Padanan lampu sesuai

June 1, 2009 by  
Fail di bawah Pencahayaan

SETIAP ruang memerlukan kaedah penyelesaian pencahayaan berbeza. Baik ruang tamu, bilik tidur mahupun ruang penyimpanan bawah tanah, pelan pemasangan lampu harus disajikan mengikut kesesuaian dan keperluan ruang.

Chandelier sesuai untuk menjadi lampu tumpu yang hebat jika ruang mengizinkan.

Chandelier sesuai untuk menjadi lampu tumpu yang hebat jika ruang mengizinkan.

Ruang seluas 3.7 meter x 3.7 meter, misalnya memadai dilengkapi sebuah lampu yang melimpahkan cahaya ke arah atas yang berkuasa 120 watt, manakala bagi sebaran cahaya lebih berkesan, boleh dilakukan dengan menambah empat lagi lampu yang dipasang pada setiap penjuru ruang.

Bagi bilik luas, anda disyorkan memasang lampu berbentuk empat segi tepat dengan sekurang-kurangnya tambahan enam lampu pada sudutnya.

Namun, usaha menentukan pencahayaan ruang dapur dan bilik mandi jauh lebih sukar berbanding ruang lain kediaman kerana kawasan ini menawarkan aliran pergerakan yang tinggi.

Bagi ruang dapur, misalnya penekanan seharusnya diberikan kepada kawasan bekerja merangkumi sinki, dapur dan meja kerja. Lampu cahaya menghala ke atas yang dipasang secara berjajar di atas serta sudut luar kabinet, selain meluaskan penyebaran cahaya juga berkesan mengelakkan bayang ketika memasak di dapur.
Candeliar sesuai dijadikan lampu tumpu.

Untuk sebaran cahaya yang lebih serata, kedudukan lampu ditentukan dengan mengambil kira aspek seperti jarak empat hingga lima kaki di antara satu dengan yang lain.

Lampu gantung, siling dan pencahayaan ke atas yang ditempatkan secara berjajar di kabinet menghidupkan ruang dapur.

Lampu gantung, siling dan pencahayaan ke atas yang ditempatkan secara berjajar di kabinet menghidupkan ruang dapur.

Lampu meja, lantai dan dinding meskipun berperanan sebagai lampu sokongan, kedudukannya perlu dipastikan betul. Jangan pasang lampu di kawasan penjuru kerana biarpun anda fikir ia cantik di situ, tetapi fikirkan pula fungsinya dalam usaha membantu menerangi ruang.

Kenal pasti sudut sesuai sekiranya ingin menempatkan lampu tambahan. Hindari memasang lampu itu di ruang bertentangan skrin televisyen dan komputer kerana boleh menyebabkan silau.

INFO: Tip Memilih Lampu

# Untuk menjadikan ruang sempit nampak luas, anda disyor memasang lampu pencahayaan ke atas di sudut strategik di lantai.

# Bilik luas nampak selesa dengan pilihan lampu dinding bercahaya malap.

# Mereka yang menjadikan lampu hiasan candeliar sebagai titik tumpu ruang, pastikan tiada sebarang lampu tambahan ditempatkan berdekatan. Ini kerana lampu ini berpotensi menenggelamkan keindahan candeliar itu.

# Lampu dengan pencahayaan boleh laras membantu menyenangkan hidup. Ia membenarkan anda mengawal jumlah cahaya mengikut keperluan pada sebarang masa dan tempat.

# Lampu pendarfluor lebih baik berbanding bercahaya terang kerana mampu menjimatkan sehingga 70 peratus kos elektrik. Tidak dinafikan harganya lebih mahal, namun jangka hayatnya 10 kali lebih panjang daripada lampu bermentol putih.

# Sediakan jadual membersih lampu. Mencucinya secara berkala menghasilkan kaca jernih yang mampu menyediakan impak cahaya berkesan.

# Di pasaran, disediakan pelbagai pilihan lampu terendak, namun yang terbaik ialah ukuran terendaknya sama besar dengan diameter paling besar badan lampu. Trend terkini, bagaimanapun menyaksikan ukuran terendak beberapa inci lebih besar daripada badan lampunya.

# Penyediaan lampu landskap berbeza dengan pencahayaan untuk dalam rumah. Pelan pemasangan sempurna mengkhususkan satu atau dua lampu reka bentuk menarik untuk ditempatkan di pusat tumpuan laman disusuli beberapa lampu lain di sekeliling kawasan itu.

