain di depan rumah supaya ia tidak memakan ruang yang ada.
Selepas tentukan keluasan laman, anda perlu memilih kayu yang sesuai untuk pegola anda. Pilih pergola dari kayu bermutu tinggi seperti cengal kerana pendedahan kepada perubahan cuaca. Jika kayu tidak berkualiti, dikhuatiri anda terpaksa berbelanja lebih membaiki kerosakan pergola yang runtuh.
Kemudian, lihat kesesuaian laman anda dengan pergola yang bakal dipasang. Jika anda tinggal di rumah yang mempunyai ruang terhad seperti pangsapuri, anda perlu memilih pergola ringkas tanpa bumbung untuk mengelakkan ruang yang sempit nampak berserabut.
Hiasan untuk pergola jangan diabaikan. Anda boleh hias pergola mengikut selera dan konsep yang diinginkan dan seeloknya jangan biarkan pergola anda kosong tanpa sebarang hiasan. Jika anda inginkan gaya sederhana, boleh gunakan pokok gantung pada pergola anda.
Pergola akan kelihatan lebih hidup dengan pokok menjalar. Tapi pastikan pokok itu sentiasa dipangkas supaya laman kelihatan terurus dan selamat daripada binatang berbisa.
Pokok yang biasanya sesuai untuk pergola adalah Kembang Seri Pagi, Bunga Ketup-ketup, Akar Dani, Titus atau tumbuhan sayuran seperti timun, tomato, tembikai dan peria.
Reka letak pergola di laman juga penting untuk mewujudkan suasana redup di laman rumah dan pastikan arah cahaya matahari terlebih dulu sebelum pergola dibina. Ini penting untuk disesuaikan dengan reka letak pokok hiasan di sekeliling pergola.
Aliran angin juga perlu diambil kira. Jangan hias pergola terlalu sarat dengan hiasan atau pokok gantung kerana akan menghalang aliran angin sekali gus membuatkan suasana nyaman di bawah pergola bertukar hangat dan merimaskan.
Bahan lantai pergola seeloknya daripada bahan cerah seperti simen akan membuatkan halaman kelihatan panas, seelok-eloknya pilih warna terang yang tidak menyerap cahaya.
Fakta: Panduan memilih tanaman memanjat untuk pergola di laman
* Anda digalakkan memilih tanaman memanjat dengan daun dan bunga berwarna terang dalam usaha menceriakan laman dan secara langsung menampakkan ruang yang lebih luas.
* Pastikan struktur pergola sesuai supaya tidak mengganggu tumbesaran tumbuhan.
* Seeloknya beli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.
* Pastikan tanaman permukaan tanah dalam pasu tidak diliputi lumut atau akarnya terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.
* Memilih tanaman memanjat yang tidak cepat tumbesaran hingga menyebabkan ia merimbun dalam jangka pendek dan mungkin menjejaskan pemandangan atau perancangan konsep laman yang anda impikan selama ini.
* Aturkan jadual untuk menyelenggara termasuk kerja memangkas ranting pokok supaya ia tidak menjalar sehingga menyemakkan kediaman.
Ros perlu kasih sayang
SESIAPA saja akan tertarik dan jatuh cinta jika memandang bunga mawar mekar di kelilingi pepohon renek dan rumput menghijau di laman.
Namun, untuk menanam sendiri mawar di laman, ramai yang mengelak kerana berpendapat pokok berkenaan sukar dijaga dan perlu penjagaan rapi.
Seorang pengurus syarikat yang mengusahakan tanaman ros secara khusus, Encik Kamal Kamaruddin, menyangkal pendapat berkenaan sebaliknya menyatakan penanaman pokok mawar mudah jika anda mengikut prosedur dan cara penjagaan yang betul.
“Kita perlu lahirkan rasa cinta jika mahu menanam mawar sebagaimana bunga berkenaan sering dikaitkan sebagai lambang cinta,” katanya yang sudah empat tahun mengusahakan tanaman mawar dan kerja penyelenggaraan taman bunga berkenaan di sekitar Selangor.
