Dapur Chef Wan praktikal

November 10, 2009 by  
Fail di bawah Dapur

cw1Biarpun sudah merasa memasak di dapur di seluruh dunia, Chef Wan, 51, mengekalkan dapur di rumahnya sendiri seringkas dan praktikal yang mungkin.

“WAN ni dulu nakal. Ada masa tu dia sapu sampah di rumah. Ingatkan dia buang sampah macam biasa. Rupa-rupanya dia buang sampah tu ke rumah jiran ikut tingkapnya,” kongsi Noraini Abdullah, 77, ibu kepada chef No. 1 Malaysia, Redzuawan Ismail, 51, yang lebih dikenali sebagai Chef Wan.

“Dulu kami tinggal di berek polis. Budak-budak suka mengejek mak masing-masing. Sebab itulah saya bergaduh. Bukan setakat buang sampah ke rumah jiran, siap pancitkan kereta jiran lagi,” sampuk Chef Wan, pemenang anugerah Chef Selebriti Terbaik Dunia 2009 itu ketawa.

Menurut Noraini, Chef Wan, anak sulung daripada tujuh adik-beradik, merupakan anaknya yang paling nakal.

“Adik-adiknya selalu jadi mangsa. Wan suka ambil duit bas adik-adiknya buat beli tikam. Lepas itu berjalan kakilah semua ke sekolah apabila sudah kalah,” tambah Noraini.

Hanya dengan ketelitian dan disiplin tinggi, seseorang dapat mengekalkan kebersihan dan kekemasan sudut dapur yang menjadi nadi penting sesebuah kediaman.

Hanya dengan ketelitian dan disiplin tinggi, seseorang dapat mengekalkan kebersihan dan kekemasan sudut dapur yang menjadi nadi penting sesebuah kediaman.

Namun, dijelaskan Chef Wan, hajatnya pada waktu itu mahu menggandakan duit yang ada supaya dapatlah adik-adiknya membeli gula-gula dan sebagainya dengan duit yang dimenanginya itu. “Tapi kalau kalah, memang jalan kaki sajalah kami,” katanya sambil tertawa.

Sesi temu bual bersama chef yang terkenal dengan celotehnya itu berlarutan tanpa kering gusi.

“Dulu kalau balik sekolah, kami lalu kubur Cina. Kami paling suka kalau musim Festival Qingming. Pada waktu itu akan ada banyak makanan ditinggalkan di atas kubur. Saya selalu ajak adik-adik kutip buah pada waktu tiada orang.

“Pakai kayu panjang, saya jolok-jolok dari jauh sebab takut hantu keluar. Banyaklah juga buah yang kami dapat,” kongsinya sambil terus tertawa.

Ketuhar RM30,000

Bakal membuat demonstrasi bersama lapan chef selebriti Jerman pada Pesta Buku Tahunan Frankfurt di Jerman, kesibukannya dapat diperhatikan dengan jelas melalui jadual aktiviti yang sudah berisi sehingga November 2009. Ditambah pula dengan hari bahagia anak perempuan tunggalnya yang juga artis tanah air, Serena, yang bakal tiba.

Kelibat Chef Wan juga bakal kelihatan di Lebanon, Sweden, Sepanyol, China dan banyak negara lagi. Namun, yang pasti, kesibukannya itu berkisar dalam dunia dapur.

SKIL Chef Wan menyediakan hidangan lazat turut diiringi kepakaran teknologi perkakasan dapur jenama Fotile yang moden.

SKIL Chef Wan menyediakan hidangan lazat turut diiringi kepakaran teknologi perkakasan dapur jenama Fotile yang moden.

Sedari kecil Chef Wan sudah masuk ke dapur, menolong ibunya memasak. Menginjak dewasa, beliau tinggalkan pula dunia perakaunan untuk ‘masuk’ semula ke dapur. Sehingga hari ini, entah berapa ribu dapur sudah ‘dirasmikannya’.

Krew Jurnal sempat menjengah dapur di rumahnya di Tiara Ampang, Ampang, Selangor.

Ringkas saja rekaannya. Memilih gabungan rona putih dan hijau pelbagai ton, salah satu ruang rumah kegemarannya itu kelihatan kemas dan bersih.

“Tengok kepada tuan rumah juga. Bagi saya, dapur tidak sepatutnya terlalu besar. Kalau kedudukan bahan yang hendak digunakan dalam masakan terlalu jauh, makanan boleh hangus dulu.

“Dapur saya perlu ada tempat simpanan yang banyak. Kita tidak tahu apa yang kita akan beli pada masa hadapan. Ada orang yang suka mengumpul pinggan mangkuk, bekas kedap udara dan sebagainya,” ujar chef tersohor itu.

Kalau untuk perkakasan dan peralatan yang kerap digunakan, kongsi Chef Wan, dia akan membeli yang tahan lama dan tahan lasak.

