Pancuran air pasang siap

DERUAN air yang dihasilkan daripada pancuran tidak pernah gagal menghiburkan pemilik kediaman yang selalunya diletakkan di dalam atau luar rumah.

Selain membangkitkan rasa damai dan segar, pancuran air turut melengkapkan lagi seni taman dan menghidupkan suasana terutama kediaman di bandar yang sentiasa sibuk dan bingit. Maka, tidak hairanlah ramai yang menginginkan air terjun buatan ini hadir di laman mereka.

Pancuran air dengan kolam kecil menarik untuk laman depan rumah.

Pancuran air dengan kolam kecil menarik untuk laman depan rumah.

Bagi pemilik kediaman yang mempunyai ruang laman terhad, tidak menjadi masalah jika berhasrat meletakkan air terjun buatan kerana kini ada banyak pancuran air pasang siap.

Jika perlukan sentuhan profesional, banyak syarikat atau kontraktor yang menyediakan perkhidmatan dan jualan untuk produk berkenaan.

Seorang pengurus syarikat berkaitan berkata, bagi mereka yang berminat dengan air terjun kecil disarankan menggunakan konsep bali kerana ia sering menampilkan tata hias laman yang mempunyai unsur air.

Katanya lagi, kebiasaannya pancuran air Bali diletakkan di laman depan atau di dalam rumah, atau mana-mana sudut sesuai kerana ia mampu berdiri sebagai hiasan utama tanpa ditemani tanaman hiasan lain.

“Jika ingin meletakkannya di taman, adalah lebih baik letakkan di tembok atau sisi taman yang kosong supaya ia dapat menjadi titik tumpu laman. Kebiasaannya pancuran air dilengkapi dengan kolam kecil di depannya dan jika mahu kelihatan menarik boleh menambahkan ikan hias atau tanaman air di sekelilingnya.

“Sebaiknya tanaman air ditanam di dalam pasu atau tepian kolam bukannya di dasar kolam. Ini penting supaya air kolam tidak keruh. Taburkan juga batu kerikil kecil bagi menutup pasu selain dapat mencegah tanah larut dalam air,” katanya.

Biasanya pancuran menggunakan saluran air yang diletakkan di kolam atau disembunyikan di sebalik dinding. Untuk menampakkan jatuhan air yang indah, kini digunakan kaca sebagai saluran yang memberikan kesan lebih nyata dan hidup.

Pancuran air tiga penjuru pasti memikat mata memandang.

Pancuran air tiga penjuru pasti memikat mata memandang.

Beberapa jenis batu dipakai melengkapkan lagi hiasan pancuran air Bali. Antaranya batu kerikil, batu sungai, pasir dan batu tiruan/ fiber.

Bagi memastikan batu-batu berkenaan tidak mudah berlumut, sebaiknya diberi pelapis khusus di atas batu berkenaan atau gunakan saja air terjun tiruan atau diperbuat daripada fiber.

Jika anda mahu air di dalam kolam tidak menjadi keruh dan busuk, anda dinasihatkan menggunakan penapis yang diletakkan di dasar kolam atau penapis dari batu zeolit .

Adalah dinasihatkan pancuran air Bali dicuci terlebih dulu supaya digunakan bagi membuang kotoran dan debu padanya.

Bagi memberikan kesan lebih menarik, pasangkan lampu di dalam kolam dan letakkan tumbuhan air seperti teratai, melati air dan keladi bunting. Di luar pancuran diletakkan pemijak kaki dengan pelbagai motif ala Bali bentuk daun atau bunga.

Dekorasi bermotif bunga pecah lima yang menjadi elemen penting seni hias bali pula jangan lupa diletakkan di dinding dan jika mahu nampak lebih menarik gunakan dinding daripada batu berlapis.

Gabungan kayu, batu atau fiber akan menampakkan konsep Bali lebih menyerlah maka jangan takut gunakan kemasan kayu atau logam di pancuran air anda.

Tip: Menyelenggara kolam

# Kesihatan tumbuhan dan ikan bergantung kepada kekerapan anda membersih dan menyelenggara kolam, jadi tetapkan jadual pembersihan.

# Pencemaran air akan menyebabkan pokok dan ikan dalam kolam boleh mati, maka kekalkan keseimbangan antara tumbuhan dan ikan juga kebersihan air.

# Bagi memastikan kolam kekal dengan penjagaan yang terhad apa kata tanam pokok satu pertiga daripada keluasan kolam. Penanaman pokok dalam kolam penting untuk mengawal kadar ammonia and nitrat dalam air.

# Ikan yang menghiasi kolam biasanya akan memakan tumbuhan dalam kolam. Oleh itu, untuk mengelakkan tumbuhan mati kerana menjadi makanan ikan, seeloknya bina penghadang khas.

# Jika tidak mampu membina penghadang apa kata tukarkan ikan koi dengan ikan emas. Ikan Koi biasanya suka memakan tumbuhan dalam kolam manakala ikan emas yang lebih cerewet dan memilih makanannya.

# Pastikan kolam anda mempunyai penapis untuk memastikan air tidak cepat keruh dan berbau yang boleh menyebabkan pertumbuhan kulat dan lumut.

Berita Minggu

7 Komen untuk Pancuran air pasang siap

  1. mohd fahmi bi johari

    hai, ape kabar?
    kat mane ye boleh beli dan berape harganya. boleh bagi tahu tak

  2. saya berminat dengan anak sungai buatan. Agaknya berapa kos pembinaaan nya untuk kawasan rumah semi D. boleh tahu kontraktor yang boleh membuatnya dengan harga berpatutan

  3. saya beli rumah semi-D keluasan 40×70 kaki,saya berminat nak buat laman mini berkonsep bali di bahagian anjung rumah…brepa kos lanskap?

  4. berapa kos taman air konsep bali tu..

  5. semuanya cantik belaka dan antik bagaikan di dalam??????

  6. nak taya harga pancuran air pasang siap 3 pejuru dan dimana saya bleh beli

  7. Cantik..dimana saya boleh beli air pancuran 3 penjuru dan berapa harga nya.tq

Leave a Reply