Beliau memberikan beberapa tip bagi penanaman mawar dan menasihatkan mereka yang berminat menanam pokok berkenaan tidak menggunakan baja kimia kerana ia boleh menyebabkan pokok tidak sihat.
“Menanam mawar perlulah belaian dan kasih sayang, jadi gunakan bahan semula jadi serta elakkan penggunaan air dan baja berlebihan,” katanya.
Bagi mereka yang mahu membina laman mawar perlulah memastikan tanah yang digunakan sesuai iaitu adanya campuran tanah kompos yang mengandungi sabut kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar.
Sebelum mula menanam, bersihkan kawasan dan buang batu-batu kecil kerana akar mawar sangat sensitif. Bunga mawar juga tidak boleh ditanam berselang seli dengan pokok atau tumbuhan lain.
Seeloknya, taman mawar hanya dikhususkan untuknya saja kerana akarnya sensitif dan tidak boleh berselirat dengan akar pokok lain. Pokok mawar juga dikategorikan sebagai pokok manja yang tidak boleh bersaing dengan pokok lain.
Selepas tanah dibersihkan dan dicampurkan dengan tanah kompos, dan tanam anak pokok bunga seperti biasa. Kemudian, pokok berkenaan perlu disiram dua kali sehari, pagi dan petang. Air yang disiram mesti sampai ke atas bukannya hanya semburan biasa yang hanya terkena kepada daun.
Kamal berkata, seeloknya untuk pokok mawar dalam pasu air perlu membasahi tanah bagi membolehkan akar mendapat air secukupnya.
Selepas itu, pokok perlu di baja dan disiram dengan ubat semburan seminggu sekali. Baja khas yang terdiri daripada isi ikan, kulit udang, sayuran, serbuk soya dan ekstrak sawit.
Baja berkenaan dihasilkan sendiri Kamal dan hanya boleh diperoleh di kedainya saja manakala semburan daripada bahan organik dihasilkan untuk mengelakkan serangan virus, daun nampak lebih segar dan bertindak sebagai anti fungus.
Baja berkenaan akan dapat mengelakkan dahan menjadi kurus, pokok lebih tahan lama, pokok tidak berbunga dan atau daun mengalami masalah seperti kering, kekuningan dan bergulung.
Katanya, baja juga tidak boleh digunakan berlebihan dan jika boleh elak menggunakan baja kimia atau kumbahan seperti tahi ayam dan kambing kerana ia tidak membantu menyihatkan pokok sebaliknya mengurangkan jangka hayat pokok mawar.
Baja najis haiwan biasanya panas dan membawa pelbagai virus yang boleh mencacatkan daun dan bunga.
Pokok bunga mawar memerlukan cahaya matahari dan air mencukupi. Namun, air berlebihan tidak baik untuk pokok.
Beliau berkata, ada beberapa kesalahan yang kerap dilakukan mereka yang menanam pokok mawar. Antaranya, menanam pokok mawar berselang seli atau mencampurkan dengan pokok lain, menggunakan racun serangga dan baja kimia, air berlebihan dan kurang baja.
Oleh kerana, mawar dikategorikan sebagai pokok manja, maka ia perlu dicantas dan tanah digembur selalu. Namun tanah tidak perlu digembur terlalu dalam kerana boleh mencederakan akar.
Seeloknya, pokok dicantas setiap kali selepas bunga gugur dan dahan yang dicantas perlulah sepanjang enam ruas daripada tangkai bunga gugur atau kira-kira 15.2 sentimeter.
“Ramai yang merungut, dahan yang dicantas terlalu panjang dan boleh memendekkan pokok. Namun, mereka tidak tahu, jika formula itu digunakan pokok akan lebih cepat berbunga. Setiap dahan yang dicantas akan cepat membawa tunas baru yang turut mengeluarkan kudup bunga,” katanya.
Fakta: Mawar
# Dikenali juga dengan nama ros.
# Saiz bunga mawar di Malaysia dan di Eropah tidak sama kerana perbezaan cuaca. Saiznya lebih besar di negara beriklim sejuk.
