Pilihan perabot ruang tamu
April 5, 2009 by admin
Fail di bawah Ruang Tamu

Sebelum membeli pastikan anda dilengkapi beberapa panduan supaya perabot bersesuaian dengan keperluan.
MEMANG seronok apabila berpeluang membeli set perabot baru untuk ruang tamu namun ia memerlukan perbelanjaan agak besar terutama bagi yang berpendapatan sederhana. Mengenangkan itu, wajarlah kita bersikap cerewet sebelum membuat keputusan memiliki sesuatu perabot.
Sebelum melangkah ke kedai perabot, pastikan anda dilengkapi beberapa panduan yang boleh membantu memiliki baik ruang tamu bersih dan kemas mahupun sekadar selesa namun berfungsi. Perlu diingatkan, harga mahal tidak semestinya barang berkualiti. Manakala, perabot murah mungkin memerlukan anda menukarnya semula dalam tempoh singkat penggunaan.
Beberapa ciri yang perlu diambil tahu pembeli dan pengguna ketika membuat pilihan dan membeli perabot antaranya;
1) Tahap Kegunaan
Mengenal pasti tahap kegunaan perabot di ruang tamu. Misalnya, adakah sofa itu untuk kegunaan keluarga beristirehat dan menonton TV atau perabot berkenaan jarang digunakan. Jika kerap digunakan, pastikan sofa dipilih tahan lasak bagi menerima apa juga bebanan yang dikenakan ke atasnya. Ukuran sesuai adalah yang boleh menampung berat pelbagai saiz dan kumpulan manusia.
Sofa warna terang menarik tumpuan.
2) Kesesuaian Gaya
Anda perlu mengenal pasti gaya yang sesuai dengan keperluan konsep reka bentuk ruang anda. Pilihan sofa yang bertepatan dengan gaya yang dipilih antaranya:
i. Gaya moden menampil gaya sofa rendah dan rata selain nampak bersih dan minimal
ii. Gaya klasik menampilkan gaya sofa melengkung, berukir dan berukuran besar
Rangka kayu keras tahan lama.
iii. Gaya tradisional menampilkan gaya tradisi etnik tertentu yang menggunakan bahan kayu
iv. Gaya resort dan kedesaan menampilkan sofa daripada anyaman serta bahan semula jadi
3) Keselesaan
# Tahap keselesaan sofa bergantung kepada keanjalan dan kelembutan kusyen. Tentukan sama ada hendak memilih jenis kusyen yang melekat atau terasing.
# Ukuran sofa dari segi keselesaan antropometrik dan ergonomik dapat diketahui dengan dengan cara duduk di atas sofa berkenaan bagi bagi menguji tahap keselesaannya.
# Kenal pasti bahan digunakan sama ada ia campuran bahan berbusa (foam), gentian atau kekabu. Pengisian bahan berbusa adalah terbaik kerana dapat mengekalkan bentuk selain memberi sokongan yang kuat.
4) Pilihan Warna
# Pilihan warna terang digalakkan kerana ia mampu menarik tumpuan.
# Warna semula jadi adalah pilihan sempurna kerana mudah digabungkan dengan perabot lain.
# Cara terbaik adalah sofa utama mengekalkan warna sama manakala aksesori dan hiasan sampingan seperti kusyen boleh dalam berbilang corak dan warna.
# Kelebihan mengetengahkan upholsteri bercorak bukan saja merangsangkan suasana ruang tamu tetapi mampu menutup kekotoran di sofa.
5) Kesesuaian Ruang
# Satu kesilapan utama membeli perabot ialah kerana tertarik dengan tawaran jualan murah tanpa membuat perbandingan kesesuaian dengan luas ruang rumah.
# Yang menyedihkan apabila saiz perabot tidak boleh muat walaupun pada pintu rumah.
# Pastikan saiz dan dimensi serta ukuran lebar, tinggi dan panjang perabot diketahui bersama dengan ukuran maksimum ruang rumah anda.
6) Ketahanan Fizikal
# Selain ketahanan struktur perabot, ketahanan bahan fabrik juga penting. Fabrik jenis jacquard paling tahan. Bahan pelindung fabrik pula berfungsi menjaga fabrik bukan ketahanan fabrik.
# Periksa perabot yang hendak dibeli – ambil masa untuk memeriksa dari segi pembinaan struktur rangka perabot. Sofa tahan lama biasanya menggunakan kayu keras sebagai rangka biarpun ia menyebabkan perabot itu berat diangkat.
# Tunggang terbalikkan perabot yang hendak dibeli untuk mengetahui kekuatan dan kestabilan sofa.
# Duduk dan rasai sofa yang hendak dibeli seperti yang biasa dilakukan ketika di rumah kerana ia membantu anda membuat analisis mengenai tahan keselesaan dan ketahanannya. Pelawa juga keluarga untuk mencubanya.
Gaya menyusun ruang tamu
March 22, 2009 by admin
Fail di bawah Ruang Tamu
RUANG tamu adalah ruang yang dikhususkan menerima tetamu dan berfungsi tempat pertemuan keluarga. Apapun aktiviti dilakukan, kerusi dianggap keperluan dan nadi ruang berkenaan.
Suatu ketika dulu, ruang tamu tetap berfungsi tanpa kerusi kerana masyarakat waktu itu hanya duduk bersila di lantai. Namun, ketika status dan keupayaan memiliki set tempat duduk diperoleh dengan mudah, memiliki set perabot lengkap di ruang tamu bukan masalah besar.