# Sebagai langkah keselamatan, semua lampu dan kabel ditentukan berjarak sekurang-kurangnya dua meter daripada kolam renang.

Berita Harian

Pencahayaan semula jadi

March 30, 2009 by  
Fail di bawah Pencahayaan

PENCAHAYAAN amat penting dalam kehidupan seharian. Dengan adanya sumber cahaya segala aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna. Sumber cahaya diperoleh sama ada secara sumber semula jadi atau tenaga elektrik.

Pada waktu siang, sumber cahaya semula jadi iaitu matahari adalah sumber cahaya yang digunakan menerangi persekitaran, sementara pada waktu malam sumber cahaya buatan dari tenaga elektrik pula mengambil alih tugas itu.

Antara ciri rumah mesra alam seterusnya adalah menggunakan sumber cahaya semula jadi sebagai punca cahaya. Sebagai negara beriklim tropika, kita tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber cahaya semula jadi yang dihasilkan oleh sinar matahari.

Sinaran matahari ke dalam rumah bantu kurangkan kelembapan.

Sinaran matahari ke dalam rumah bantu kurangkan kelembapan.

Sinaran matahari yang diperoleh sepanjang tahun seharusnya digunakan secara bijak kerana kita bukan saja dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik malah baik untuk kesihatan penghuni rumah. Apatah lagi, sinar matahari pagi dikatakan mengandungi banyak kelebihan untuk perkembangan fizikal dan kulit manusia.

Kelebihan memperoleh sinaran cahaya matahari ke dalam ruang kediaman juga dapat membantu mengurangkan kelembapan di dalam ruang seterusnya melenyapkan bakteria berpunca dari ruang lembap.
Cahaya memasuki ruang bergantung kepada saiz bukaan tingkap.

Apabila seluruh ruang memperoleh sinar cahaya matahari yang cukup, maka bakteria yang dikenali sebagai hama dapat dihindari. Binatang yang menghasilkan hama seperti tikus amat menyukai tempat gelap dan lembap.

Menerusi sinar cahaya yang menyinar ke dalam rumah, haiwan atau serangga pemusnah seperti lipas, semut dan anai-anai yang menyukai tempat gelap dan lembap dapat dihindari.

Kedudukan cahaya matahari yang terbit dari timur dan tenggelam di barat sebaiknya diambil kira dalam menentukan kedudukan sesuatu bangunan. Adalah baik sekiranya bukaan seperti tingkap atau pintu dibuat pada kedudukan sesebuah kediaman dapat memperoleh cahaya matahari pagi pada bahagian hadapan dan cahaya matahari petang pada bahagian belakang.

Kelebihan ini membantu dari segi keselesaan kerana cahaya matahari waktu petang agak terik berbanding pada waktu pagi. Bagi kedudukan menghadap utara pula cahayanya tidak terik, begitu juga pada kedudukan menghadap selatan.

Bagi memperoleh cahaya maksimum, setiap ruang digalakkan menawarkan sekurang-kurangnya tiga bukaan sisi. Tujuannya untuk memperoleh sinar cahaya pada waktu yang berbeza.

Pancaran cahaya matahari yang diperoleh bukan saja menghasilkan cahaya tetapi juga mengeluarkan bahang. Cahaya siang hari ini banyak memberi kesan psikologi selain untuk kemudahan praktikal. Kesan pencahayaan akan berubah-ubah mengikut masa pada satu hari, pada musim tertentu dan pada kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain. Kesan cahayanya boleh diserap oleh awan, jerebu dan juga bila berlaku hujan. Dengan itu kesan cahaya yang diterima akan berkurangan dan berubah-ubah mengikut kedudukan matahari.

Cahaya memasuki ruang bergantung kepada saiz bukaan tingkap.

Cahaya memasuki ruang bergantung kepada saiz bukaan tingkap.

Bagi rumah kediaman, kesan cahaya semula jadi yang berlaku pada siang hari dari segi kuantiti dan kualiti biasanya ditentukan oleh saiz dan orientasi tingkap.

Kadar iluminasi atau penerangan cahaya siang hari atau cahaya semula jadi yang memasuki ruang dalaman bergantung pada kedudukan dan saiz bukaan atau tingkap.