# Mawar ada pelbagai warna termasuk biru, hijau lembut dan hitam. Di Malaysia, mawar yang biasanya dijumpai berwarna merah jambu lembut. Namun, mawar berwarna merah, kuning dan putih menjadi pilihan ramai.
# Teknologi dalam industri penanaman pokok menyaksikan pokok mawar boleh dikacukkan dan menghasilkan warna yang pelbagai seperti mawar ungu merah jambu, mawar merah kuning dan mawar kuning jingga.
# Mawar disukai ramai dan sangat cantik untuk penyeri laman. Selain baunya yang harum, mawar menjadi pilihan ramai kerana sering diterjemahkan sebagai lambang kasih sayang. Dari segi ekonomi, permintaan pokok mawar melebihi daripada bunga yang lain, digunakan dalam haruman, hiasan dan makanan
# Satu masa dulu di Eropah, bunga mawar menjadi bunga penting untuk taman larangan Istana.
# Ada pelbagai jenis mawar di dunia. Namun, ia dikategorikan dalam tiga jenis utama iaitu Mawar Liar, Mawar Taman Tradisi dan Mawar Taman Moden
# Setiap warna bunga mawar membawa makna atau lambang yang berbeza. Malah, masyarakat barat percaya, warna bunga membawa makna tertentu. Warna merah bermaksud romantik dan lambang kasih sayang dan cinta, manakala mawar kuning bererti kebebasan dan sering menjadi hadiah untuk ucapan tahniah atas kejayaan, ibu baru atau persahabatan.
Anak sungai buatan
MEMILIKI kediaman dengan laman yang sempit atau terhad sebenarnya tidak membataskan kerja menghias. Jika ada kreativiti, ruang yang sempit dapat dihiasi sesuai konsep dikehendaki pemilik kediaman.
Meletakkan landskap kejur di ruang terhad juga perlu diberikan perhatian. Antara landskap kejur yang biasa digunakan adalah pancuran air dan kolam mini buatan.
Jika mahu menampilkan kelainan, cuba letakkan anak sungai buatan di laman yang dibina menggunakan konkrit. Bagi memudahkan kerja membina anak sungai buatan, lantik saja kontraktor landskap.
Namun, jika mahu mencuba sendiri membina anak sungai buatan, gunakan kreativiti supaya apa yang dihasilkan nampak semula jadi dan hidup.
Penentuan lokasi perlu sesuai dan mengambil kira arah aliran air, cahaya matahari dan kesesuaian tanah. Punca air juga perlu di ambil kira.
Sebelum membina aliran air berkenaan, tentukan dulu kawasan dan lokasinya. Selepas itu, lakarkan bentuk landskap yang bakal dibina sebagai panduan.
Kemudian, kerja membina anak sungai boleh diteruskan dengan membersihkan dulu kawasan laman termasuk membuang batu, akar kayu dan benda asing dalam tanah. Selepas itu korek tanah seperti bentuk parit sebelum kerja menyimen dilakukan bagi membina aliran anak sungai. Seeloknya bina satu kolam yang sedikit dalam untuk meletakkan pam air.
Selepas kerja membina anak sungai konkrit siap, tiba masa meletakkan landskap lembut untuk menghidupkan suasana. Selain batu granit, sungai dan kerikil diletakkan di kiri kanan aliran air, tanam pokok yang tahan dengan kawasan lembap seperti iris, pandan, spesies caladium dan calathea.
Beberapa spesies paku pakis yang juga boleh ditanam berhampiran aliran air yang sesuai untuk mencantikkan lagi anak sungai buatan berkenaan.
Tumbuhan juga sesuai ditanam dalam kolam seperti Cyperus papyrus , cat tail atau ekor kucing dan keladi bunting bagi menyerlahkan lagi anak sungai berkenaan.
Apa yang penting, pastikan aliran dan pam air yang digunakan berfungsi dengan baik. Pastikan air sentiasa mengalir menyerupai sungai sebenarnya.