“Jadi saya tidak kisah kalau berbelanja sehingga RM30,000 sekali pun untuk ketuhar semata-mata. Ketuhar saya itu sudah lapan tahun dan masih berfungsi dengan baik,” dedah chef berketurunan Baba dan Nyonya di sebelah ibunya itu.

Satu lagi ciri wajib yang perlu ada di dapurnya ialah pulau (island). “Dapur saya perlu ada pulau. Ia penting sebab saya suka berkongsi cara memasak satu-satu masakan dengan kawan-kawan. Jadi senang mereka dapat lihat apa yang sedang berlaku,” ujarnya.

Selebriti itu berjaya menawan hati puluhan ribu wanita dengan pakej celoteh dan mahir memasak sepanjang kerjayanya – memberinya peluang untuk melihat dapur di rumah pengikutnya.

Pencahayaan

“Saya kenal isteri seorang hartawan yang mengubahsuai dapurnya menjadi sebesar sebuah bilik tari (ballroom). Bilik-bilik tidur di rumah itu, sebaliknya, dibina kecil. Padahal dia tidak pandai memasak. Jadi saya lihat dia sudah melakukan satu kesilapan yang besar di situ,” kata Chef Wan.

Sepatutnya kata Chef Wan, pertimbangkan beberapa perkara sebelum melakukan pengubahsuaian pada bahagian dapur. Antaranya termasuklah berapa kerap dia akan menggunakan dapur itu, saiz isi keluarga, sama ada dia akan melayan tetamu di dapur, dan kemampuan.

DAPUR perlu menyediakan tempat simpanan barang yang banyak.

DAPUR perlu menyediakan tempat simpanan barang yang banyak.

Ada rumah-rumah besar yang dikunjungi, memiliki stor makanan.

“Stor ini untuk mengelakkan tuan rumah perlu membeli barang-barang dapur berulang kali, terutama keluarga besar. Tetapi rumah yang saya kunjungi itu, stor makanannya saja sudah seperti sebuah pasar raya. Tetapi dia tidak memasak.

“Jadi apabila sudah sampai tarikh luput, dia campak saja stok-stok makanan itu ke dalam tong sampah. Dapur sepatutnya direka dengan fungsi yang tepat dan sempurna mengikut keperluan tuan rumah, bukan untuk menunjuk-nunjuk,” tambahnya.

Sebagai contoh, jika isi rumah itu gemar makan makanan bergoreng, ada baiknya, nasihatnya, dapur di rumah itu dilengkapi deep frier. Sebaliknya, jika isi rumah itu menjaga pemakanan dan tidak makan makanan bergoreng, sediakan gril pemanggang atau flat-top untuk masakan yang tidak menggunakan minyak.

Ada rumah, kata Chef Wan, memerlukan dapur basah, terutama bagi penghuninya yang gemar memasak.

“Selalunya dapur basah digunakan untuk mengelak daripada menyebabkan keseluruhan rumah berbau masakan ketika memasak. Tetapi rumah moden sekarang menggunakan hud dapur untuk menghalakan pergerakan bau masakan ke luar rumah.

“Saya tidak memerlukan dapur basah kerana dapur kering saya, biarpun bersiling rendah, tidak mendatangkan masalah kerana adanya hud dapur,” kata Chef Wan.

Pencahayaan merupakan satu lagi aspek yang dititikberatkan.

“Disebabkan itu ada banyak tingkap di dapur saya. Terdapat banyak bakteria dalam persekitaran kita yang kita tidak nampak dengan mata kasar.

“Jadi pencahayaan dan pengudaraan yang baik dapat mengurangkan risiko keracunan makanan. Selain itu, dalam keadaan terang, kemalangan di dapur juga dapat diminimumkan,” jelasnya.

Kosmo

Ubahsuai dapur perlu dirancang

March 22, 2009 by  
Fail di bawah Dapur

Perancangan dan rekaan ruang dapur berhubung rapat dengan budaya dapur amalan keluarga kita sendiri. Maka tidak ada satu jawapan untuk semua keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang unik.

Dari segi teknikal, lazimnya ada kehendak standard. Kita sebagai pengguna dapur sendiri jangan terlalu terikut-ikut dengan orang lain.

Latar belakang dapur masyarakat Malaysia

Sebagai orang Melayu, saya lebih merujuk kepada amalan budaya masyarakat Melayu tradisi. Antara perkara yang dititikberatkan adalah upacara keramaian di rumah. Contohnya, kenduri, perkahwinan, kematian dan hari raya.

Upacara begini sering mencabar keberkesanan perancangan ruang dapur dan ruang makan. Ini kerana silap mengatur laluan trafik akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas dan menjejaskan upacara berkenaan.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, dapur dikhaskan untuk wanita. Dulu, wanita adalah suri rumah, maka banyak masa dihabiskan di situ untuk menjalankan pelbagai aktiviti domestik tetapi sekarang tidak janggal golongan lelaki ke dapur untuk membantu isteri.