Pada dasarnya, bila besar dan lebar tingkap maka lebih banyak cahaya akan memasuki ruang. Kesan daripada kemasukan cahaya ke dalam ruang ini juga dibantu secara efektif oleh siling dan dinding belakang berbanding dinding sisi dan lantai. Selain itu, permukaan yang berwarna cerah akan membalik dan menyebarkan cahaya lebih efektif berbanding permukaan gelap. Cuba elak menggunakan permukaan berkilat yang membalikkan cahaya serta menghasilkan silau.

Kesan cahaya berlebihan menghasilkan silau. Silau ini akan menghalang dan mengganggu daya penglihatan pengguna ruang. Terdapat dua silau iaitu silau secara terus yang disebabkan kesan cahaya yang berlebihan terhadap daya penglihatan manusia normal manakala silau tidak terus disebabkan kesan pembalikan yang berlebihan pada objek oleh cahaya kepada penglihatan manusia. Silau ini boleh dikawal dengan memasang alat pengawal silau seperti bidai ram, ram tetap mendatar atau menanam pokok dan tumbuhan bersebelahan bangunan.

Pada ketika ini, kebanyakan pemilik rumah mula sedar dan menggunakan secara baik kelebihan cahaya matahari bukan saja untuk menerangi ruang tetapi bagi menghasilkan sumber tenaga.

Penggunaan tenaga solar sebagai punca tenaga alternatif amat digalakkan bagi mengurangkan pergantungan tenaga elektrik. Kerajaan harus menggalakkan penggunaan secara meluas dengan mengurangkan harga alat penyimpan tenaga suria supaya penggunaan menyeluruh hingga ke kediaman sederhana dan rendah. Ketika ini, hanya kediaman mewah dan banglo saja dilihat menggunakannya. Menerusi galakan pihak bertanggungjawab mengenai kesedaran mengguna sumber cahaya semula jadi, masyarakat lebih menghargai akan kelebihan sumber cahaya semula jadi dengan menggunakan untuk tujuan bermakna.

INFO: Penggunaan cahaya

* Membuat bukaan cahaya pada daun pintu supaya walaupun pintu bertutup, cahaya masih boleh masuk.

* Membuat tingkap yang mempunyai bukaan luas bagi membolehkan lebih cahaya memasuki ruang. Ini akan menjimatkan penggunaan lampu pada siang hari.

* Membuat bukaan pada setiap sisi dan atas bangunan seperti bumbung telus cahaya untuk memperoleh sinar matahari sepanjang hari.

* Keperluan cahaya boleh digunakan pada kabinet dan almari bagi membantu mengurangkan kelembapan serta mengelak serangga perosak bersarang di tempat terlindung cahaya.

* Melakukan aktiviti yang memerlukan tumpuan dan keperluan cahaya berdekatan dengan tingkap atau bukaan.

Berita Harian

Cahaya serikan malam

March 22, 2009 by  
Fail di bawah Pencahayaan

Penataan cahaya menggunakan lilin juga boleh dijadikan pilihan.

Penataan cahaya menggunakan lilin juga boleh menjadi pilihan.

APABILA bercakap mengenai pencahayaan, apa yang terlintas di fikiran tentu tidak lari daripada penggunaan lampu untuk menerangkan kawasan yang gelap tetapi ada segelintir di kalangan kita berasakan pencahayaan lebih bermakna daripada sudut estetik, fungsi dan pencetus kenangan.

Pencahayaan di sesebuah taman memang penting, terutama sebagai elemen menghidupkan suasana taman bila malam menjelang.

Tenaga elektrik adalah sumber tenaga utama negara yang menjana pelbagai aktiviti dan tidak ketinggalan dalam menyediakan pencahayaan dalam sesebuah taman.

Bekalan elektrik begitu senang diperoleh, malah ada di mana-mana sehinggakan sampai satu tahap menyebabkan ada di kalangan kita tidak menghargai cahaya yang begitu bernilai.

Sebelum ada elektrik, pelita minyak tanah adalah asas dalam pencahayaan sama ada di dalam atau di perkarangan rumah. Obor dan jamung menjadi alat untuk berjalan pada waktu malam.

Bagi mereka yang pernah tinggal di kampung, masih ingatkah anda bila kita hendak ke luar rumah pada waktu malam atau pada zaman kita masih kecil, untuk masuk ke bilik tidur yang gelap perasaan takut dan curiga pasti menyelubungi fikiran. Paling tidak, eh! takut nak masuk, ada hantu.