Bagi menutup kecacatan aliran air, letakkan batu sungai dan kerikil manakala batu granit disusun selerak dan bertingkat bagi menampakkan suasana seakan benar-benar dan semula jadi.
Di dalam kolam diletakkan pasir yang antara lain dapat berfungsi menjadi penuras air supaya air sentiasa jernih. Bagi mencantikkan lagi kolam, letakkan anak ikan seperti ikan emas dan koi.
FAKTA: Batu untuk anak sungai buatan
# Selain membeli batu sungai dan kerikil daripada kedai landskap, anda boleh mengutip batu di sungai atau tepi jalan. Sebelum dijadikan hiasan replika anak sungai, basuh dulu batu dengan air biasa atau sabun. Tidak perlu gosok batu terlalu kuat cukup sekadar mengelap saja.
# Bahagikan batu kepada tiga kelompok batu utama iaitu igneus, batu mendapan dan metamorfosis. Batu Igneus
tidak mempunyai banyak lapisan atau tidak bertekstur dan biasanya berwarna putih, hitam dan kelabu. Batu mendapan pula berlapis kasar dan berwarna coklat keperangan manakala metamorfosis berwarna lebih cerah dan lapisan nipis.
# Kaedah Simenferro, sejenis struktur binaan yang terdiri daripada campuran pasir, simen dan air yang dilepa nipis pada jejaring dawai keluli boleh digunakan bagi membentuk replika anak sungai.
# Simenferro - Mudah dibentuk, tahan jika terdedah kepada hujan dan panas, kukuh dan mudah dibaiki, tidak memerlukan teknologi tinggi dan kos penyelenggaraan rendah
# Simenferro banyak digunakan untuk pembinaan perumahan/pembangunan seperti dinding dan atap, kolam ikan dan pintu kawalan air. Dalam landskap ia banyak digunakan bagi pembinaan hiasan seperti cendawan, batu tiruan dan kerusi meja.
Pancuran air pasang siap
DERUAN air yang dihasilkan daripada pancuran tidak pernah gagal menghiburkan pemilik kediaman yang selalunya diletakkan di dalam atau luar rumah.
Selain membangkitkan rasa damai dan segar, pancuran air turut melengkapkan lagi seni taman dan menghidupkan suasana terutama kediaman di bandar yang sentiasa sibuk dan bingit. Maka, tidak hairanlah ramai yang menginginkan air terjun buatan ini hadir di laman mereka.
Bagi pemilik kediaman yang mempunyai ruang laman terhad, tidak menjadi masalah jika berhasrat meletakkan air terjun buatan kerana kini ada banyak pancuran air pasang siap.
Jika perlukan sentuhan profesional, banyak syarikat atau kontraktor yang menyediakan perkhidmatan dan jualan untuk produk berkenaan.
Seorang pengurus syarikat berkaitan berkata, bagi mereka yang berminat dengan air terjun kecil disarankan menggunakan konsep bali kerana ia sering menampilkan tata hias laman yang mempunyai unsur air.
Katanya lagi, kebiasaannya pancuran air Bali diletakkan di laman depan atau di dalam rumah, atau mana-mana sudut sesuai kerana ia mampu berdiri sebagai hiasan utama tanpa ditemani tanaman hiasan lain.
“Jika ingin meletakkannya di taman, adalah lebih baik letakkan di tembok atau sisi taman yang kosong supaya ia dapat menjadi titik tumpu laman. Kebiasaannya pancuran air dilengkapi dengan kolam kecil di depannya dan jika mahu kelihatan menarik boleh menambahkan ikan hias atau tanaman air di sekelilingnya.
“Sebaiknya tanaman air ditanam di dalam pasu atau tepian kolam bukannya di dasar kolam. Ini penting supaya air kolam tidak keruh. Taburkan juga batu kerikil kecil bagi menutup pasu selain dapat mencegah tanah larut dalam air,” katanya.
Biasanya pancuran menggunakan saluran air yang diletakkan di kolam atau disembunyikan di sebalik dinding. Untuk menampakkan jatuhan air yang indah, kini digunakan kaca sebagai saluran yang memberikan kesan lebih nyata dan hidup.