Pada hari ini, dapur sudah banyak melalui perkembangan dari aspek reka bentuk dan perancangannya. Pada zaman kolonial British dulu rumah ibu dan dapur mempunyai definisi yang jelas kerana dibezakan aras dan kedudukannya.

Dapur rumah bangunan kolonial biasanya mempunyai kawasan bertutup dan terbuka yang disatukan. Ini sebenarnya sangat praktikal dan menarik.

Kebersihan dapur perlu dititikberatkan

Hari ini, dapur moden mengalami satu masalah yang lazim iaitu keluasan terhad terutama di rumah teres dan apartmen tetapi aktiviti dapur tetap sama. Di situlah kita memasak, mencuci pinggan-mangkuk, mencuci baju dan menjemur pakaian.

Di kawasan yang kecil itu juga hendak bercucuk tanam menghasilkan taman herba atau taman mini. Sebenarnya jika dirancang dengan baik dan bijak, ia akan menjadi ruang paling digemari keluarga.

Namun, perancangan yang baik ini harus disesuaikan budaya dapur kita. Dapur yang moden dan canggih sekalipun, jika penggunanya tidak bersih, tidak rajin berkemas, kasar dan tidak mengikut peraturan, dapurnya pasti menjadi buruk juga.

Jadi, dalam merancang reka bentuk dapur, ia perlu disertakan dengan perubahan amalan budaya dapur yang menekankan aplikasi sistem yang berkesan dan praktikal.

Seperti yang saya sebutkan tadi, aktiviti mencuci pakaian dan menjemur baju juga dilakukan di dapur. Kawasan luaran yang sedikit di belakang rumah dimanfaatkan sebagai tempat menyidai pakaian dan ini merosakkan pemandangan indah seni bina rumah kita.

Namun, tidak dapat dielakkan mengikut pengakuan sebilangan suri rumah bahawa ruang yang ada itu menempatkan semua aktiviti berkenaan. Jadi, kesimpulan yang dapat dibuat ialah suasana dapur menarik dan selesa banyak bergantung kepada tradisi amalan dapur kita.

Di sini boleh saya katakan bahawa reka bentuk atau hiasan dalaman bukan hanya menekankan nilai estetik semata-mata, tetapi membentuk disiplin diri ahli keluarga dan memperbaiki kualiti hidup sesebuah keluarga.

Perkembangan dapur pada hari ini

Perancangan dapur pada asasnya berkisar kepada soal ergonomi, mengoptimumkan ruang dan kos di samping rekaan yang menarik.

Perancangan dapur pada asasnya berkisar kepada soal ergonomi, mengoptimumkan ruang dan kos di samping rekaan yang menarik.

Tugas dapur berubah secara dramatik pada 20 atau 30 tahun lalu. Dari berfungsi secara asas sebagai tempat yang hanya menyedia dan menyiapkan makanan untuk keluarga menjadi ruang pelbagai fungsi seperti penyimpanan makanan kepada penyediaan makanan dan sebagai ruang keluarga.

Pertukaran cara hidup dan teknologi banyak mempengaruhi cara dapur berfungsi. Dengan adanya peralatan dapur canggih dan mesra pengguna membuat cara dan gaya memasak berubah. Dengan adanya peti sejuk besar, sekarang ini masyarakat hanya perlu berbelanja di pasar hanya sekali seminggu.

Cara penyediaan makanan juga berubah, penggunaan makanan segera dan perencah segera semakin popular bagi remaja dan bagi golongan keluarga kecil yang sibuk yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan secara biasa. Sejak kebelakangan ini penggunaan ketuhar mikro amat diperlu bagi mempercepatkan aktiviti memasak berbanding cara biasa.

Perancangan ruang

Bagi kebanyakan tempat, dapur menjadi pusat dalam rumah dan aktiviti domestik. Kurangnya makan secara tradisional yang mana makan secara formal menyebabkan dapur menjadi ruang bersama antara ruang makan dan ruang tamu. Ini menyebabkan dekorasi dapur menjadi penting sama seperti ruang tamu..

Kediaman moden juga bertukar menjadi konsep perancangan terbuka yang mana hanya sedikit atau tiada langsung pembahagian ruang dalam rumah. Dengan cara itu, dapur tidak lagi berfungsi tunggal malah sebagai pusat bagi keseluruhan perancangan dan skima reka bentuk kediaman.

Tip membuat perancangan dapur

Ruang makan dan dapur haruslah mempunyai perhubungan laluan dari dalam dan luar. Sekiranya ada keramaian, dua laluan ini akan menentukan kelancaran aliran trafik.