Inilah perasaan zaman kanak-kanak tetapi apabila kita dibekalkan lampu minyak tanah atau lampu picit, perasan itu akan hilang kerana kesan cahaya memberi kita satu semangat dan bertukar menjadi satu keseronokan.

Mana tidaknya, pasti anda pernah bermain bayang-bayang jari yang terpantul ke dinding dengan lampu pelita atau bermain lampu picit dengan menyelubungkan kain pelekat untuk menyakat adik atau jiran.

Peranan pencahayaan juga begitu penting untuk menghidupkan suasana sesebuah majlis. Ingatkah anda di kampung ketika majlis kenduri, terutama kenduri kahwin yang berlangsung sampai dua tiga malam. Terang benderang dengan lampu, unggun api masak gulai kawah atau untuk masak air mewujudkan suasana yang berbeza dengan hari sebelumnya.

Jika sebelum ini, ada sesetengah kawasan di perkarangan rumah itu gelap dengan pokok besar, cukup takut bagi kita untuk memandang ke arahnya apatah lagi berjalan di kawasan itu, tetapi bila ada kenduri dan pencahayaan dari pelbagai sudut ia memberi satu suasana meriah dan selamat bagi warga kampung.

Selain itu, bagi mereka yang berasal dari pantai Timur, cahaya terang yang menerangi padang ketika berlangsung persembahan wayang kulit pastinya memeriahkan suasana sesebuah kampung itu.

Gaya dan teknik persembahan wayang kulit yang dimainkan dengan kesan pencahayaan begitu simbolik sekali, harus kita perhalusi dan hayati. Ia bukan sekadar satu persembahan riadah masyarakat desa tetapi idea, teknik dan cara memanipulasikan kesan cahaya itu lebih penting untuk kita jadikan sandaran mewujudkan satu bentuk pencahayaan dalam sesebuah taman.

Ini yang perlu dihayati dan pertimbangkan dalam membolehkan kita menghasilkan konsep pencahayaan beridentitikan budaya kita. Begitu juga kenangan saya pada zaman remaja bersama rakan-rakan kampung, apabila ada persembahan wayang cina.

Dulu ketika kebanyakan warga desa yang masih belum memiliki peti televisyen, bila ada persembahan wayang cina atau opera cina kebanyakan masyarakat desa akan berkumpul dan menonton bersama-sama.

Ini secara tidak langsung, kesan pencahayaan sekali lagi dilihat begitu harmoni dalam mewujudkan suasana kekitaan sebagai rakyat Malaysia. Mana tidaknya, nama saja wayang cina, tapi yang datangnya ada kaum India dan Melayu.

Bila ditanya kepada rakan Melayu dan India sama ada nak tengok jugakah wayang cina? fahamkah? jawabnya mudah. Bukan sebab wayang, tapi ‘happening’ dengan lampu dekat padang ini, depa nak ambil tau juga!.

Pada umumnya, memasang lampu adalah untuk menerangkan kawasan gelap.

Cahaya yang terpancar dari lampu yang dipasang secara kreatif atau dramatik mampu membuat kita teruja sekali gus mendorong kita sekeluarga berada di taman pada waktu malam atau, sebaliknya kita akan terasa hambar, hilang minat disebabkan suasana yang suram dan kelam.

Sayang sekali jika taman yang begitu indah dan menawan pada siangnya seolah-olah hilang seri malah terasa seperti mati bila malam menjelang tanpa pencahayaan yang sempurna.

Penggunaan kaedah reka bentuk lampu taman siri `nature’ dengan ukiran tumbuh-tumbuhan, bukan saja dapat memberi kesan dan `mood’ pencahayaan yang baik, malah, boleh juga menyerlahkan `focal point’ dalam taman pada waktu malam.

Begitu juga pencahayaan terancang mampu mengubah suasana taman yang kelam pada malam hari kepada suatu fantasi yang indah dan mengasyikkan. Adakala ia mengingatkan kita kenangan lama apabila kita di kampung suatu ketika dulu.

Pada asasnya, pencahayaan di dalam taman terbahagi kepada dua jenis iaitu pencahayaan secara menyeluruh, pencahayaan secara khusus atau tertumpu bagi menyerlah sudut ruang yang difokuskan itu saja.