Beberapa jenis batu dipakai melengkapkan lagi hiasan pancuran air Bali. Antaranya batu kerikil, batu sungai, pasir dan batu tiruan/ fiber.
Bagi memastikan batu-batu berkenaan tidak mudah berlumut, sebaiknya diberi pelapis khusus di atas batu berkenaan atau gunakan saja air terjun tiruan atau diperbuat daripada fiber.
Jika anda mahu air di dalam kolam tidak menjadi keruh dan busuk, anda dinasihatkan menggunakan penapis yang diletakkan di dasar kolam atau penapis dari batu zeolit .
Adalah dinasihatkan pancuran air Bali dicuci terlebih dulu supaya digunakan bagi membuang kotoran dan debu padanya.
Bagi memberikan kesan lebih menarik, pasangkan lampu di dalam kolam dan letakkan tumbuhan air seperti teratai, melati air dan keladi bunting. Di luar pancuran diletakkan pemijak kaki dengan pelbagai motif ala Bali bentuk daun atau bunga.
Dekorasi bermotif bunga pecah lima yang menjadi elemen penting seni hias bali pula jangan lupa diletakkan di dinding dan jika mahu nampak lebih menarik gunakan dinding daripada batu berlapis.
Gabungan kayu, batu atau fiber akan menampakkan konsep Bali lebih menyerlah maka jangan takut gunakan kemasan kayu atau logam di pancuran air anda.
Tip: Menyelenggara kolam
# Kesihatan tumbuhan dan ikan bergantung kepada kekerapan anda membersih dan menyelenggara kolam, jadi tetapkan jadual pembersihan.
# Pencemaran air akan menyebabkan pokok dan ikan dalam kolam boleh mati, maka kekalkan keseimbangan antara tumbuhan dan ikan juga kebersihan air.
# Bagi memastikan kolam kekal dengan penjagaan yang terhad apa kata tanam pokok satu pertiga daripada keluasan kolam. Penanaman pokok dalam kolam penting untuk mengawal kadar ammonia and nitrat dalam air.
# Ikan yang menghiasi kolam biasanya akan memakan tumbuhan dalam kolam. Oleh itu, untuk mengelakkan tumbuhan mati kerana menjadi makanan ikan, seeloknya bina penghadang khas.
# Jika tidak mampu membina penghadang apa kata tukarkan ikan koi dengan ikan emas. Ikan Koi biasanya suka memakan tumbuhan dalam kolam manakala ikan emas yang lebih cerewet dan memilih makanannya.
# Pastikan kolam anda mempunyai penapis untuk memastikan air tidak cepat keruh dan berbau yang boleh menyebabkan pertumbuhan kulat dan lumut.
Pasu Alternatif Di Ruang Terhad
RUANG dapur yang sempit ada kalanya menghalang hasrat anda untuk mewujudkan taman menarik dan tidak menyesakkan pandangan. Ilham memanfaatkan keluasan ruang, secara langsung menyerlahkan suasana segar dan nyaman di persekitaran kediaman anda.
Struktur reka bentuk penanaman memainkan peranan penting dalam menjimatkan ruang dan mendapatkan bahan segar dari taman. Bagi ruang dapur terhad keluasannya, wujudkan taman kecil bersifat fleksibel dan tidak terlalu dipadatkan dengan pelbagai jenis tanaman.
Kebijaksanaan dalam menggabungkan tanaman hiasan daripada pelbagai spesies sebenarnya mampu memberikan suntikan visual taman lebih menarik. Penggunaan pasu sebagai alternatif menggantikan tanah lapang memberikan kelebihan kepada anda menyusun atur tanaman mengikut kesesuaian ruang.
Mempelbagaikan penggunaan tanaman herba turut dicadangkan kerana aroma yang dihasilkan setiap tanaman berkenaan bagaikan terapi semula jadi.
Pokok asam jawa hiasan yang mempunyai struktur morfologi daun bipinnately compound dan tumbuh menegak ke atas menyuntik keindahan berpanjangan di taman kecil anda.