Aktiviti basah seperti mencuci pinggan, memotong sayur dan ikan serta aktiviti memasak haruslah didefinisikan kawasannya dengan jelas. Aktiviti yang awal disebut tadi lebih baik sekiranya dihubungkan terus dengan ruang luar rumah.

Rak untuk menyimpan barang-barang dapur haruslah terancang dan mencukupi. Senaraikan barangan keperluan dapur mengikut kategori penggunaannya agar keputusan jumlah rak terbuka, rak tertutup, laci dan kedudukannya dirancang dengan berkesan.

Gunakan pintu berkembar yang boleh dibuka luas apabila ada aktiviti keramaian serta tingkap yang strategik untuk peredaran udara yang berkesan. Tidak semestinya pembukaan itu banyak. Peredaran, udara berlaku apabila ada laluan angin masuk dan laluan angin keluar yang jelas dan kedudukan bukaan adalah betul. Jika perlu, gunakan kipas penyedut untuk membantu peredaran udara.

Jika berkemampuan, gunakan mesin basuh dan mesin pengering baju untuk mengurangkan ruang penyidai baju. Walaupun ramai antara kita yang gemar mengeringkan baju secara semula jadi dibandingkan dengan mesin pengering baju, sebenarnya, perbezaan ini hanya sedikit dan secara psikologi kita rasa baju yang dikeringkan matahari lebih sedap dipakai.

Ruang luaran yang kecil dan sedikit boleh dijadikan taman untuk dinikmati dari ruang makan dan ruang dapur. Di sini juga, terletaknya pintu pagar belakang untuk tujuan pembersihan rumah seperti pembuangan sampah dan sebagainya.

Bahan dan aksesori

Perkembangan bahan dan kemasan serta aksesori menyaksikan perkembangan reka bentuk dapur menjadi menarik. Ketika ini, pengguna mempunyai banyak pilihan daripada hanya kemasan seperti jubin seramik dan kemasan cat yang digunakan sebagai bahan kemasan.

Hari ini dapat dilihat pelbagai penggunaan bahan kemasan yang menarik seperti bahan besi tanpa karat, kaca, laminate kayu berwarna dan plastik tahan lasak. Semua kemasan ini amat sesuai kerana mempunyai ciri tahan lasak, kuat, serta amat tahan untuk kegunaan harian di dapur.

Aksesori pula berfungsi memudahkan susunan peralatan dapur supaya lebih teratur dan kemas. Aksesori yang menarik menambah lagi gaya reka bentuk dapur.

Gaya reka bentuk

Gaya reka bentuk dapur juga amat dinamik seperti gaya fesyen pakaian. Hari ini kita dapat melihat banyak pilihan reka bentuk boleh diperoleh sama ada daripada majalah, buku atau bilik pameran gaya dan stail reka bentuk dapur.

Sekiranya anda ingin mereka bentuk dapur sama ada dari peringkat asas, pengubahsuaian yang lama atau merancang semula sangat baik. Anda perlu bersedia dan terbuka dalam menerima apa juga cadangan yang dicadangkan oleh pakar terutama bahagian teknikal seperti pemasangan dan pendawaian.

Pembacaan dan penelitian serta rujukan mengenai dapur akan membantu anda mengumpul segala maklumat yang diperlukan untuk melaksana dan menggunakan dapur sebagai rutin dan tugas seharian.

Perancangan reka bentuk dan kos

Membina atau mengubah dapur adalah projek yang memerlukan perancangan teliti dan ketika pelaksanaan kerja akan berubah-ubah kerana pemilik tidak yakin apa yang dikehendaki dan perubahan ini akan membabitkan kos.

Berbanding dengan kerja membaiki atau menukar unit pintu yang mana kerja dilakukan hanya menggunakan bajet terhad maka hendaklah berhati-hati dengan tambahan kos dan kos yang tersembunyi. Oleh itu, perlu ada dana untuk menampung kos berkenaan.

Teknologi

Selain kos yang perlu dititik berat, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan dari segi praktikaliti, keselamatan dan kebersihan yang perlu diketahui oleh pengguna dapur. Keperluan dapur banyak membantu memudahkan kerja menyedia dan memasak makanan.

Kemajuan teknikal berlaku cepat dan adalah baik untuk mengambil masa meneliti produk keperluan dapur yang ada dalam pasaran sama ada keluaran terbaru sebagai pilihan. Adalah baik mengetahui tahap jaminan, kelasakan dan jangka hayat produk keperluan dapur berkenaan ketika membeli.

Jangan terpengaruh dengan trend dan reka bentuk dapur terkini – fikirkan mengenai praktikaliti. Binalah dapur yang sesuai dengan cara hidup dan juga inspirasi gaya yang diidamkan. Paling penting anda berasakan seperti rumah sendiri yang mana anda selesa dan praktikal untuk bekerja.

Berita Harian