Elemen cahaya dalam mereka bentuk sesebuah taman seharusnya tidak boleh dipandang remeh sekiranya kita ingin menghasilkan taman yang benar-benar hidup, kelihatan sentiasa menarik serta memberi kenikmatan kepada pemilik tanpa mengira waktu.

Sememangnya fungsi pencahayaan di taman berbeza jika dibandingkan dengan kegunaan di dalam rumah. Kebiasaannya, pencahayaan di taman perlu dihasilkan supaya ia dapat mewujudkan suasana selamat, memberi `mood’ bila berada di situ dan menyerlahkan nilai estetik taman.

Bagaimanapun, beberapa faktor lain seperti bentuk rumah, gaya hidup pemilik dan susun atur ruang taman perlu diberi perhatian sebelum dapat merumuskan kaedah pencahayaan yang bakal digunakan.

Selain untuk menerangkan sesuatu kawasan, pencahayaan juga berperanan untuk mewujudkan suasana ceria dan rasa selesa bila berada di situ.

Sebagai contoh mudah, lampu panjut atau lampu pelita dipasang oleh umat Islam untuk menghiasi laman rumah mereka. Mengapa? Sudah tentu penggunaan elemen cahaya adalah untuk memeriahkan lagi suasana perayaan.

Desmond Ho

Cahaya kuning versatile

March 20, 2009 by  
Fail di bawah Pencahayaan

SISTEM pencahayaan untuk segenap ruang kediaman antara elemen paling penting dalam menyerlahkan gaya atau tema pilihan anda seisi keluarga.

Malah, susun atur dan perancangan teliti mengenai sistem pencahayaan secara langsung mampu melengkapi jumlah cahaya yang diperlukan setiap ruang.

Pada masa yang sama, pencahayaan dapat mewujudkan pelbagai gaya berlainan mengikut cita rasa anda.

Secara umumnya, pencahayaan lampu kuning antara paling sesuai untuk semua ruang kerana ia menyuntik suasana romantik dan terang.

Ruang tamu antara lokasi paling utama dan penting dalam mempamerkan gaya atau tema hiasan dalaman.

Di ruang ini, sistem pencahayaan perlu dirancang sepenuhnya supaya suasana selesa dan mendamaikan dapat dirasai siang dan malam.

Terdapat pelbagai pilihan rekaan lampu di pasaran.

Terdapat pelbagai pilihan rekaan lampu di pasaran.

Anda boleh menggunakan lampu tumpu halogen, candelier dan lampu dinding yang boleh diimbangi jumlah cahayanya, jika menonton atau membaca di ruang berkenaan.

Sementara itu, ruang makan kurang sempurna tanpa kehadiran lampu gantung kerana ia mampu mewujudkan keseimbangan ruang.

Kreativiti anda dalam mengimbangi jumlah pencahayaan di ruangan selera itu tentunya membangkitkan ‘mood’ selesa.

Dalam usaha mengurangkan pembaziran elektrik, anda boleh menggunakan lampu sorot jimat tenaga secara berasingan.

Tidak ketinggalan, sistem pencahayaan di ruang dapur juga perlu diberi perhatian kerana ruang berkenaan memerlukan cahaya lebih dan terang.

Anda disarankan memasang lampu tumpu di atas pelantar atau kaunter kerja dan dua lampu tumpu di tengah ruang dapur bagi melicinkan aktiviti memasak.

Bagaimanapun, ada di kalangan kita yang membuat kesilapan dengan memasang lampu jauh dari pelantar atau kaunter kerja.

Keadaan itu menyebabkan bayang-bayang ketika membuat kerja di dapur terhasil menyebabkan ia mengganggu tumpuan dan pergerakan anda.

Selain itu, di bilik tidur juga tidak kurang pentingnya sistem pencahayaan supaya tidak mengganggu suasana rehat dan tidur sepanjang malam.

Ketika mengatur kedudukan lampu di siling, elakkan berada di atas katil bagi mengatasi masalah silau.

Gunakan lampu dinding yang boleh diimbangi jumlah cahayanya dan lampu meja sesuai bagi anda yang memerlukan suasana terang untuk membaca.

Pada bilik air berkeluasan sederhana, disarankan supaya anda menggunakan satu mentol jimat tenaga.

Gunakan lampu jenis pencahayaan ke bawah yang dilindungi oleh bekas lutsinar untuk melindungi mentol daripada kelembapan.

Harian Metro