Pembentukan struktur pokok yang kuat, tinggi dan sesuai ditanam dalam pasu lebih besar mengubah suasana taman kecil anda supaya kelihatan lebih luas. Seterusnya pandan hiasan serba menghijau dengan struktur daun linear yang tajam di hujungnya juga membentuk perbezaan ruang yang ketara.
Di samping itu, penggunaan pokok lada sebagai tanaman hiasan atau tanaman sayur-sayuran mampu memberikan impak tinggi kepada nilai dekorasi ruang dapur anda. Struktur tanamannya yang tumbuh menarik sebagai pokok teduhan bagi reka bentuk penanaman mini dan menghasil kan buah lada dwiwarna segar.
Tidak ketinggalan bunga ros Jepun atau Portulaca grandifl ora mempunyai pelbagai warna bunga menarik sebagai tanaman tutup bumi atau ditanam dalam pasu. Bagaimanapun cahaya matahari penuh diperlukan untuk melancarkan lagi proses tumbesaran tanaman berkenaan.
Landskap Refleksi Pemilik
SETIAP kawasan sekeliling kediaman, sama ada sempit atau luas seeloknya diindahkan dengan reka bentuk seni bina landskap yang mampu menyerikan setiap ruang kerana reka bentuk itu adalah refleksi imaginasi dan cetusan idea masing-masing.
Terdapat beberapa reka bentuk seni bina landskap sesuai dibina dan boleh dicontohi sama ada di sisi kiri atau kanan kediaman kerana kebiasaannya ruang berkenaan bersaiz kecil dan kebanyakan hanya disimen sebagai jalan selamat.
Arkitek Landskap Perbadanan Putrajaya, Norhaliza Hanifah, berkata ada beberapa contoh untuk mengindahkan kawasan kediaman, bergantung peruntukan kewangan, kreativiti dan cita rasa tanpa perlu mengorbankan fungsi landskap yang dicadangkan.
Beliau berkata, pergola sebagai satu ciri pada taman atau laman yang sering dibina di belakang rumah boleh disesuaikan di laman tepi. Kawasan sisi selalunya menerima lebih matahari dan ia dapat diredupkan dengan kehadiran pergola dipenuhi pokok memanjat.
“Pergola di sisi rumah elok jika dibina dengan menjadikan tiangnya sebahagian daripada reka bentuk kediaman menggunakan kemasan dan warna yang sama.
“Ruang tepi bersebelahan dengan bilik anak kecil pula boleh ‘disejukkan’ dengan memasang sengkuap diperbuat daripada kaca berlapis untuk memberikan rasa nyaman dan selesa apabila kesan haba atau bahang panas dikurangkan,” katanya.
Katanya, kaedah ini sesuai untuk mereka yang tidak menggemari penggunaan pokok sebagai pemberi teduhan terutama kawasan terlalu sempit yang tidak memungkinkan pokok besar dan rimbun ditanam di situ.
Beliau berkata, jika ruang tepi rumah berhampiran dapur mempunyai lebihan tanah yang boleh diturap dan ruang itu dijadikan tempat bersarapan di luar rumah sambil menikmati cahaya matahari pagi, tentunya ia sangat menarik.
“Bagi yang sukakan ruang berprivasi penuh, penggunaan dinding tinggi dan berpintu amat sesuai diterapkan dalam reka bentuk landskap sisi rumah. Pokok berpasu digunakan untuk menghiasi ruang berkenaan selain dapat memberi teduhan.
“Penggunaan lantai kemasan jubin pastinya kelihatan lebih kemas. Kolam kecil pula boleh dijadikan tempat tadahan air hujan dan digunakan sebagai air siraman untuk pokok mahupun untuk mencuci kawasan sekeliling,” katanya.
Norhaliza berkata, ruang untuk minum petang atau makan malam juga boleh disediakan di sisi rumah berhampiran dapur. Dengan memasang cermin pada dinding kediaman, kawasan dalam rumah seolah-olah diluaskan hingga ke luar rumah dan kawasan luar rumah pula menjadi sebahagian dari ruang dalaman.