Apapun, anda perlu bijak menilai set kerusi tamu paling sesuai untuk memenuhi keperluan fungsi ruang itu. Oleh kerana kehadiran tempat duduk berupaya menyuntik suasana tertentu, maka sebelum sofa dan kerusi dibeli, perkara berikut perlu dipertimbangkan;
Kategori Pengguna
Kenal pasti kategori pengguna ruang tamu iaitu adakah membabitkan golongan dewasa, orang tua atau kanak-kanak?
Kerusi dan meja tambahan melengkapi susun atur ruang tamu.
Jika golongan tua pengguna utamanya, pastikan kerusi dipilih sesuai keperluan mereka.
Jika ia kerap dikunjungi kanak-kanak dan haiwan peliharaan, pastikan anda membeli sofa fabrik jenis sarung boleh tanggal dan cuci.
Bilangan Pengguna
Perlu pastikan jumlah pengguna untuk mengetahui jumlah tempat duduk yang patut disediakan.
Sediakan juga tempat duduk tambahan bagi menampung tetamu hujung minggu dan sesekali, jika menganjurkan majlis keraian.
Aktiviti Pengguna
Adakah kegiatan ruang tamu terhad kepada merai tetamu? Bagaimana dengan aktiviti lain seperti menonton televisyen, mengulang kaji pelajaran, membaca, membuat kerja tangan, bermain, makan atau mendengar muzik?
Setelah mengenal pasti jenis aktiviti yang dilakukan di ruang ini, sediakan keperluan ruang itu seperti kelengkapan tambahan yang boleh dipelbagaikan kegunaannya.
Gaya susun atur tempat duduk
Gaya dan susun atur tempat duduk ruang tamu memerlukan sentuhan kreatif dan beberapa kehendak praktikal perlu dipatuhi. Tiga gaya asas mengatur tempat duduk di ruang tamu ialah:
1. Susunan segi tiga
Gaya susunan segi tiga membabitkan kedudukan tiga penjuru iaitu sofa tiga tempat duduk disusun mengadap meja kopi, diiringi sofa satu tempat duduk ditempatkan di kedua-dua penjurunya.
Gaya ini pilihan popular di ruang tamu kerana kedudukannya mesra selain memudahkan tetamu serta tuan rumah berbual juga mengatur kedudukan apabila hendak duduk.
2. Susunan bulat
Gaya susunan bulat mengutarakan sofa berbentuk L dengan sofa satu tempat duduk tambahan ditempatkan di sisi manakala meja kopi diletak di tengah ruang.
Gaya ini popular untuk ruang tamu moden kerana nampak santai dan sesuai bagi memupuk kemesraan keluarga.
3. Susunan separuh bulat
Gaya susunan separuh bulat disusun dengan sofa dua atau tiga tempat duduk dijadikan fokal dan dikelilingi sofa satu tempat duduk serta meja kopi di tengah.
Gaya ini agak formal iaitu tuan rumah duduk di sofa tengah dan dikelilingi tetamu. Gaya ini amat sesuai untuk tuan rumah memberi tumpuan kepada kesemua tetamunya.
Berikut beberapa tip menyusun atur sofa di ruang tamu; Kehendak praktikaliti dan peraturan yang perlu diikut;
- Jika ruang tamu ingin dimanfaatkan tempat merai tetamu sepenuhnya, temoar duduk elok disusun berdekatan supaya tetamu merasai kemesraan tuan rumah. Pastikan jarak di antara tempat duduk tidak terlalu jauh hingga mewujudkan ruang di tengah yang boleh menjadi kawasan lalu-lalang. Ini akan mengganggu perbualan dan sebaiknya, aliran lalu-lalang disediakan di belakang sofa.
- Ambil kira keluasan ruang tamu, kedudukan tingkap dan pintu sebelum memilih tempat duduk kerana sofa memerlukan ruang. Pastikan kehadirannya tidak menghalang kawasan lalu-lalang di muka pintu atau sekitar ruang tamu.
- Jika ruang tamu anda memanjang dan sempit, bahagikan tempat duduk kepada dua kumpulan iaitu sama ada tempat duduk gaya susunan 2 + 1 + 1 atau gaya susunan 1 + 1 dan di sudut lain ditempatkan kerusi kayu serta rotan yang ringkas. Meja kopi diletak di bahagian tengah.
- Sofa dua atau tiga tempat duduk tidak bukan bermakna sepanjang masa diduduki. Biasanya ia tidak digunakan sepenuhnya pada satu masa kerana menyukarkan perbualan. Di sini, perlunya tambahan sofa satu tempat duduk yang dapat memberi keselesaan.
- Ruang tamu yang digunakan untuk berbual dan menikmati hidangan ringan memerlukan meja kopi besar diletakkan di tengah ruang dilengkapi meja sisi serta sepasang sofa dua atau tiga tempat duduk diatur bertentangan.
- Untuk mengelakkan kebosanan selain mewujudkan tata hias menarik, pastikan fabrik pelbagai warna dan corak dipilih. Gabungan sofa dan kerusi pula mampu mewujudkan kelainan.
- Kerusi beralas tangan jenis rotan dan kayu serta sofa bersayap menampilkan gaya menarik. Selain itu, ia boleh dijadikan tempat duduk tambahan dan sudut membaca.