“Jika mempunyai kemampuan, kawasan sisi rumah boleh ditukarkan kepada landskap yang lebih menarik dan selesa untuk digunakan dalam apa juga aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan pada bila-bila masa.
“Bagi menjadikan ia lebih menarik, kontena pasu bunga disusun di dinding bertekstur untuk dijadikan titik tumpuan fokal. Selain ruang kelihatan kemas dan teratur ia mudah diselenggarakan kerana berada dalam satu kawasan.
“Kawasan sisi rumah jika dimanfaatkan dengan sebaiknya, sangat sesuai dijadikan tempat istirahat keluarga pada waktu petang. Jangan jadikan alasan ruang terhad untuk membiarkan kawasan berkenaan terbiar.
“Wujudkan ruang privasi dengan menggunakan pokok pagaran yang tinggi. Dinding kotak pasu bunga juga boleh berfungsi sebagai tempat duduk dengan ketinggian bersesuaian. Jadi, ruang berkenaan boleh menjadi dwi fungsi. Ruang beristirahat selain meredupkan sisi kediaman,” katanya.
Membiak Tanaman Hiasan
CETUSAN idea baru dalam mengubah seni bina landskap yang kusam dan tidak bermaya, seterusnya tampil dengan panorama hijau mendamaikan adalah satu kepuasan yang sukar diungkapkan.
Terdapat pelbagai teknik mudah yang boleh anda lakukan untuk pembiakan tanaman hiasan taman.
Antara tanaman paling mudah untuk pembiakan ialah bougainvillea atau pokok bunga kertas kerana kepelbagaian spesies dan warna bunganya.
Sifat tanaman berkenaan yang cepat subur dan sesuai dengan iklim hutan hujan tropika, mendorong ramai pemilik kediaman menjadikan bougainvillea sebagai penyeri laman.
Teknik pembiakan melalui cantuman batang tidak sesukar yang difikirkan. Jika berjaya, ia bakal merimbunkan taman peribadi anda.
Teknik pembiakan melalui cantuman batang bougainvillea
Dahan yang dipilih mestilah masih muda dan belum diklasifikasikan sebagai kayu.
Pokok asal dipanggil ‘pokok menunggu,’ sementara pokok yang diambil sebahagian kecil batang untuk dicantumkan pula dipanggil ‘pokok mendatang.’
Berikut beberapa langkah yang dicadangkan pemilik Noble Lanscape & Nursery, Khairol Anuar Ahmad.
Langkah 1
- Sebaik-baiknya gunakan pisau cukur sebagai alat untuk memotong batang ‘pokok menunggu,’ secara tirus.
Langkah 2
- buang semua daun yang berada berhampiran batang ‘pokok menunggu’ yang bakal dicantumkan supaya tidak mengganggu proses pembiakan kelak.
Langkah 3
- Belah batang ‘pokok menunggu’ sedalam dua inci dan perlu dilakukan di bawah mata tunas dan ia perlu sama dengan ukuran batang ‘pokok mendatang’ yang bakal dicantumkan.
Langkah 4
- Sebelum dicantumkan, potong secara tirus batang ‘pokok mendatang’ supaya tidak menimbulkan masalah ketika pembiakan kelak.
Langkah 5
- Cantumkan terus batang ‘pokok mendatang’ ke dalam batang ‘pokok menunggu’ dengan teliti selepas memotongnya tirus sementara getah masih ada.
Langkah 6
- Gunakan ‘sealing film’ bagi menguatkan batang pokok yang dicantum tadi.
Langkah 7
- Gunakan plastik sesuai yang lutsinar (mudah dimasuki cahaya matahari) untuk membalut bahagian batang ‘pokok menunggu’ dan ‘pokok mendatang’ yang dicantum tadi serta ikat.
- Sebagai langkah terbaik biarkan selama dua minggu sebelum plastik itu dibuka dan buang semua daun yang ada pada batang ‘pokok menunggu ‘ yang dicantum untuk menghasilkan daun baru ‘pokok mendatang’.

























